Usah jadi seorang seniman.
Itulah pesanan seorang gurunya yang secara ironi menyuntik semangat pelakon dan pengarah veteran, Rafaat Hamzah, 59 tahun, untuk menjadikan bidang seni sebagai satu kerjaya yang membina masa depan.
Guru sekolah menengahnya, Cikgu Abu Samah Ahmad, sebenarnya menggunakan kaedah ‘reverse psychology’ atau psikologi terbalik demi membakar semangat Rafaat agar mengejar cita-citanya.
“Antara perkara yang guru saya suruh saya lakukan adalah menulis puisi untuk buku tahunan sekolah.
“Tetapi beliau juga sering berpesan, jangan jadi seniman.
“Saya rasa beliau memang pandai kerana beliau tahu bahawa semakin dilarang, semakin saya akan lakukan.
“Selebihnya adalah sejarah,” katanya dalam satu sesi sembang podcast dan vodcast khas Berita Harian, NoTapis Personaliti, yang disiarkan dalam empat episod bagi mengupas kehidupan ikon yang mencorak landskap masyarakat Melayu/Islam dalam pelbagai bidang termasuk seni.
Di sebalik wajah bengis Rafaat yang kerap mendukung watak samseng dan antagonis di televisyen, tersembunyi jiwa halus seorang seniman yang telah mencurahkan lebih tiga dekad hidupnya kepada persada teater, filem serta puisi tanah air.
Menurutnya, beliau juga tidak berhasrat bergelar seniman apabila mula-mula berlakon.
Segalanya bermula dengan kata-kata dan keindahan puisi, lirik lagu dan filem yang beliau tonton dan hadam sejak kecil.
“Hari-hari saya akan dengar lagu, menikmatinya dan hafal lirik.
“Kemudian saya banyak menonton sandiwara, filem-filem Melayu serta Indonesia dan saya pastikan saya menontonnya.
“Dari situ, berputik minat saya untuk menceburi kegiatan seni di sekolah, tetapi saya tidak pernah terbayang bahawa saya akan menjadikan lakonan sebagai kerjaya akan datang saya pada ketika itu,” jelasnya.
Di dalam dunia seni setempat, Rafaat terkenal dengan gaya penulisan, persembahan dan ekspresi bengisnya dalam bermacam watak yang dibawanya.
Lulusan ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Institut Teknologi Royal Melbourne (RMIT) itu berkecimpung dalam pelbagai cabang seni termasuk seni halus, lakonan, penulisan puisi, penulisan skrip, arahan seni dan tugasan belakang tabir.
Antara karya teater terkenal yang pernah dijayakannya termasuk Merdeka (2000) dan Hablur (1997), yang dicalonkan bagi ‘Skrip Teater Terbaik’ dalam Anugerah Persuratan, Anugerah Sastera Melayu 1997/1998.
Beliau juga telah memenangi beberapa Anugerah Pesta Perdana bagi penampilan di kaca televisyen.
Ini termasuk tiga Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama pada 1999 dan 2007 serta Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Pembantu pada 2023.
Baginya, sulit untuk beliau mengaku dirinya sebagai pelakon sehingga menjulang piala Pesta Perdana 2023 bagi drama Bidadari.
“Saya pada awalnya berlakon untuk memahami pengalaman pelakon daripada lensa seorang pengarah apabila saya pelajari selok-belok tugas seorang pengarah daripada aktivis teater mapan, Lut Ali.
“Jadi disebabkan itu, saya tidak pernah mengaku saya adalah pelakon.
“Tetapi setelah memenangi anugerah dengan kepujian yang tinggi, saya tidak boleh berfikir seperti itu lagi,” katanya sambil tertawa.
Rafaat berkecimpung dalam bidang seni dengan menjalankan tugas serentak sebagai pengukir arca dan pelakon pada 1988.
Namun begitu, setiap kemuncak jaya hidupnya tidak dikecapi tanpa luka tergores oleh kenangan silam.
Antara pengalaman hitam yang beliau pernah lalui adalah ketika dipenjara antara 2014 dengan 2015 kerana penyalahgunaan dadah jenis ice, atau syabu.
Pengalaman pahit itu, jelasnya, membentuk dan menguatkannya sebagai seorang individu dan seniman.
“Saya berpeluang menggunakan masa itu untuk rehat secara fizikal, mental dan rohani,” katanya.
Beliau terkenang nasihat sahabat rapatnya, pelakon Suhaillah Salam, yang menegurnya ekoran hidupnya yang terlalu memecut laju dan penuh tekanan.
“Beliau hanya memberi saya nasihat untuk rehat tetapi kata-kata itu mengubah cara saya melihat hidup,” tambahnya.
Selepas dibebaskan, Rafaat kembali ke lapangan seni dengan pendekatan baru, mengambil setiap langkah hidupnya dengan lebih perlahan dan lebih menyedari.
Beliau bermula dengan projek kecil, menulis skrip, mengarah, dan menghasilkan filem pendek dengan sokongan rakan-rakan terdekatnya.
Jadualnya kini padat dengan beberapa projek yang ramai boleh nanti-nantikan.
Antaranya termasuk drama bersiri terkini, Haranishi Zubaidah, yang dipadankan daripada peristiwa sebenar seorang wanita muda Jepun yang mengembara ke Singapura untuk mencari kebebasan pada era 1800-an.
Drama bersiri 10 episod, arahan pengarah tempatan, Mahfuz Mazlan, itu dijangka disiarkan di televisyen pada 2026.
Setelah tiga dekad dalam dunia seni, Rafaat berharap perjalanannya dapat menjadi inspirasi dan renungan kepada generasi seniman akan datang.
“Saya hanya ingin tinggalkan sebanyak mungkin ilmu kepada seniman muda supaya mereka boleh terus melestarikan seni di sini.
“Kalau saya tinggalkan dunia seni suatu hari nanti, itulah warisan saya,” ujarnya.
“
Antara perkara yang guru saya suruh saya lakukan adalah menulis puisi untuk buku tahunan sekolah. Tetapi beliau juga sering berpesan, jangan jadi seniman. Saya rasa beliau memang pandai kerana beliau tahu bahawa semakin dilarang, semakin saya akan lakukan. Selebihnya adalah sejarah.“
Saya hanya ingin tinggalkan sebanyak mungkin ilmu kepada seniman muda supaya mereka boleh terus melestarikan seni di sini. Kalau saya tinggalkan dunia seni suatu hari nanti, itulah warisan saya.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg