Sibuk dengan urusan perniagaan sejak 2023, apatah lagi beberapa lagu yang dilancarkan kurang menyengat, penyanyi Black Hanifah, terasa diri kian dilupakan.
Namun begitu, kehadiran single baru berjudul, Hijab Rindu, yang sering dijadikan lagu latar kandungan dalam laman media sosial seperti TikTok, nama Black kembali diperkatakan.
Melihat sambutan baik itu, Black, atau nama sebenar, Mohd Hanifah Md Hanafiah, 37 tahun, gembira percaturan terbaru menjadi.
Malah lagunya, Hijab Rindu, kini mula mengisi corong radio di Malaysia.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah henti mencuba. Sejak 2019 hingga 2021, saya hasilkan single, namun, tidak berapa menjadi.
“Apabila Hijab Rindu dapat perhatian ramai hingga menjadi runut bunyi, saya terkejut.
“Ramai yang membuat saduran atau menyanyikan lagu ini. Ini sudah beri kemenangan kepada saya.
“Saya selalu beritahu diri sendiri, soal mutu sangat penting. Jadi, percubaan kali ini mengena. Alhamdulillah,” lapor Black dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Dengan sambutan baik yang diterimanya terhadap single, Hijab Rindu, Black semakin bersemangat untuk kembali ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Tahun lalu (2024), saya wakilkan Ara Johari mendendangkan lagu, Dua Darjat, pada peringkat separuh akhir.
“Ketika itu, saya tidak boleh menyanyi. Kali ini, jika lagu saya ‘lepas’, saya akan buat sehabis baik,” ujarnya.
Mengikut jejak penyanyi lain, Black tampil dengan lagu Raya secara duet dengan Adira Suhaimi berjudul, Syawal Rindu.
Lagu tersebut mengisahkan perasaan rindu dan kasih terhadap keluarga serta kenangan Lebaran yang tidak dapat diraikan bersama insan tersayang.
Diciptakan oleh Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana serta lirik dihasilkan Aiman Zaidi, Syawal Rindu adalah single duet pertama Black dan Adira.
Black berkata Adira dianggap penyanyi yang mudah memberi kerjasama dan sangat profesional.
“Alhamdulillah, sudah lebih 10 tahun saya tiada lagu Raya. Saya kenal Adira sejak 2009 tetapi tidak pernah berkongsi pentas dengannya.
“Biarpun kami tidak bersama ketika proses rakaman dibuat, namun, alhamdulillah, suara kami serasi.
“Mungkin juga kami sudah lama berkawan, jadi senang menyesuaikan diri,” tambah Black.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg