Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Makan malam sambil tonton muzikal konflik keluarga, cinta segi tiga

Rafaat Hamzah singkir watak bengis, jadi penjaja mi soto pandai menari dan menyanyi dalam pementasan, ‘Fried Rice Paradise: The Makan Party’
Aug 25, 2025 | 5:30 AM
Buat julung-julung kalinya, pelakon, pengarah, penerbit dan penulis, Rafaat Hamzah (kiri), tampil mengejutkan dengan watak yang tidak pernah dijayakan di kaca televisyen sebelum ini. 
Buat julung-julung kalinya, pelakon, pengarah, penerbit dan penulis, Rafaat Hamzah (kiri), tampil mengejutkan dengan watak yang tidak pernah dijayakan di kaca televisyen sebelum ini.  - Foto SINGAPORE REPERTORY THEATRE

Buat julung-julung kalinya, pelakon, pengarah, penerbit dan penulis, Rafaat Hamzah, tampil mengejutkan dengan watak yang tidak pernah dijayakan di kaca televisyen sebelum ini.

Sinonim dengan watak ‘garang’ di televisyen dan pentas, beliau kini tampil menari dan menyanyi dalam pementasan muzikal, Fried Rice Paradise: The Makan Party, terbitan Singapore Repertory Theatre (SRT).

Rafaat membawa watak Azhar, penjaja mi soto yang merupakan teman setia, Bee Lean (lakonan Serene Chen).

Beliau dianggap penggerak penting dalam membantu tauke gerai nasi goreng itu meleraikan pelbagai konflik.

Lebih menarik, Azhar adalah watak baru, hasil olahan skrip terkini, yang tidak pernah wujud dalam muzikal versi lama.

Walaupun diinspirasikan daripada lagu Dick Lee pada 1974 dan pernah dipentaskan pada 1994 serta 2010 dengan bintang seperti Taufik Batisah dan Rahimah Rahim, versi kali ini memberi kelainan dengan format makan malam sambil menyaksikan pementasan di Ballroom, Hotel Paradox di 20 Merchant Road.

Lengkap dengan hidangan lapan sajian, segalanya disajikan seiringan dengan perkembangan cerita.

Penonton juga bukan sekadar menonton, bahkan turut menjadi sebahagian daripada jalan cerita melalui undian menggunakan telefon bimbit selepas setiap hidangan – sekali gus, bertanggungjawab dalam menentukan bagaimana cerita itu berkembang.

Konflik utama berpusat pada Bee Lean yang ingin bersara tetapi tidak pasti siapa di antara dua anak perempuannya, Nancy (Natalie Yeap) atau Fancy (Ching Shu Yi), yang lebih layak mewarisi gerainya yang sudah ternama dengan hidangan nasi goreng.

Nancy berpegang pada tradisi dan keaslian rasa, sementara Fancy mahu bereksperimen dengan gaya moden menggunakan ramuan eksklusif.

Perbezaan falsafah itu diterjemahkan dalam bentuk pertandingan memasak dan diacarakan dengan penuh santai oleh Helen (Audrey Luo) dan Mustafa (Shrey Bhargava), rakan penjaja Bee Lean.

Hidangan kepada penonton menjadi sebahagian daripada persembahan.

Bayangkan kesukaran untuk penonton memilih antara nasi goreng tradisional Nancy yang pedas lagi beraroma, dihidangkan dalam kotak, membawakan kenangan manis dan nostalgia yang payah disingkirkan daripada minda.

Ia berbanding dengan versi campuran bijirin berkhasiat Fancy yang kreatif dan moden, tersaji dalam sebuah mangkuk kaca yang kelihatan mahal.

Sebagai pencuci mulut, Nancy menyediakan onde-onde yang lembut dengan inti gula melakanya, manakala Fancy membuat kejutan dengan ‘creme brulee’ berperisa pandan dan disalut manisan gula melaka, lantas menaiktarafkan kuih tradisional itu.

Setiap sajian disulam dengan drama, ketegangan, dan juga babak cinta segi tiga antara Nancy, Fancy dan Mustafa.

Apa yang menjadikan persembahan itu lebih hidup ialah sifatnya yang interaktif dan dinamik.

Menurut Rafaat, pasukan pelakon berlatih dengan dua skrip berbeza, bergantung kepada undian penonton pada malam persembahan.

Kespontanan pelakon diperlukan. Jarang kita dapat melihat pementasan sebegitu.

Dari segi pementasan, ruang ballroom menjadi medan dramatik dengan landasan utama di tengah dewan dan dua pentas dapur sebagai ruang peribadi Nancy dan Fancy.

Peralihan antara dunia di ‘depan’ dengan ‘belakang dapur’ bagaikan mengundang dan berjaya membawa penonton ‘masuk’ ke ruang dalam menghayati sedalamnya konflik keluarga itu.

Bengkel lima hari serta latihan intensif sebulan bagi persiapan muzik vokal yang dikendalikan SRT itu ternyata berbaloi.

Keseluruhan persembahan memperlihatkan profesionalisme dan keserasian pelakon yang utuh, dan membawa penonton berfikir tentang warisan budaya makanan kita yang kaya.

Dengan harga tiket antara $148 dengan $188 termasuk jamuan malam, Fried Rice Paradise: The Makan Party, bukan sekadar sebuah muzikal,malah menyajikan pengalaman teater dan makan malam yang menyeluruh, dengan menggabungkan nostalgia, konflik generasi, cinta dan jenaka.

‘Fried Rice Paradise: The Makan Party’ dipentaskan di Hotel Paradox, 20 Merchant Road, hingga 14 September. Pementasan Selasa hingga Ahad (makan malam 7.30 malam); Sabtu: 12.30 tengah hari dan 7.30 malam; Ahad 12.30 tengah hari dan 6 petang). Tiket berharga $148 hingga $188 boleh ditempah di str.sg/nDfz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg