KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan dirinya dengan kumpulan rap, 4U2C membuatkan ramai peminat terutama generasi Alpha tertanya-tanya siapa sebenarnya pasangan suami isteri, Man Senoi dan Mama Rap.
Man Senoi, 72 tahun, atau nama sebenar, Encik Othman Masri berkata, beliau dan Mama Rap, 62 tahun, atau Cik Ramziah Mohamed Noor tidak pernah menghilangkan diri selepas konflik yang berlaku susulan album kedua 4U2C pada era 1990-an.
“Kami sentiasa berkarya selama 31 tahun dan melahirkan artis seperti Shades, AzmanWanAidil, Atech dan Boys’R’Us . Saya cipta lagu dan Mama Rap buat lirik.
“Selain itu saya jadi pensyarah Perniagaan Muzic di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Lim Kok Wing serta pensyarah undangan di beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
“Selepas bersara, saya masih aktif dalam industri muzik tanah air. Saya pernah dilantik ahli tribunal di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selama tiga tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Man Senoi berkata, beliau tidak berkira apabila suka berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang berminat dengan muzik.
“Saya juga aktif bersama Badan Bukan Pemerintah (NGO) seperti Irama Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) dan jelajah seluruh Malaysia berkongsi pengalaman bersama belia seluruh Malaysia.
“Saya buat begini sebab minat mendalam terhadap industri muzik tanah air. Mama Rap pula bekerja sebagai pengurus klinik kesihatan dan kecantikan serta bersama sebuah jenama selama 15 tahun.
“Namun, kami tetap dan masih berkarya macam dahulu. Hasil terbaru kami boleh ditonton di saluran YouTube Music Man Entertainment. Sekarang anak dan cucu pun bergiat dalam ciptaan lagu dan lirik,” katanya.
Menurutnya, lagu-lagu mereka merangkumi pelbagai genre dari pop ke rock, jazz, R&B dan dangdut.
“Kami sedang mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri muzik tanah air. Jika hendak jadi ‘superstar’ hubungilah kami.
“Sudah terbukti hasil didikan dan produksi syarikat kami membuahkan hasil, bukan takbur tetapi nyata,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg