Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Madu atau Racun’: Sensasi atau realiti?
Drama 12 episod ditolak tayangannya oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia atas sebab gugat sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan
‘Madu atau Racun’: Sensasi atau realiti?
Baru-baru ini, dunia maya digemparkan dengan penayangan drama, Madu atau Racun, yang begitu mengejutkan penonton dengan adegan yang dianggap ‘berahi’ melibatkan unsur hubungan sesama jenis dan keganasan rumah tangga.
Justeru, drama 12 episod yang ditayangkan di saluran iQIYI telah pun ditolak tayangannya oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia atas sebab menggugat sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan.
Ramai menyuarakan pandangan serupa dalam media sosial.
Namun, ada juga yang menyokong drama itu disiarkan.
Hari ini, dalam pada isu lesbian, gay, biseksual, transjantina (LGBT) dan keganasan rumah tangga kian berlaku dan dibicarakan dalam kalangan masyarakat Melayu, penting untuk kita membuat pertimbangan akan mesej, paparan sosial, etika dan estetika yang terpapar dalam drama tersebut.
Secara ringkas, drama Madu atau Racun itu berkisahkan tentang Azura (lakonan Uqasha Senrose), seorang isteri yang taat, menjadi terluka apabila suaminya, Adli (lakonan Aliff Aziz), membawa pulang isteri kedua, Nikita (Elisya Sandha), dengan alasan Azura tidak dapat memberikannya zuriat yang didambakannya.
Kemuncak utama berlaku apabila Azura dan Nikita dipaksa tinggal sebumbung di dalam rumah yang sama.
Walaupun awalnya hubungan mereka dihimpit iri dan dendam, hubungan kededua isteri itu berubah menjadi ‘hubungan luar kebiasaan’ apabila mereka menyedari bahawa sikap manipulatif Adli merupakan punca sebenar konflik yang berlaku.
Antara estetika dengan etika
Rata-rata ramai yang menolak tayangan drama tersebut atas keprihatinan untuk melindungi nilai agama dan norma budaya masyarakat Melayu.
Sebahagian penonton berasa tidak selesa dengan keberanian paparan babak hubungan sesama jenis yang dianggap ‘luar nalar’.
Sebahagian masyarakat juga beranggapan tayangan drama itu hanya akan mempromosikan atau menormalisasikan ‘budaya songsang’.
Maka, kelainan estetika dalam drama itu melalui penggambaran atau ‘shot nakal’ yang diambil itu tidak dapat dihargai oleh penonton atas sebab tersebut.
Namun, seandainya babak itu dipaparkan hasil cerminan realiti masyarakat yang sedang berlaku dalam dunia sebenar, kita tidak dapat tolak hakikat perkara tersebut meskipun kita tidak senang dengan hakikatnya.
Hal tersebut termasuklah babak yang menggambarkan keganasan rumah tangga yang tidak seharusnya dilepas pandang.
Justeru, sekiranya tayangan drama itu dihasilkan daripada inspirasi realiti dan paparan sosial, persoalan yang mungkin lebih mustahak ialah tentang krisis etika sosial yang sedang melanda dan kurang tentang estetika drama yang kita tidak selesa.
Tatkala dihidangi drama yang ‘mengganggu’ seperti Madu atau Racun, ia mudah untuk menjentik etika, nilai dan norma yang kita pelihara.
Itu merupakan satu hal biasa dan dapat difahami dalam masyarakat yang mempunyai sistem moral.
Namun, wajar juga untuk kita menepuk dada dan bertanya sama ada kita bersedia untuk berdepan dan menggali masalah sebenar yang berlegar di sekitar kita – seperti yang dipaparkan dalam drama itu.
Antara mesej dengan hiburan sensasi ‘berahi’
Enam episod yang telah disiarkan telah pun diminta untuk diturunkan atas sebab pertimbangan sensitiviti agama dan nilai atau norma budaya.
Baki enam lagi episod telah ditundakan untuk ditapis lagi sebelum dimuatnaikkan kesemua 12 episod.
Di sini, dapat kita fahami drama itu ‘disekat’ dengan pantas kerana menggambarkan budaya yang tidak selari dengan nilai dan masyarakat kita, sebelum sempat keseluruhan cerita itu ditayangkan.
Babak nakal dan berani seperti sama sekali tidak mendapat tempat sebagai hiburan untuk masyarakat.
Sekali lagi, hal tersebut merupakan sesuatu yang biasa dan dapat difahami dalam masyarakat yang bertunjangkan set nilai kehormatan dan maruah.
Dalam kebanjiran hantaran komen warga siber di ruang TikTok, Instagram dan Facebook, ada segelintir yang meluahkan bahawa hiburan ‘berahi’ drama Madu atau Racun itu berpucuk daripada sikap pembikin drama itu sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab – hanya merosakkan masyarakat apabila ditonton.
Tidak dapat dinafikan jika pembikin drama yang memasukkan unsur ‘berahi’ atas dasar hiburan semata-mata wajar dianggap sebagai tidak beretika, kerana telah menyebabkan kekacauan dan kegusaran dalam masyarakat yang berpegang pada nilai kebaikan dengan kukuh.
Sementelahan lagi, jika drama itu tidak mempunyai tujuan mesej yang jelas.
Namun, dalam konteks Madu atau Racun, sukar untuk kita membuat penilaian tuntas buat masa ini memandangkan hanya separuh daripada keseluruhan episod sahaja yang telah disiarkan (dan kini telah diturunkan).
Justeru, kita juga belum boleh dapat menentukan sama ada drama tersebut hanya sekadar alat hiburan sensasi yang berstrategi kontroversi.
Menurut laporan Utusan Malaysia, pengarah drama Madu Atau Racun, Eyra Rahman, menegaskan drama 12 episod tersebut tidak mengandungi babak keterlaluan kerana masih tertakluk kepada garis panduan dan pemantauan Lembaga Penapis Filem (LPF).
Tidak guna kontroversi sebagai strategi lariskan drama
Beliau juga berkata dalam laporan itu, beliau tidak menjadikan kontroversi sebagai strategi melariskan drama, sebaliknya menghasilkan babak berpandukan skrip serta sentiasa menyemak kelulusan tapisan bagi babak sensitif.
Maka, dengan kenyataan ini, ia menunjukkan kita belum boleh menilai matlamat utama – antara mesej dengan kontroversi sensasi yang ingin dicapai melalui drama itu.
Dalam mengamati sesebuah karya, kita boleh sahaja persoalkan apakah yang ingin dimaksudkan di sebalik babak tertentu, apatah lagi jika ia menampilkan sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
Namun, lazimnya kita hanya dapat menilai hanya selepas ia selesai diutarakan.
Jika boleh dibandingkan, situasi prinsip ini serupa dengan fenomena sewaktu drama popular, Project: High Council dimainkan, meskipun kegemparan dan kekacauan yang berakibat daripada drama itu tidaklah sekencang Madu atau Racun.
Sewaktu Project: High Council disiarkan, ramai warga siber yang persoalkan serta mengecam budaya buruk yang ditayangkan seperti keganasan, pergaduhan dan pengambilan bahan terlarang seperti dadah.
Namun, pada hujung drama itu, penonton mula sedar, tujuan utama drama itu adalah untuk mengkritik budaya buli atau ‘ragging’ yang berleluasa dalam masyarakat setempat tatkala menyedari keserupaan drama itu dengan realiti harian.
Secara tuntas, drama yang ‘menguji’ keselesaan masyarakat wajar untuk kita persoalkan dan cermati.
Namun, persoalan itu harus mempertimbangkan matlamat, mesej dan etika – sama ada ia demi kesedaran masyarakat atau hiburan murahan semata.
