Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima dekad berkarya, Jeremy Monteiro tidak lupa pengaruh muzik Melayu
Maestro jaz setempat bakal raikan jubli emas menerusi konsert di Esplanade pada 14 Nov
Lima dekad berkarya, Jeremy Monteiro tidak lupa pengaruh muzik Melayu
Sepanjang lima dekad berkecimpung dalam industri muzik, maestro jaz Singapura, Jeremy Monteiro, bukan sahaja menempa nama di persada antarabangsa, malah mengakui banyak menimba ilmu daripada kerjasamanya dengan seniman Melayu tersohor.
Antaranya Allahyarham Rahim Hamid, Rahimah Rahim, Allahyarham Sudirman, Allahyarham Ahmad Nawab dan Allahyarham Kassim Masdor, yang masing-masing meninggalkan kesan terhadap perkembangan kerjaya seninya.
Jeremy, 66 tahun, yang juga pengerusi Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass), serta pengarah eksekutif dan muzik Persatuan Jaz Singapura (Jass), bakal meraikan jubli emas kerjayanya menerusi konsert Jeremy Monteiro: 50 Years of Jazz (Jeremy Monteiro: 50 Tahun Dalam Dunia Jaz).
Ia bakal berlangsung di Dewan Konsert Esplanade, pada 14 November, bermula 7.30 malam.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), beliau berkongsi kenangan dan harapannya terhadap masa depan muzik jaz.
Soalan (S): Bagaimanakah kerjasama dengan seniman Melayu membentuk perjalanan seni anda ketika masih muda?
Jeremy: Bekerjasama dengan Allahyarham Rahim Hamid, yang terkenal dengan jolokan ‘Nat King Cole Singapura’, merupakan pengalaman istimewa.
Saya bukan sekadar pemain piano, malah mengetuai kumpulan muzik yang mengiringinya.
Saya juga mempelajari teknik penyusunan muzik daripada Allahyarham Ahmad Nawab, manakala Allahyarham Kassim Masdor memberi saya tanggungjawab mengendalikan sebahagian besar proses penerbitan dan susunan muzik album Penghibor Di Rantau, nyanyian Rahimah Rahim.
S: Apakah keistimewaan muzik Melayu yang paling anda kagumi?
Jeremy: Saya amat mengagumi keindahan melodi dan struktur harmoni lagu Melayu.
Bagi saya, kehebatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai penggubah lagu setanding dengan komposer asal Amerika Syarikat, mendiang George Gershwin.
Getaran Jiwa antara lagu paling indah pernah dihasilkan di rantau ini.
Saya juga banyak mempelajari teknik penyampaian dan penghayatan daripada penyanyi jaz, Allahyarhamha Julie Sudiro serta Allahyarhamha Kartina Dahari, yang memiliki jiwa jaz secara semula jadi.
Saya mempelajari banyak perkara hanya dengan mendengar cara mereka mengolah dan menyampaikan lagu.
Bagi saya, keindahan teknik penyampaian itulah yang membezakan antara pemuzik yang mahir dengan seniman sejati. Mereka berdua benar-benar seniman yang hebat.
S: Bagaimanakah industri muzik berubah sepanjang lima dekad ini?
Jeremy: Penstriman membolehkan muzik saya didengari di sekitar 120 hingga 140 negara, berbanding sembilan hingga 12 negara dahulu.
Namun, pendapatan daripada rakaman semakin berkurangan.
Saya percaya persembahan secara langsung akan kembali berkembang kerana manusia tetap mendambakan pengalaman menyaksikan seni secara langsung.
S: Bagaimanakah anda membantu membangunkan generasi pemuzik jaz baharu?
Jeremy: Melalui Jass, kami telah menganugerahkan 15 biasiswa kepada 14 individu, termasuk penyanyi Melayu, Maya Raisha, yang saya bimbing sejak berusia 13 tahun.
Beliau kini melanjutkan pengajian sarjana di Amerika Syarikat dan mempunyai potensi untuk menjadi penyanyi jaz bertaraf dunia. Malah, saya membawanya pulang dari New York untuk membuat persembahan dalam konsert jubli emas saya.
Ketika saya mula berkecimpung dalam muzik jaz pada 1980-an, hanya segelintir pemuzik tempatan aktif dalam genre ini.
Kini, terdapat sekitar 30 hingga 40 pemuzik yang mampu beraksi pada peringkat antarabangsa.
Saya tidak lagi berasa keseorangan kerana kini menjadi sebahagian daripada sebuah masyarakat pemuzik jaz yang semakin berkembang.
Melihat perkembangan ini memberikan kepuasan kepada saya.
S: Apakah makna konsert jubli emas ini kepada anda?
Jeremy: Saya mahu memperlihatkan kemampuan saya sebagai pemuzik jaz selepas 50 tahun, bukan sekadar mengimbau kejayaan terdahulu.
Saya juga akan menyanyikan lagu Getaran Jiwa.
Bagi saya, muzik tetap menjadi tujuan hidup. Saya mahu terus menghasilkan muzik dan menggembirakan orang ramai melaluinya.
Tiket bagi konsert Jeremy Monteiro: 50 Years of Jazz (Jeremy Monteiro: 50 Tahun Dalam Dunia Jaz), berharga antara $38 dengan $98 itu, boleh ditempah di laman Sistic menerusi pautan https://www.sistic.com.sg/events/jeremy1126
Ia juga boleh didapatkan menggunakan kredit Pas Budaya SG.