Komposer dan penerbit, Man Senoi dan isterinya, Mama Rap, yang juga pemilik hak cipta lagu-lagu 4U2C, mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran Konsert WE 4U2C Live In Concert, yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September ini.
Man Senoi atau nama sebenarnya, Othman Masri, 72 tahun, dan isteri, Ramziah Mohamed Noor, 62 tahun, berkata, mereka sepatutnya dimaklumkan perkara ini kerana mempunyai hak sepenuhnya terhadap hak cipta lagu-lagu 4U2C.
“Mereka tanda tangan sebagai artis di bawah syarikat kami, Zman Production. Kami yang kumpulkan mereka dan buat sesi uji bakat. Sebelum itu mereka menyanyikan lagu rok.
“Apabila dah cukup semua tujuh anggota, kami mula mencari syarikat rakaman tapi tak diterima, sebaliknya, ditanya apakah boleh jual konsep rap?
“Hidup kami sangat ‘struggle’. Jual rantai emas untuk buatkan baju mereka, nak bayar kos latihan mereka. Kami buat publisiti awal di akhbar dan peminat dah mula menggilai 4U2C,” katanya kepada Harian Metro.
Man Senoi dan Mama Rap berkata, tempahan awal sebanyak 50,000 unit membuatkan keyakinan mereka bertambah untuk mengeluarkan album sulung 4U2C pada 1992.
“Ketika itu belum ada nama. Kami akhirnya sepakat letakkan nama 4U2C dan berada di bawah pengurusan kami sepenuhnya dan syarikat rakaman BMG adalah pihak ketiga yang juga pengedar.
“Selepas album kedua, berlaku pergeseran antara kami dan ia berakhir di mahkamah dengan kemenangan kepada pihak kami. Namun, mereka ada juga mainkan lagu kami dalam persembahan sedangkan itu hak kami.
“Memang ada perasaan nak saman tapi apabila mengenangkan anggota lain, maka kami lepaskan. Tapi sekarang dah tak boleh lagi bertolak ansur,” katanya.
Man Senoi bertanya bagaimana 4U2C hendak mengadakan konsert jika 25 lagu merangkumi lagu-lagu popular adalah hak milik Zman Production?
“Jangan main-main dengan hak cipta. Undang-undang hak cipta di Malaysia sudah kuat.
“Jangan main-main. Kalau nak buat, buat betul-betul. Bukan kita larang kamu pakai, tapi kita tak nak kamu memperkotak-katikkan hak cipta. Saya pernah berada dalam Tribunal Hak Cipta dan tahu benda ini.
“Jangan cuba nak main api. Ini bahaya. Nanti kasihan perniagaan itu tak jadi. Tiket tak laku dan beberapa benda lagi, tak tahulah. Memang ini kebenaran. ‘Track’ itu kita yang bayar duit. Kita yang bayar produksi semua,” katanya lagi.
Menurutnya, semua 25 lagu itu hak milik mereka sepenuhnya dan anggota 4U2C tidak mengeluarkan apa-apa kos pun.
“Mereka cuma artis. BMG juga tak keluarkan duit. Jangan nak buruk-burukkan pasal royalti kerana semua tu kita dah bayar terus kepada BMG untuk bayar mereka.
“Nak buat konsert kena ambil permit. Ambil betul lagu itu dah dapat hitam putih. Dah dapat kelulusan daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) dan syarikat rakaman. Itu yang betulnya.
“Baru penganjur itu boleh buat konsert. Kalau tak, tak boleh buat membabi buta. Nanti boleh kena saman. Samannya sangat-sangat mahal. Jangan main-main,” katanya lagi.
Pasangan ini, bagaimanapun, masih membuka pintu untuk perbincangan lanjut dengan penganjur yang akan disertai peguam.
4U2C mencetus fenomena pada awal 1990-an selepas tampil dengan album sulung berjudul 4U2C yang ‘meletup’ dengan lagu Fiona, Kami Rappers, Hip Hop Tip Top Si Jantungku, Suara Asia dan banyak lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg