Mamat Exists ubat rindu peminat, bakal adakan ‘showcase’ di KL
Mamat Exists ubat rindu peminat, bakal adakan ‘showcase’ di KL
Dijangka diadakan pada 13 Feb di Ideas Hotel KL
KUALA LUMPUR: Meskipun sudah bergerak solo, bekas penyanyi Exists, Mamat, 48 tahun, mengakui hubungannya dengan semua anggota kumpulan itu masih baik.
Mamat, atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, yang kini bernaung di bawah pengurusan Mekar Management berkata beliau juga tiada masalah dengan anggota kumpulan Exists walaupun ada gosip dan cerita dibangkitkan.
Menurutnya, beliau sudah bergerak ke hadapan dari semua gosip dan cerita itu kerana masing-masing sudah berusia selain matang sekarang.
“Bagi saya, perkara (gosip) itu bukan satu halangan dan kekangan untuk kami bersama dalam persembahan. Saya pun ada terbabit dengan persembahan bersama Exists di Kelantan dan Sarawak sebelum ini.
“Kalau ada projek khas atau konsert ‘reunion’ bersama Exists, saya akan sertai kalau mereka undang. Kalau mereka tak undang, tak kan saya nak sertai pula?” katanya yang sudah mempunyai cucu.
Mamat berkata demikian pada majlis pelancaran Mamat Mekar Showcase di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas ‘showcase’ itu, kata Mamat, beliau juga tiada masalah untuk menyampaikan lagu ‘hit’ Exists dalam persembahan selepas tidak lagi bersama kumpulan itu.
Mamat Mekar Showcase diadakan pada 13 Februari, bertempat di Ideas Hotel, Kuala Lumpur.
“Saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu Exists kecuali kalau lagu itu dinyanyikan penyanyi Exists sekarang, iaitu Ezad Lazim, kerana mungkin ada masalah sebab membabitkan hak cipta.
“Tapi saya juga ada rakamkan semula lagu lama dalam album kompilasi dan akan sampaikan lagu itu pada ‘showcase’.
“Kami sudah pilih rangkaian lapan hingga 10 lagu yang akan disampaikan iaitu Janji Padamu, Langkah Seiringan, Janji Bidadari, Rahsia Pohon Cemara dan Untukmu Ibu,” katanya, menurut Harian Metro.
Ditanya jualan tiket (meja) pula, kata Mamat, beliau yakin ia boleh menarik peminat menerusi rangkaian lagu malar segarnya.
“Kalau peminat membesar dengan lagu malar segar saya sekitar 1991, mereka mungkin ada memori dan mengimbau kenangan bersama saya.
“Cara penyampaian lagu mungkin sudah tak sama ketika zaman saya muda dulu kerana suara saya pun sudah berubah mengikut faktor usia sekarang.
“Sebenarnya, mereka mahu buat persembahan skala besar, tapi saya pun baru setahun bersama pengurusan baru. Jadi, kita mulakan dengan ‘showcase’ ini dulu untuk hargai peminat,” katanya.
Sementara itu, Mamat berkata beliau kini menjadi sukarelawan selepas hampir dua tahun di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Bentong, Pahang.
Katanya, rutin fasa pemulihannya di Pengasih tidak mengganggu dengan undangan persembahan yang diterimanya ketika ini.
Antaranya, beliau banyak menjayakan pelbagai acara secara solo termasuk festival, karnival jualan dan sebagainya.
Kini, Exists dianggotai oleh Ezad selaku vokalis kumpulan serta Ajai pemain keyboard, Along pemain gitar, Musa pemain bass dan Ujang pemain dram.

