Siti Nordiana sedia bimbing anak ceburi industri seni
Penyanyi ‘Cinta Hanyalah Sandaran’ bersikap terbuka, sokong minat anak
Hampir 30 tahun bergelar penyanyi, Siti Nordiana Alias, atau Nana, 42 tahun, melangkah ke dunia seni seawal usia sembilan tahun, didorong oleh semangat gigih bapanya, Allahyarham Encik Alias Ahmad.
Menyertai banyak pertandingan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan, rezeki Nana tiba pada 1998, ketika berusia 14 tahun, apabila dilamar menjadi penyanyi syarikat rakaman, FMC Music.
Mengimbau kisah lalu, juara Gegar Vaganza 2 (GV2) itu muncul dengan album sulungnya, Gurindam Rindu Berkasih pada 1999, menampilkan lagu-lagu hits seperti Cinta Hanyalah Sandaran dan Terpaut Sayang Padamu.
“Saya mula menyanyi sejak usia sembilan tahun.
“Masa itu, saya dah mula minat menyanyi dan kemudian pada usia 10 tahun, ayah bawa saya masuk pertandingan menyanyi di Seremban pula.
“Saya selalu ikut sahaja dan turut menjadi penyanyi bagi tarik pelanggan di pasar malam.
“Saya ingat lagi dapat bayaran daripada ayah sebanyak RM30 ($9.70) atau RM40,” katanya dalam laman web Harian Metro, sambil mengimbau kenangan lama.
Bercerita lanjut tentang bayaran sebagai penyanyi, Nana berkata pada usia 15 tahun, beliau menandatangani kontrak sebagai artis rakaman dan menerima bayaran penuh sebanyak RM2,000.
Bagi persembahan pentas pula, beliau pernah menerima bayaran serendah RM500 untuk undangan nyanyian di pesta ria atau pusat beli-belah.
Menurut Nana, semua bayaran hasil nyanyian diserahkan kepada bapanya untuk disimpan dan hanya diminta jika mahu membeli keperluan seperti pakaian baru dan peralatan solek.
Namun, cabaran awal sebagai penyanyi rakaman sukar dielak.
Nana mengakui pernah rasa takut, khuatir dengan statusnya sebagai pelajar sekolah dan kesan yang mungkin diterima.
“Cabaran yang saya hadapi pada peringkat awal sebagai penyanyi ialah rasa takut dan sering mempersoalkan diri sendiri, ‘Mampukah seorang pelajar sekolah bergelar penyanyi?’
“Banyak perkara yang enggan saya lakukan ketika itu kerana memikirkan status saya yang masih bersekolah.
“Lagi pula, saya sering berulang-alik dari Sendayan (Negeri Sembilan) ke Kuala Lumpur dan itu menyebabkan sesi persekolahan saya terganggu.
“Bagaimanapun saya pindah ke ibu kota selepas habis sekolah.
“Jadi, segala urusan (kerja) lebih mudah. Apa yang pasti, kerjaya nyanyian adalah sumber rezeki saya.
“Semua fasa telah saya lalui. Fasa mula ‘nak naik’ (bina nama), ‘dah naik’ (dikenali), kerjaya menurun serta buat kemunculan semula.
“Bagi saya, kerjaya ini banyak mengajar pelbagai perkara daripada zaman anak dara, jadi ibu dan kemudian ibu tunggal.
“Semuanya dilalui dalam kerjaya ini.
“Peminat saya yang setia pun membesar bersama saya,” katanya lagi.
Menyentuh tentang perubahan dirinya sebagai penyanyi dahulu dan kini, Nana mengakui terlalu banyak perbezaan yang dirasai.
Katanya, pada era penjualan kaset dan cakera padat (CD), peluang untuk bertemu peminat di seluruh Malaysia kebanyakannya hadir menerusi persembahan di pusat beli-belah serta pameran.
Kini, keadaan jauh lebih mudah dengan pelbagai aktiviti dijalankan secara dalam talian dan digital, yang mempermudah komunikasi antara beliau dengan peminat.
Berkongsi tentang minat anaknya, Mohd Rayyan Nakhaie, 18 tahun, dalam bidang seni, Nana mendedahkan remaja itu memang cenderung kepada muzik, nyanyian dan lakonan.
Rayyan ialah anak hasil perkahwinannya dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusof, pada 17 April 2006.
Mereka bercerai pada 14 September 2009.
Kini, Nana sudah 16 tahun hidup ‘solo’, membesarkan Rayyan sendirian.
“Apabila mama seorang penyanyi dan arwah abah (panggilan buat Allahyarham Faizal) pula seorang pelakon, secara tidak langsung Rayyan memiliki kelebihan itu.
“Saya sendiri dapat melihatnya,” ujar Nana.
Setiap kali mereka menghasilkan kandungan bersama di media sosial, jelas kelihatan Rayyan tampil bersahaja di hadapan kamera.
Dari segi nyanyian pula, Nana melihat anaknya mempunyai tona suara yang baik, cuma bakat itu masih belum digilap sepenuhnya.
Bagi Nana, Rayyan masih berada dalam fasa mencari hala tuju dan cita-cita yang ingin dikejar.
Sebagai ibu, Nana memilih untuk memberi sokongan penuh terhadap apa sahaja yang diminati anaknya.
“Jika dia mahu menyertai industri hiburan, mamanya sudah ada dalam bidang ini.
“Saya akan sentiasa membimbing dan memberi sokongan, termasuk kata-kata semangat serta panduan yang diperlukan. Saya bersikap terbuka,” kata Nana.

