KUALA LUMPUR: Fasa kedua projek, Tuan Selamatkan Rock & Roll, cetusan ilham penyanyi Loque, bagi meraikan karya rok tempatan, baru-baru ini, dilancarkan melalui single kumpulan Black Rose, Penantian.
Single malar segar ikonik yang gah menambat halwa telinga peminat pada zaman kegemilangan muzik rok Melayu era 1990-an, diberi nafas baru oleh Loque.
Berbentuk olahan semula 180 darjah, single agung kumpulan Black Rose, ciptaan Saari Amri itu, bukan saduran, sebaliknya melalui apa yang dikenali sebagai proses penjanaan semula.
Emmett, yang dipilih Loque sebagai penyanyi jemputan bagi single Penantian, pada mulanya kurang yakin kerana berasa vokalnya berbeza daripada penyanyi asal, Mario.
“Gaya nyanyian saya berbeza dari dahulu. Jadi, saya kena buat kajian untuk menyanyikan lagu, Penantian.
“Namun, saya anggap ini sebagai suatu cabaran. Saya pernah dengar lagu Penantian dan dendangan ini adalah single hit daripada Black Rose,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Projek, Tuan Selamatkan Rock & Roll, dilancarkan pada 2019 melalui single, Mithali Cintaku, dendangan penyanyi baru, Vis Vince.
Usaha bagi projek itu lahir daripada semangat untuk meraikan dan meneruskan legasi bahawa rok bukan sekadar trend atau genre, sebaliknya, identiti budaya dan wacana sosial sejak era 1970-an.
Emmett yang juga vokalis kumpulan Butterfingers menganggap lagu, Penantian, unik dan mempunyai kelainan tersendiri.
“Susunan asal lagu Penantian sangat unik, yang mana ada bunyian ‘metal’. Namun, kali ini, untuk ‘cover’ versi Tuan Selamatkan Rock & Roll, susunan muzik berbeza sepenuhnya.
“Saya gunakan teknik nyanyian berbeza. Susunan gitar untuk versi baru, Penantian, sangat menyerlah. Apabila dengar lagu ini, kita akan kenal itu alunan gitar Loque,” katanya.
Ditanya mengapa lagu Penantian dipilih untuk diolah semula, Loque berkata single popular Black Rose itu sangat menggamit kenangan.
“Saya antara saksi hidup era kegemilangan lagu ini sebagai suatu mahakarya. Lagu ini adalah hasil peninggalan seni unggul yang tidak harus berhenti setakat era 1990-an.
“Gubahan semula ini bukan sekadar percubaan menyalin nostalgia, bahkan suatu gerakan berani untuk menggilap kembali cahaya seni.
“Usaha ini juga bertujuan memperkenalkan lagu keramat ini kepada generasi baru yang mungkin belum pernah menghayatinya.
“Susunan lagu, Penantian, yang asal pun sudah luar biasa dan unik bagi saya. Dari dulu sampai sekarang, memang di luar jangkaan.
“Saya berharap versi kami dapat memberi wajah atau perspektif lain kepada lagu keramat ini sambil mengekalkan roh lagu ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg