Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liwani Izzati tukar angin, ceburi sektor niaga antarabangsa

Diiktiraf sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan pada Anugerah Fakulti Pengurusan RMIT pada 2024
Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Liwani Izzati, rmit
Penyanyi Singapura, Liwani Izzati, mengambil keputusan menggantungkan mikrofonnya demi membina kerjaya dalam bidang perniagaan sebaik tamat pengajian di Institut Teknologi Royal Melbourne (RMIT). - Foto ihsan LIWANI IZZATI

Setelah lama menyepi dari dunia hiburan, penyanyi Singapura, Liwani Izzati, kini menempuh laluan baru dalam kerjayanya. 

Bertukar angin daripada pentas persembahan ke dunia perniagaan, Liwani, atau nama sebenarnya, Nur Liwani Izzati Jelani, 26 tahun, membuktikan bakat nyanyian hanyalah sebahagian daripada potensi yang dimilikinya.

Pada Ogos 2024, pemenang tempat ketiga peraduan nyanyian realiti, Anugerah 2017 itu, yang merupakan lulusan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Institut Teknologi Royal Melbourne (RMIT), diiktiraf sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan pada majlis penyampaian Anugerah Fakulti Pengurusan RMIT.

Pengiktirafan itu diberikan atas pencapaian akademik Liwani yang cemerlang.

Ia juga bukan sekadar bukti kecemerlangan akademiknya, malah mencerminkan dedikasi beliau terhadap pembangunan diri dan pencapaian di luar dunia hiburan.

Apabila dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, Liwani menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu pencapaian di luar jangkaannya.

“Rasa terkejut itu sukar digambarkan, kerana saya langsung tidak menyangka perkara ini, apatah lagi saya tidak berusaha untuk meraih sebarang anugerah.

“Saya hanya berusaha sedaya upaya dalam apa jua yang saya lakukan, termasuk dalam pendidikan.

“Tambahan lagi, saya rasa seronok mempelajari setiap subjek yang diketengahkan, kerana ia sesuai dengan minat saya yang mendalam terhadap bidang perniagaan,” katanya, yang mempunyai dua kakak berusia 36 dan 37 tahun.

Walaupun ramai mengenali dirinya melalui vokal yang mantap serta persembahan yang memukau, minat Liwani sebenarnya sudah tertumpu pada dunia perniagaan sejak awal lagi.

Beliau, yang juga lulusan Diploma Perniagaan daripada Politeknik Temasek (TP), bahkan pernah membantu menguruskan perniagaan ibunya di luar negara antara 2016 dengan 2019.

Ketika melanjutkan pengajian sambilan di RMIT, Liwani turut bekerja di sebuah sekolah muzik di Singapura, yang menawarkan kelas muzik serta vokal bagi kanak-kanak dan remaja berusia antara enam dengan 15 tahun.

Beliau menguruskan pentadbiran serta operasi bagi sekolah muzik tersebut.

Pada 2025 pula, Liwani mengambil keputusan untuk menggantung mikrofon demi menumpukan perhatian kepada kerjayanya dalam bidang perhubungan antarabangsa.

Sebagai Eksekutif Perhubungan Antarabangsa, beliau menemui kepuasan dalam membina rangkaian serta berinteraksi dengan usahawan, sambil membantu perniagaan tempatan berkembang di pasaran antarabangsa, terutamanya di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Biarpun bidang seni suara bukan lagi fokus utama, pengalaman Liwani dalam dunia muzik tidaklah sia-sia. 

Ia membantu dirinya membina keyakinan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta menjadi tunjang kejayaannya dalam bidang perniagaan.

Bagaimanapun, masihkah terdetik di hati Liwani kerinduan untuk kembali menyanyi?

Pelantun lagu Adakah Dia itu berkata: “Sudah tentu saya rindu menyanyi lagi!

“Tetapi, kehidupan saya kini sudah berubah haluan. 

“Saya ingin memberi tumpuan kepada apa yang penting buat masa ini, dan apabila tiba waktunya kelak, barulah saya akan memutuskan langkah seterusnya.

“Sebenarnya, sewaktu saya masih bersekolah lagi, saya aktif bernyanyi sehinggalah tahun lepas (2024).

“Mungkin bagi sesetengah orang, mereka boleh lakukan dua hal dalam satu masa. 

“Bagaimanapun, saya mengambil keputusan menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya saya buat masa sekarang – dan saya cukup bahagia dengan pencapaian saya sejauh ini.”

Watch on YouTube
Watch on YouTube

Mengenang kembali penglibatannya dalam dunia seni, Liwani masih berpegang pada kata-kata guru vokalnya, Ann Hussein, yang mendorong beliau untuk mendengar kata hati dalam apa jua yang dilakukan.

“Saya sudah bersama Kak Ann sejak berusia 13 tahun lagi. Beliau sudah pun saya anggap sebagai ibu kedua saya.

“Begitu banyak nilai dan pesanan yang beliau berikan.

“Namun, yang paling saya ingat adalah ketika melakukan sesuatu perkara, haruslah mengikut naluri dan kata hati sendiri.

“Selain itu, beliau juga berpesan pada saya untuk sentiasa percaya diri,” kata Liwani. – AININ ALFIYANI JAILANI

“Saya ingin memberi tumpuan kepada apa yang penting buat masa ini, dan apabila tiba waktunya kelak, barulah saya akan memutuskan langkah seterusnya.”
Liwani Izzati.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg