Mampukah anak artis berdiri sendiri?
Mampukah anak artis berdiri sendiri?
Jadikan legasi seni ibu bapa sebagai pembakar semangat, tingkat usaha cari identiti sendiri
Mampukah anak artis berdiri sendiri?
Dalam gelanggang seni, label ‘anak selebriti’ sering disalah anggap sebagai kelebihan mutlak.
Realitinya, bayangan legasi itu sering kali mengikat, menjadikan usaha mengukir nama sendiri suatu ujian yang getir.
Persoalan itu menerjah minda saat saya menonton klip video di Instagram yang mengetengahkan dua penyanyi muda, Zaki Yamani, 19 tahun; dan Thalita Shuib, 12 tahun.
Dalam hantaran itu, mereka mendendangkan lagu cinta, Sandarkan Pada Kenangan, yang pernah dipopularkan oleh Datuk Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud, bagi filem Azura (1984).
Lagu tersebut diberi nafas baru dan dirakam semula pada 2003, menampilkan gandingan Jamal Abdillah bersama Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin.
Telinga saya segera menangkap gema vokal Zaki yang mewarisi aura ayahnya, Jamal Abdillah, namun dengan lenggok dan tona yang lebih bersifat kontemporari.
Thalita, pula mempamerkan kemiripan ketara dengan gaya nyanyian ibunya, Siti Sarah.
Secara peribadi, saya menyifatkan lagu tersebut berpotensi besar untuk diolah menjadi ‘versi 3.0’, dengan improvisasi yang mendekati selera generasi muda.
Sebagaimana penyanyi Indonesia, Vidi Aldiano dan Tiara Andini, memberi sentuhan segar pada lagu Buktikan, nyanyian asal Dewi Sandra, agar kekal relevan buat santapan halwa telinga Generasi Z yang mendambakan nuansa muzik moden.
Begitu juga dengan versi terbaru lagu Sinaran, dendangan Rossa bersama MK-Clique baru-baru ini, yang menyuntik ciri ‘dance pop’ serta ‘rap’, sekali gus menghidupkan semula lagu ikonik nyanyian asal Datuk Sheila Majid itu.
Namun, di sebalik nostalgia yang indah itu, timbul persoalan mendesak: Sejauh manakah penyanyi muda ini mampu menyerlahkan identiti sendiri, tanpa sekadar menjadi bayangan legasi yang ditinggalkan?
Bagi saya, Thalita menunjukkan kemajuan positif dalam vokal dan keyakinan diri, selepas menjadi naib juara dalam program realiti, Talk To My Manager, anjuran Astro pada 2025.
Dia kini bukan lagi dikenali sebagai ‘puteri Siti Sarah’, sebaliknya menunjukkan kawalan vokal yang lebih mantap daripada bisikan nada lembut ke nota tinggi yang bertenaga.
Bagaimanapun, penampilannya yang kelihatan matang melebihi usia 12 tahun sering mengundang tanda tanya.
Saya melihatnya sebagai usaha membebaskan diri daripada stereotaip imej kanak-kanak.
Namun, adakah kematangan ini suatu pilihan dalam berseni atau tekanan industri?
Hanya masa yang dapat menentukan.
Tetapi kepercayaan dirinya di pentas jelas membuktikan dia sedang menapak ke arah kematangan dengan hala tuju sendiri.
Barangkali, suatu saat nanti, dia akan berjaya mencari identiti sendiri dan tidak terus-menerus dibayangi kejayaan sang ibu yang tiada tandingannya.
Seperti Thalita, Zaki turut menghadapi cabaran yang sama.
Sememangnya bakat nyanyian Zaki tidak dapat disangkal lagi.
Ramai dalam kalangan netizen yang menggambarkan Zaki sebagai ‘carbon copy’ bapanya.
Malah, ada juga yang menyamakan suaranya seolah-olah seperti ‘copy-paste’ daripada Raja Pop itu.
Dalam satu laporan NST Online, Zaki menafikan dakwaan dia hanya meniru suara bapanya demi meraih populariti.
Dia turut menambah perubahan dalam nada suaranya adalah perkembangan semula jadi seiring pertumbuhannya yang beranjak dewasa.
Bagi saya, Zaki dan Thalita memerlukan sokongan profesional daripada agensi yang tidak hanya mengurus jadual, bahkan turut mahir dalam aspek pengurusan artis dan lagu.
Yang utama, mereka memerlukan karya yang berani dan sepadan dengan kemampuan vokal, tanpa dibayangi pencapaian gemilang ibu bapa.
Lihatlah kejayaan Stephanie Poetri, 25 tahun, anak penyanyi diva Indonesia Titi DJ.
Beliau mencuri perhatian dengan muzik gabungan R&B dan ‘indie pop’ – pendekatan yang jauh berbeza daripada genre pop dan balada ibunya.
Sehingga kini, salah satu lagu yang berhasil menaikkan nama Stephanie ke carta populariti di rantau ini termasuk I Love You 3000, yang meraih sekitar 211 juta tontonan di wadah YouTube.
Malah, melepaskan diri daripada bayangan populariti ibu bapa bukanlah perkara baharu, seperti yang dibuktikan oleh Liza Aziz dan Iskandar Ismail.
Liza, 62 tahun, anak kepada seniman tersohor Allahyarhamha Normadiah dan Allahyarham Aziz Jaafar, adalah contoh pewaris seni yang tidak sekadar menumpang nama besar keluarga.
Juara Gegar Vaganza 11 (GV11) itu berjaya membina identiti sendiri melalui gaya persembahan yang bukan sahaja matang, malah cukup versatil untuk kekal relevan merentasi peredaran zaman.
Keupayaan untuk menyesuaikan kemampuan vokalnya dengan tuntutan muzik semasa turut membuktikan Liza seorang penghibur yang berdiri atas bakat sendiri.
Dalam arena yang sama, Iskandar, 47 tahun, dan juga anak kepada biduan Allahyarham R. Ismail, kini semakin menjadi bualan ramai di Malaysia dan Singapura.
Beliau memilih untuk tidak bersandar pada nama bapa, sebaliknya menegaskan diri sebagai artis berdikari dengan vokal mantap dan pemilihan karya yang berani.
Ini terbukti menerusi buah tangan terbarunya buat peminat berjudul, Mahal, lagu duetnya bersama juara Akademi Fantasia Megastar, Idayu Yaakob, sebaik sahaja bergelar juara Gegar Vaganza 12 (GV12).
Menariknya lagi, Iskandar seolah-olah memecah tradisi.
Jika bapanya dikenali sebagai antara pelopor genre tradisional, Iskandar pula lebih selesa mengalirkan jiwanya dalam genre rok.
Perbezaan jalur muzik ini menjadi kenyataan jelas beliau berani menonjolkan kelainan diri, tanpa terlalu mengikuti jejak langkah bapanya dalam genre yang sama.
Kesimpulannya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang kental.
Justeru itu, penyanyi muda dalam industri hari ini perlu lebih tekun dan berani menerima teguran demi mengasah bakat mereka.
Hanya dengan keberanian untuk keluar dari zon selesa, barulah mereka dihormati sebagai artis yang berdikari.

