Setelah lama ‘menghilang’, pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 36 tahun, kembali mewarnai industri seni bukan sahaja sebagai pelakon, malah menerusi kerjaya nyanyian, arahan dan beberapa projek lain.
Menurut Liyana, sebagai anak seni, beliau tidak betah untuk duduk diam dan memilih untuk mencuba pelbagai cabang seni lain.
“Saya rasa terlibat dalam dunia seni ini sebagai satu ‘sumpahan’, susah nak tinggalkan.
“Walaupun saya sibuk di belakang tabir, jika ada masa terluang, saya masih menerima tawaran berlakon,” jelas beliau kepada laman web, Sinar Harian.
Liyana lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada projek secara satu per satu untuk mengelakkan diri daripada ‘terkejar-kejar’.
Dengan ini, pelakon filem Papadom itu mempunyai masa lapang untuk diisi dengan berlakon, menjayakan kempen mahupun menghasilkan lagu.
“Lagipun sekarang anak-anak sudah sekolah dan mereka memahami tugas saya,” tambah beliau di majlis tayangan dan sidang media filem terbaru lakonannya, Baik Punya Ah-Long.
Filem yang diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi, Datuk Afdlin Shauki, merupakan filem pertama yang Liyana lakonkan selepas 11 tahun ‘berehat’ daripada dunia perfileman.
Liyana menjelaskan bahawa filem Papadom 2 (juga dilakonkan bersama Afdlin Shauki) merupakan filem terakhir beliau sebelum berumah tangga dan mempunyai anak.
“Mungkin sebab pandangan atau tanggapan tertentu bahawa pelakon wanita berkahwin atau ada anak tidak lagi laku, maka tidak ada tawaran untuk saya.
“Saya harungi situasi sama, agak menyedihkan tetapi tidaklah sampai mematahkan semangat.
“Kalau ada tawaran pun, tidak ada yang menarik perhatian saya,” jelas ibu dua orang cahaya mata itu.
Tambah Liyana, tawaran daripada Afdlin ini sukar ditolak kerana ia ibarat impian yang menjadi kenyataan kerana Baik Punya Ah-Long adalah sebuah naskhah komedi muzikal.
“Saya sangat teruja dan dalam masa sama, gementar dengan penerimaan penonton. Adakah mereka suka, adakah mereka terhibur, faham atau tidak,” kata beliau yang kini sibuk di lokasi telefilem bersama Fattah Amin.
Filem ini merupakan kali perdana Liyana membawakan watak ibu. Hal ini tidak menjadi sukar baginya kerana beliau sudah pun bergelar ibu maka naluri itu pun datang dengan semulajadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg