Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu pop irama 1950-an, ‘Ibu’, kenang semangat ‘superhero’

May 10, 2025 | 5:30 AM
Khaizuran Aidan Mohamed Asri, ibu, yazri malik
Khaizuran Aidan Mohamed Asri menujukan lagu ‘Ibu’, karya Yazri Malik, buat pendengar agar menghargai segala pengorbanan ibu mereka dan menyayanginya selagi dia masih ada di sisi. - Foto YAZRI MALIK

Apabila penggubah lagu Singapura, Yazri Malik, menyerahkan karya terbarunya sempena Hari Ibu, yang bernadikan irama pop 1950-an kepada penyanyi Generasi Alpha, Khaizuran Aidan Mohamed Asri, hasilnya tidak mengecewakan.

Lagu berjudul Ibu yang sudah diterbitkan di semua platform digital pada 9 Mei itu menyampaikan pesanan agar pengorbanan seorang ibu dihargai selagi wanita itu masih ada.

Video muziknya pula akan disiarkan di YouTube pada 11 Mei, serentak dengan sambutan Hari Ibu di Singapura.

Sebagaimana jelas Yazri, 45 tahun, yang merupakan anggota band Merah:

“Saya rasa genre pop 1950-an ini segar buat Aidan sebab dia masih muda.

“Tambahan pula, sosok seorang ibu itu paling dekat dengannya. Aidan juga mempunyai ciri suara yang dinamis dan berperwatakan.

“Sambil menghasilkan lagu ini buat Aidan, saya juga terkenangkan ibu saya yang sudah tiada lagi.

“Hari Ibu tetap istimewa buat saya kerana ia hari saya mengenang segala pengorbanan dan kasih sayang ibu saya.”

Ketika dihubungi Berita Harian menerusi WhatsApp, Aidan, 12 tahun, murid Sekolah Rendah Riverside, di 110 Woodlands Crescent, berkata:

“Saya sangat bersyukur dapat menyanyikan lagu Ibu ini kerana ia mengingatkan saya betapa bertuahnya saya kerana masih berpeluang memeluk dan menyayangi ibu saya, kerana beliau masih ada di sisi saya.

“Ibu saya juga sentiasa memasak masakan kegemaran saya, menjaga saya sewaktu sakit, dan tidak pernah lupa memeluk saya sebelum tidur.

“Saya berharap semua yang mendengar lagu ini dan masih mempunyai ibu akan menghargai kasih sayang ibu mereka setiap hari, bukan sahaja pada sambutan Hari Ibu.”

Anak tunggal ini sudah mula menyanyi seawal usia empat tahun.

Dia malahan sudah mula mendendangkan runut bunyi rasmi (OST) siri animasi, Paw Patrol, dan lagu Melayu tradisional, Pantun Budi, yang dipopularkan penyanyi veteran, Tan Sri SM Salim.

“Minat saya terhadap muzik sebenarnya berkembang secara semula jadi dan dipengaruhi penglibatan aktif ibu bapa saya dalam persembahan dikir barat dan pertandingan nyanyian,” katanya lagi.

Aidan juga aktif dalam bidang lakonan dan pernah membintangi beberapa drama di saluran Mediacorp Suria, seperti telefilem khas Hari Raya Haji pada 2023, Korban Si Ijat, serta persembahan drama sempena pelancaran buku Bukan Mimpi, tulisan Amanah Mustafi, di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 15 Februari 2025.

Ditanya mengenai pengertian Hari Ibu buatnya, Aidan yang menganggap ibunya, Cik Khairunisak Hussain, 43 tahun, seorang guru Bahasa Melayu di sekolah menengah, sebagai teladan terbaik buatnya, berkata:

“Hari Ibu adalah masa yang sangat istimewa untuk kita berterima kasih kepada ibu kita.

“Saya sedar ibu saya banyak berkorban untuk saya seperti hantar saya ke sekolah dan tolong saya buat kerja sekolah sampai lewat malam.

“Kadang-kadang saya nampak ibu penat tapi dia tetap tersenyum apabila tengok saya.

“Walaupun Hari Ibu cuma sekali dalam setahun, tapi saya rasa kita patut tunjuk kasih sayang kepada ibu kita setiap hari.

“Bagi saya, ibu memang ‘superhero’ atau adiwira dalam hidup saya!”

Dia amat mengagumi ibunya yang selalu memberinya keyakinan setiap kali ingin masuk pertandingan menyanyi di sekolah.

“Ibu saya selalu cakap, ‘Aidan boleh! Ibu yakin dengan Aidan’.

“Kata-kata ibu membuatkan saya rasa lebih berani dan kuat semangat.

“Ibu juga selalu ingatkan saya bahawa keluarga itu penting.

“Apabila ada masalah, ibu selalu pesan kita harus selesaikan bersama-sama sebab kita berdiri sebagai satu keluarga,” ujarnya lagi.

Aidan meminati dua bintang, juara Asian Idol dan Gegar Vaganza 6 (GV6), Hady Mirza, dan penyanyi dari seberang yang terkenal dengan irama ‘regeton’, Andi Bernadee.

“Saya kagum dengan sikap Abang Hady yang merendah hati walaupun beliau amat dikenali, manakala saya sukakan lagu Andi yang memiliki melodi menarik dan senang diikuti,” katanya lagi.

Mengenai perancangannya selanjutnya, Aidan ingin mendapat keputusan yang cemerlang bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) untuk melayakkan diri mengikuti jurusan teater di Sekolah Seni Singapura (Sota).

“Saya sudah lama impikan dapat belajar di Sota kerana ia institusi yang baik buat pelajar yang cintakan seni persembahan macam saya.

“Setiap hari, saya belajar bersungguh-sungguh, malahan turut gunakan masa rehat bagi mengulang kaji pelajaran.

“Saya harap impian ingin memasuki Sota menjadi kenyataan!” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg