KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun menduda, penyanyi, Mamat Exists, mengakui berasa gementar apabila kembali bergelar tunangan orang.

Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48 tahun, mengikat tali pertunangan dengan Hariana Harani, 41 tahun, seorang ibu tunggal empat anak yang menetap di Kulai, Johor, lapor Harian Metro.

“Waktu dalam kereta, perasaan saya rasa lain, tetapi alhamdulillah, apabila dah sampai rumah pihak perempuan, semuanya berjalan dengan lancar.

“Saya dan keluarga disambut dengan baik.

“Tambah pula keluarga kami pun dah saling mengenali juga,” katanya kepada Harian Metro.

Mamat dan Hariana, atau lebih mesra disapa Yana, sudah hampir setahun berkenalan selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Meskipun menjalinkan hubungan jarak jauh, pasangan itu sering berhubung bagi mengenali hati budi masing-masing.

“Hubungan kami mula serius selepas lima bulan kenal.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur dan beliau pula Johor.

“Apabila selalu berhubung, kami berkongsi banyak perkara.

“Saya beritahunya tentang diri saya, beliau pun beritahu dirinya macam mana.

“Maknanya, masing-masing setuju dan boleh terima kelebihan dan kekurangan diri masing-masing,” katanya.

Menurut Mamat, hasratnya untuk kembali mendirikan rumah tangga turut mendapat sokongan anak-anaknya.

Bagaimanapun, pasangan itu belum menetapkan tarikh pernikahan mereka.

“Syukur... semuanya menyokong.

“Untuk majlisnya pula, hal itu kita belum tentukan lagi kerana kami baru bertunang.

“Sama ada kahwin tahun ini (2026) atau tahun depan (2027), bergantung pada jodoh,” ujar beliau.

Mamat pernah mendirikan rumah tangga bersama Marshila Mustapa Kamal pada 2001 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak, iaitu Aleeya Mysara, 24 tahun; Mohd Eiki Daniell, 22 tahun; dan Dylea Mysara, 20 tahun.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang cucu perempuan berusia lima tahun hasil perkahwinan anak keduanya.

Dalam perkembangan kerjayanya pula, Mamat kini kembali aktif bersama kumpulan Exists dan bakal menjayakan, Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru, di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, pada 9 Januari 2027.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti