Topik diikuti
Pergi ke BHkuLegenda filem Melayu klasik, L. Krishnan, meninggal dunia di Chiang Mai
Legenda filem Melayu klasik, L. Krishnan, meninggal dunia di Chiang Mai
KUALA LUMPUR: Pengarah filem veteran, Tan Sri Lakshmanan Krishnan, atau lebih dikenali sebagai L Krishnan, meninggal dunia pada usia 104 tahun di Chiang Mai, Thailand, pada 2.15 petang (waktu tempatan), pada 24 September, akibat sakit tua.
Mendiang L Krishnan, yang dianggap antara tokoh penting dan perintis dalam era kegemilangan industri filem Melayu, menghembuskan nafas terakhir selepas berdepan masalah kesihatan berkaitan faktor usia, sejak beberapa ketika.
Berita sedih itu dikongsi Sandakiah Azez, iaitu anak kepada pelakon veteran, Allahyarham Datuk Aziz Sattar, yang menghubungi isteri mendiang, Puan Sri Rukmanee di Chiang Mai.
“Difahamkan, mendiang L Krishnan sudah lama bermastautin di Thailand selepas berkahwin dengan isterinya yang juga rakyat negara itu.
“Ketika ini, segala urusan penghormatan terakhir dan pengebumian mendiang sedang dikendalikan ahli keluarga,” katanya kepada Harian Metro.
Sandakiah, yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), berkata beliau dimaklumkan mengenai pemergian mendiang oleh setiausaha L Krishnan dan sempat berbicara dengan isterinya, Rukmanee.
“Saya sempat berbicara dengan isteri mendiang. Namun, beliau masih dalam keadaan hiba. Jadi, ada maklumat yang saya terima daripada setiausaha mendiang sendiri,” katanya.
Sandakiah berkata penghormatan terakhir dilakukan mulai 25 September hingga 27 September.
“Upacara keagamaan oleh sami bermula 7.30 malam setiap hari. Upacara pembakaran mayat pula akan diadakan Isnin (28 September) ini, iaitu di Sanpasakvorraurai, Hang Dong, Chiang Mai pada 11 pagi (waktu Thailand).
Mendiang L Krishnan yang dilahirkan pada 21 Oktober 1922 di Madras, India, adalah antara tokoh penting yang bertanggungjawab menggilap bakat ramai seniman negara, termasuk Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam dunia perfileman tanah air menerusi filem Bakti pada 1950.
Sepanjang kerjayanya di Cathay-Keris Films dan Shaw Brothers Studio, mendiang L Krishnan mengarahkan lebih 30 filem Melayu klasik popular termasuk Selamat Tinggal Kekasihku, Penghidupan, dan Selendang Merah.
Atas jasa dan sumbangan besarnya dalam membina asas serta memajukan industri perfileman negara, mendiang L Krishnan dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.