Drama Malaysia terbaru lakonan penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, berjudul Madu atau Racun, mencetuskan kontroversi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Hasan, menolak penayangannya atas kebimbangan terhadap sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan.

“Kami amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara,” kata Dr Zulkifli, mengikut laporan Utusan Malaysia.

Madu atau Racun turut menerima pelbagai respons daripada pengguna media sosial apabila menampilkan karakter Nikita (lakonan Elisya Sandha) yang menyukai kaum sejenis dan berusaha menyelamatkan madunya, Azura (lakonan Uqasha Senrose) daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Drama 12 episod yang ditayangkan di saluran iQIYI sejak 14 Ogos itu juga menerima pelbagai reaksi netizen dalam talian Threads.

Ini termasuk daripada bekas suami pelakon Uqasha Senrose, iaitu Kamal Adli, tampil meminta orang ramai agar tidak menjadikan isu itu sebagai serangan peribadi atau mengheret keluarga Uqasha ke dalam kontroversi berkenaan.

“Minta maaf sangat saya tahu saya tak layak cakap apa-apa. Tapi tentang isu drama Madu atau Racun, tu harap sangat korang jangan lakukan serangan peribadi kepada Uqasha sehingga melibatkan nama anak saya, Hawra.

“Saya tak sokong tapi jangan sampai libatkan hal peribadi dan rezeki Uqasha,” kata Kamal di Threads.

Malah segelintir netizen turut berpendapat menerapkan pengajaran tidak perlu sehingga memaparkan adegan sukan lesbian, gay, biseksual, transjantina (LGBT).

“Tak salah nak sampaikan pengajaran, tapi tak perlu sampai paparkan benda yang boleh menormalisasikan LGBT. Kalau mesej boleh disampaikan tanpa aksi begitu, kenapa pilih untuk tunjuk? Kita cuma risau apa yang anak-anak tengok dan anggap normal,” kata pengguna nama ‘zul_fattah_4’.

Dalam satu kenyataan pada 2 September di Instagram, Metrowealth International Group (MIG) berkata pihaknya menyedari isu berkenaan yang tular dan mengakui terdapat beberapa babak dalam drama tersebut yang dilihat terlalu ekstrem untuk tontonan umum kerana menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami sama sekali tidak berniat untuk sengaja menyinggung perasaan, memperlekehkan atau mencetuskan sebarang kontroversi,” menurut MIG.

Susulan itu, pihak berkuasa dan wakil industri mengadakan satu mesyuarat yang melibatkan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), MIG, platform penstriman iQIYI, Forum Kandungan Komunikasi dan Multmedia Malaysia (CMCF), Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membincangkan perkara tersebut.

Pada 2 September, Bernama kemudian melaporkan iQIYI bersetuju untuk menurunkan enam episod drama yang telah disiarkan.

Manakala baki enam episod lagi ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod menjalani proses penyuntingan dan semakan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Encik Azmir Saifuddin Mutalib, berkata keputusan itu dicapai dalam pertemuan bersama iQIYI dan syarikat produksi susulan arahan Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil.

Menurut Encik Azmir, episod-episod berkenaan akan disunting mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapis Filem dan CMCF bagi kandungan penstriman over-the-top (OTT), sebelum kesemua 12 episod dinilai oleh panel.

Beliau berkata setakat ini tiada tarikh ditetapkan bagi drama itu kembali ditayangkan di platform berkenaan, kerana pihak produksi dan iQIYI perlu terlebih dahulu mengemukakan versi yang telah disemak untuk penilaian.

BH telah menghubungi Aliff untuk mendapatkan komennya.