“Duit dia, duit dia. Duit kita pun, duit dia. Kalau tak bagi, dicuri. Tak dapat dicuri, dipukul.”
Di sebalik rintihan yang menghiris kalbu ini, tersembunyi pedih derita yang telah lama dipendam oleh pelakon veteran Malaysia, Maimunah Ahmad, atau mesra disapa Mak Jah. Selama 15 tahun, beliau menempuhi bahtera rumah tangga yang penuh penderaan dan ketidakadilan.
Menerusi perkongsian dalam podcast Hitam Putih kendalian Datuk Rosyam Nor dan Erra Fazira, Mak Jah, kini berusia 77 tahun, mendedahkan episod hidup sebagai isteri ‘gantung tidak bertali’ sejak usia 30-an.
Ketika bercerita lanjut, Mak Jah, bintang popular filem Mami Jarum, mengakui bukan tidak mahu menamatkan penderitaan lebih awal, namun keterbatasan kewangan memaksa beliau terus memendam rasa.
“Memang ada terdetik (mahu) lapor.
“Tetapi, hendak pergi pun, kita tidak ada duit. Saya mencari rezeki sebagai jurusolek, hanya untuk memastikan anak-anak cukup makan dan dapat meneruskan persekolahan.
“Setiap kali pulang (ke rumah), saya akan melarikan diri kerana tidak ingin bertembung dengan dia (suami).
“Dia tak ada bagi duit belanja, macam mana saya nak makan,” luahnya dalam podcast itu, seperti dilaporkan laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Lebih mendukacitakan, pelakon veteran yang sering membawa watak ibu ini mendakwa, bekas suaminya bukan sahaja culas memberikan nafkah, malah sering bertindak agresif jika tidak diberikan wang.
Kemuncak penderitaan Mak Jah tiba apabila beliau dikasari sehingga pengsan di hadapan mata anak-anaknya sendiri.
“Dia memukul saya sampai pengsan, sehingga anak saya terpaksa melawan bapa sendiri untuk mempertahankan saya.
“Dari situlah saya nekad, kami tidak akan berbaik dan saya tidak mahu berjumpa atau mendengar suaranya lagi,” ujar ibu kepada tiga orang anak, 11 cucu dan tiga cicit itu.
Dalam pendedahan yang sama, Mak Jah turut berkongsi bahawa perkahwinan tersebut bukanlah atas kerelaan hatinya, sebaliknya diatur oleh pihak keluarga.
Kisah yang dimuat naik dalam laman YouTube ini telah mengundang pelbagai reaksi netizen. Rata-ratanya kagum dengan ketabahan Mak Jah membesarkan anak-anak sendirian, meskipun dihimpit pelbagai ujian getir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg