KUALA LUMPUR: Penyanyi Lan Solo mendedahkan pernah melalui detik mencemaskan apabila hampir kehilangan suara akibat masalah tonsil serius, sehingga menjejaskan karier sebagai anak seni.

Lan atau nama sebenar, Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 41 tahun, berkata keadaan itu memaksanya berhenti menyanyi selama tiga bulan dan disaran doktor untuk berehat setahun.

Akui Lan, tempoh itu menjadi antara fasa paling sukar dalam hidup, kerana nyanyian adalah sumber rezeki utama.

“Ada suatu ketika, saya tidak boleh menyanyi selama tiga bulan dan doktor suruh saya berehat setahun.

“Tetapi, saya fikir, ini punca rezeki saya. Saya sempat bergurau dengan doktor, kalau lama sangat berehat nanti saya hendak makan apa,” katanya kepada BH Online.

Lan berkata beliau mendapatkan rawatan daripada doktor yang disyorkan rakan seperjuangan, iaitu Datuk Awie.

“Saya tanya Awie jika ada doktor yang boleh disyorkan. Beliau mencadangkan doktor yang merawatnya.

“Doktor itu juga sangat mesra,” katanya.

Mengulas lanjut, Lan berkata keadaan tonsilnya ketika itu sangat serius sehingga hampir terkoyak dan berisiko dibedah jika terus memaksa diri menyanyi.

“Tonsil saya bengkak hingga hampir terkoyak. Jika saya terus menyanyi, ia boleh ‘crack’.

“Apabila keadaan sampai begitu, saya perlu menjalani pembedahan dan berehat lebih lama,” katanya.

Bimbang keadaan menjadi lebih teruk, Lan mengambil keputusan berehat di hospital, walaupun fizikalnya ketika itu tidak menunjukkan tanda sakit lain.

Tambahnya, langkah itu diambil demi memastikan beliau terus mampu menyanyi pada masa depan.

“Walaupun badan saya tidak sakit, saya tetap masuk hospital sebab sudah disarankan doktor,” katanya.

Lan bagaimanapun mengakui terpaksa berbohong sunat apabila tidak dapat mematuhi tempoh rehat disarankan kerana komitmen kerja.

Dalam perkembangan lain, Lan berkata Konsert Kristal OG - 25 Tahun Dalam Satu Malam bakal berlangsung Zepp Kuala Lumpur di sini, pada 1 Mei ini.

Konsert itu dipentaskan bagi meraikan perjalanan seni kumpulan Kristal OG sepanjang 25 tahun dalam industri muzik.