Juara GV12 Iskandar Ismail pulang ke tanah air, disambut meriah peminat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara GV12 Iskandar Ismail pulang ke tanah air, disambut meriah peminat

Jan 22, 2026 | 6:57 AM

Juara GV12 Iskandar Ismail pulang ke tanah air, disambut meriah peminat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iskandar Ismail, Gegar Vaganza, juara, peminat, airport
Juara ‘Gegar Vaganza 12’, Iskandar Ismail (tengah), bersama kumpulan peminatnya, Eissentials FC, yang menyambutnya di lapangan terbang Changi pada 1 pagi, 22 Januari. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD
Peminat tegar, Cik Siti Salimah Saimbran (kiri), sanggup datang dari Woodlands untuk menyambut idolanya, pemenang juara ‘Gegar Vaganza 12’, Iskandar Ismail, di Lapangan Terbang Changi.
Peminat tegar, Cik Siti Salimah Saimbran (kiri), sanggup datang dari Woodlands untuk menyambut idolanya, pemenang juara ‘Gegar Vaganza 12’, Iskandar Ismail, di Lapangan Terbang Changi. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD

Sekumpulan peminat Iskandar Ismail, yang menggelarkan diri mereka Eissentials FC, setia menantikan kepulangan juara Gegar Vaganza (GV) musim ke-12 itu di Lapangan Terbang Changi, pada awal pagi 22 Januari.

Setelah lebih dua minggu berada di Kuala Lumpur bagi pertandingan nyanyian itu, Iskandar, yang tiba di Singapura pada 1 pagi, mengakui rasa penatnya hilang sebaik sahaja melihat kehadiran sekitar 20 peminat yang menyambut kepulangannya.

“Melihat semua di sini, rasa penat pun hilang. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang ada di sini, walaupun dah 1 pagi. Saya rasa gembira sekali,” katanya sejurus keluar dari balai ketibaan.

Sebelum itu, beliau turut ‘ditahan’ pegawai bertugas untuk bergambar.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Iskandar, yang juga mesra dikenali sebagai Eiss, berkata hingga ke saat akhir sebelum berangkat pulang, beliau masih sibuk memenuhi pelbagai komitmen di sana.

“Semalam saya ada sesi fotografi untuk Sorga, satu jenama kurta di sana, kemudian ada penggambaran muzik video Hari Raya untuk lagu Pulanglah versi saya, yang pernah dipopularkan oleh Aisyah.

“Selepas itu baru saya bersiap-siap untuk terbang pulang,” jelasnya mengenai jadual padat tersebut.

Kepulangan beliau pada 1 pagi, 22 Januari itu turut disambut oleh isteri tersayang, Cik Norazura Mohamad Ismail, bersama anggota Eissentials FC.

Seorang peminat tegar, Cik Siti Salimah Saimbran, 44 tahun, yang berada di lapangan terbang sejak jam 10.30 malam bersama suaminya, meluahkan rasa teruja dapat meraikan idola kesayangan mereka itu.

“Kami sokong Eiss sejak dulu, sejak pertandingan SG Mania pada 2014, hingga sekarang dan sampai bila-bila. Walaupun dari Woodlands, kami sanggup datang untuk meraikan juara,” kata Cik Siti.

Tambahnya lagi, sifat peramah dan tidak sombong Eiss sejak dahulu menjadi penyebab beliau begitu meminati penyanyi itu.

Bagi seorang lagi peminat yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Yanalee, 55 tahun, kepulangan Eiss wajar diraikan meriah sebagaimana sambutan yang diterimanya di Malaysia.

“Beliau selayaknya diraikan setelah sekian lama berada dalam industri ini. Saya harap apabila pulang ke Singapura, beliau dapat merasakan ‘vibe’ yang sama seperti di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cik Norazura, yang bertugas sebagai pengurus acara di restoran Permata dan menjemput suaminya selepas tamat waktu bekerja, berkata beliau telah mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama suami dan anak-anak.

“Sudah lebih dua minggu beliau di sana dan kami hanya dapat berjumpa sekejap sahaja. Saya berbesar hati dengan sokongan peminat yang hadir,” tutur Cik Norazura.

Menurut Eiss, kepulangan ini hanya untuk sementara waktu bagi memenuhi rakaman program Sinar Lebaran untuk saluran Suria pada hujung bulan ini.

Beliau kemudian akan kembali ke Kuala Lumpur untuk rakaman rancangan Hari Raya terbitan Astro dan merakamkan lagu baru.

“Rasa sangat lama berjauhan dengan keluarga. Sebaik saja pulang, saya hanya mahu menghabiskan masa dengan mereka,” katanya lagi, yang turut merancang membuat kejutan dengan menjemput dua anak perempuannya di sekolah tanpa pengetahuan mereka.

Eiss mengakui hidupnya berubah sekelip mata selepas bergelar juara musim ke-12, menyusuli jejak penyanyi Singapura yang lain, iaitu Hady Mirza (GV6) dan Aliff Aziz (GV8).

“Kelmarin semasa saya membuat TikTok ‘Live’, saya terkejut lebih 2,000 orang menonton. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Pengikut di media sosial juga bertambah sejak saya menyertai GV,” jelasnya.

Selain rindu kepada keluarga, Eiss turut mendambakan masakan isterinya, terutama asam pedas ayam.

Namun, ada satu yang akan dicarinya pagi nanti.

“Esok pagi (22 Januari) selepas Subuh, saya nak cari mi rebus!” katanya sebelum kembali melayan permintaan bergambar dengan peminatnya.

“Melihat semua di sini, rasa penat pun hilang. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang ada di sini, walaupun dah 1 pagi. Saya rasa gembira sekali. Rasa sangat lama berjauhan dengan keluarga. Sebaik saja pulang, saya hanya mahu menghabiskan masa dengan mereka.”
Iskandar Ismail, juara Gegar Vaganza 12.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg