Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kismah Johar aktif berlakon pada usia senja

Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Pelakon veteran, Kismah Johar, meninggalkan jawatan sebagai pengerusi badan menjaga kebajikan anak seni, Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), demi kembali aktif dalam bidang lakonan.
Pelakon veteran, Kismah Johar, meninggalkan jawatan sebagai pengerusi badan menjaga kebajikan anak seni, Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), demi kembali aktif dalam bidang lakonan. - Foto BHM

Selepas sedekad berkorban masa dan tenaga, pelakon ‘emas’ Malaysia, Kismah Johar, 73 tahun, melepaskan jawatan sebagai pengerusi badan menjaga kebajikan anak seni, iaitu Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), demi kembali aktif dalam medan kreatif.

Selaku pengerusi bagi badan terbabit, beliau sanggup menolak sebarang pekerjaan dalam bidang lakonan.

Jika diikutkan, pada usia kini, Kismah yang berasal dari Ipoh, Perak, selayaknya bersara dan menikmati waktu lapang bersama anak cucu dan kucing peliharaan di rumah.

Namun, dek minat yang terlalu mendalam dalam bidang lakonan, Kismah memutuskan untuk kembali aktif sejak 28 Disember 2023.

Ditanya Berita Harian Malaysia (BHM) tidakkah lelah berada di lokasi penggambaran seharian, Kismah mengaku dirinya ‘workaholic’ atau seseorang yang gila kerja dan tidak boleh duduk diam. 

Apatah lagi, pentas seni sudah sebati dengan dirinya.

Baru-baru ini, Kismah juga baru selesai menjayakan drama 20 episod, terbitan Suhan Movies.

“Alhamdulillah, selepas saya meninggalkan jawatan sebagai Pengerusi YAVM atas pilihan saya sendiri, saya dapat kembali berlakon sepenuh masa.

“Saya fikir sudah cukup 10 tahun saya berkhidmat kepada ahli yayasan. 

“Selama itulah saya berkorban dengan tidak mengambil banyak tugasan demi memberi tumpuan kepada pertubuhan itu.

“Jadi, saya fikir, sekarang lebih baik saya kembali berlakon selagi ada hayat saya. Kerjaya asal memang pelakon dan minat terlalu mendalam.

“Berilah ruang dan peluang untuk diri sendiri kembali berlakon selagi kudrat masih ada dan diizinkan Allah. 

“Saya bersyukur Allah masih memberi kesihatan yang baik untuk kembali berlakon,” katanya dalam laporan di laman web BHM.

Di samping itu, Kismah juga lebih suka mengisi masa dengan melakukan pelbagai perkara termasuk membelai kucing peliharaan kesayangannya di rumah.

“Jika ada kucing terbiar, saya beri makan. 

“Itu kebajikan saya kepada haiwan kesayangan Nabi,” kata Kismah yang memiliki dua cahaya mata dan tujuh cucu.

Minat Kismah terhadap seni lakon tertanam sejak zaman persekolahan, apabila beliau banyak menyertai pementasan drama.

Darah seni itu diwarisi daripada ibunya, Allahyarhamha Fatimah Abdullah, yang berketurunan kacukan baba nyonya dari Singapura.

“Arwah ibu saya aktif di pentas teater opera. Jadi, darah seni itu mengalir kepada saya. Apabila berkahwin dengan arwah bapa dan peluk Islam, ibu berpindah ke Perak. 

“Pembabitan ibu dalam dunia seni bagaimanapun berakhir apabila beliau bergelar isteri,” jelasnya.

Kerjaya seni Kismah juga tidak akan berterusan tanpa sokongan suaminya, Zakaria Abu Bakar, 80-an tahun, yang merupakan bekas guru muzik.

Beliau turut mengakui suaminya sangat memahami dan memberi sokongan kepadanya terus aktif dalam seni lakon.

Mengimbau perjalanan sebagai anak seni, Kismah yang pernah bekerja sebagai kakitangan kerajaan pada usia muda, mula menceburi bidang lakonan pada 1973. 

Beliau yang popular dengan watak Mak Jah dalam drama bersiri, Keluarga Iskandar, mengakui dek minat mendalam dalam bidang lakonan, beliau berusaha mencari jalan untuk mengetengahkan bakat.

“Pada suatu hari, jiran saya yang juga pelakon, memperkenalkan saya kepada seorang individu yang menjayakan projek drama.

“Dalam drama itu, ada watak yang belum diisi, iaitu sebagai cikgu.

“Jadi, saya cuba tanpa ‘screen test’ (uji lakon) dan berjaya. 

“Saya terus diberi peluang dan dapat berlakon bersama syarikat penerbitan Amin Khan, dalam drama berjudul, Ceraian-Ceraian Harapan,” singkap Kismah.

Mengenai kerjaya lakonan pada usia 70-an, Kismah bersyukur tidak pernah diberi bayaran kurang setimpal biarpun dirinya pelakon veteran.

“Alhamdulillah, setakat ini, ramai yang faham. 

“Saya terangkan kepada pihak penerbitan mengenai bayaran. Saya tidaklah ‘demand’ (meminta lebih), tetapi, berpatutan.

“Namun, apa yang diberi, lebih daripada apa yang saya harapkan,” katanya.

Diminta berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan ketika menjayakan penggambaran, Kismah teringat peristiwa terjumpa hantu penanggal dalam penggambaran drama di sebuah perkampungan Orang Asli berdekatan Raub, Pahang. 

“Ada suatu hari, saya ‘shooting’ di lokasi kira-kira sejam dari pekan Raub. 

“Disebabkan rangkaian telefon lemah di kawasan perkampungan Orang Asli itu, saya terpaksa memandu sendirian selepas maghrib untuk pergi ke pekan Raub.

“Malangnya, ketika dalam perjalanan kembali ke tempat ‘shooting’ pada 12 tengah malam, saya terserempak dengan hantu penanggal lalu di depan kereta saya. 

“Saya nampak tali perut berjurai. Saya baca (doa) macam-macam. Saya menggeletar sampai keluar air mata jugalah,” kongsi Kismah.

Dengan pengalaman lebih lima dekad dalam dunia seni, Kismah mengakui terlalu banyak kenangan pahit manis yang dilalui, namun, tidak sesekali kesal dengan laluan yang dipilih.

“Macam-macam pengalaman saya simpan. 

“Ada lagi yang tak boleh lupa, apabila saya ‘shooting’ di Kampung Sungai Baru, Melaka.

“Saya mahu pulang balik dan kerana kepenatan berulang-alik, saya terlelap sekejap ketika memandu. 

“Kereta saya termasuk dalam longkang dan merempuh pagar rumah orang. 

“Alhamdulillah, panjang umur saya sampai sekarang,” ceritanya.

Kismah mengaku ramai rakan artis seangkatan bersifat ‘iron lady’ (wanita waja). Mereka berjiwa kental dan gigih membina nama sebagai pelakon wanita.

Antara pelakon wanita seangkatan yang disebutnya termasuk Allahyarhamha Maimon Mutalib, Ku Faridah, Rosnah Johari, Maimunah Ahmad atau ‘Mak Jah’ dan Aznah Hamid.  

“Ke mana sahaja, baik utara, selatan, timur atau barat, kami pergi seorang tanpa pengurus peribadi. 

“Zaman kami memang tiada pengurus peribadi. Artis sekarang semua ada ‘manager’.

“Bagaimana sukarnya kami sebagai pelakon, itulah kerjaya yang diminati. 

“Susah senang kami, tidak mengeluh, sebaliknya, rasa seronok, apatah lagi ketika berada di lokasi penggambaran bersama anak seni lain,” tambah Kismah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg