Berhubung penampilan dirinya yang dikatakan seksi, pelakon dan penyanyi Malaysia, Liyana Jasmay, 37 tahun, mengaku menerima teguran seorang agamawan secara terbuka baru-baru ini.
Selebriti asal Kuantan, Pahang, itu berdepan kecaman hebat apabila penampilannya menjadi perdebatan hangat di media sosial kerana dianggap terlalu seksi.
Sebaliknya, Liyana secara jujur mengakui dirinya gemar bergaya sedemikian.
Apa pun, beliau tetap menjadikan nasihat yang baik sebagai panduan untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.
Susulan isu tersebut, kenyataan Liyana turut mendapat tindak balas daripada penceramah bebas yang dilapor menegaskan soal berpakaian perlu dilihat berdasarkan hukum halal dan haram.
Namun begitu, ibu dua anak perempuan itu akur tidak berkecil hati atau melenting mengenai hal terbabit.
Pada masa sama, Liyana mendakwa tidak menyimpan dalam hati teguran atau pandangan umum terhadap dirinya.
“Tidak ada rasa marah atau sakit hati. Saya tidak rasa apa-apa pun.
“Apabila orang cakap benda baik atau tidak baik, saya terima sahaja. Semoga doa yang baik itu sampai kepada saya dan orang yang mendoakannya.
“Kalau ada orang yang cakap tidak baik, saya maafkan. Maksudnya, mungkin tidak sengaja mereka cakap seperti itu.
“Saya maafkan dan kalau jumpa saya di luar, janganlah tidak tegur saya,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Liyana ditemui BHM pada majlis pelancaran single terbarunya berjudul, Terluka, di Malaysia, pada 23 September.
Di samping itu, pelakon filem Khurafat itu mengaku tidak pernah mengambil hati dengan komen netizen kecuali jika ada individu yang berkata buruk mengenai ibu bapanya.
“Itu sahaja perkara yang paling sensitif bagi saya.
“Benda-benda lain, saya tak kisah dan saya terima dengan hati yang terbuka,” tambahnya.
Liyana mengakui tidak membaca komen dalam media sosial atau artikel berita hiburan yang memaparkan soal penampilan dirinya.
“Saya tidak baca komen netizen dan artikel berita.
“Banyak perkara lagi saya perlu uruskan, jadi, saya tidak baca.
“Itu hak mereka (netizen). Dalam industri kreatif ini juga, boleh jadi seorang selebriti atau sesiapa sahaja – semua orang ada hak untuk bercakap.
“Maksud saya, terpulang kepada diri masing-masing. Jadi, saya tak mahu halang atau marah,” ujar Liyana.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg