Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ke manakah pergi drama Ramadan, Lebaran sarat pesanan?

Mar 22, 2025 | 5:30 AM
Drama, ‘Syurgamu Ramadan’, yang dibintangi Ellie Suriaty, Eira Syazira, Ungku Ismail Aziz, Zarina Zainoordin, Shahar Yac’cob dan Elfira Loy, mencuri perhatian dengan pesanan yang mengangkat nilai kekeluargaan dan pentingnya saling memaafkan.
Drama, ‘Syurgamu Ramadan’, yang dibintangi Ellie Suriaty, Eira Syazira, Ungku Ismail Aziz, Zarina Zainoordin, Shahar Yac’cob dan Elfira Loy, mencuri perhatian dengan pesanan yang mengangkat nilai kekeluargaan dan pentingnya saling memaafkan. - Foto KOSMO

Pejam celik, kita sudah berada di 10 malam terakhir bulan suci Ramadan.

Sedang lagu Hari Raya rancak berkumandang di corong radio, hati saya turut dipenuhi rasa rindu menantikan tayangan drama di kaca televisyen yang mengetengahkan nilai murni sepanjang Ramadan dan Syawal.

Sewaktu kecil, saya gemar menonton drama, Syurgamu Ramadan, yang dibintangi Ellie Suriaty, Eira Syazira, Ungku Ismail Aziz, Zarina Zainoordin, Shahar Yac’cob dan Elfira Loy.

Drama arahan, Shahrulezad Mohameddin, itu disiarkan di Slot Samarinda TV3 pada 2010.

Ia mengisahkan tentang Datuk Halimaton (lakonan Ellie Suriaty), yang telah berpatah arang dan memutuskan hubungan dengan anak perempuannya, Marlia (Eira Syazira), kerana memilih untuk kahwin lari dengan pilihan hati, Budi, seorang pengawal keselamatan di luar bandar.

Hasil perkahwinan Marlia dan Budi (Shahar Yac’cob), mereka dikurniakan lima cahaya mata berusia antara lima dengan 15 tahun.

Budi yang ingin memulihkan keadaan dan membaiki hubungan antara Datuk Halimaton dengan Marlia, memujuk isterinya supaya pulang ke pangkuan ibunya agar mereka sekeluarga juga dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama.

Namun begitu, Budi dan Marlia, ditimpa malang tidak berbau, dan meninggal dunia akibat kemalangan sebelum sempat bertemu dengan Yassin (Ungku Ismail Aziz), adik Marlia, di kota. 

Dari situlah, Yassin memulakan usaha untuk melembutkan hati Datuk Halimaton agar menerima kembali cucu-cucunya, yang merupakan darah dagingnya sendiri.

Apabila menonton drama ini, saya kerap bergenang air mata kerana tidak dapat menahan sebak terutama mengenang tragedi yang menimpa Marlia dan Budi, kerana pada akhirnya, mereka tidak sempat bertemu Datuk Halimaton dan meminta maaf.

Lebih daripada itu, ia turut mendidik masyarakat agar mengamalkan sifat, buang yang keruh, ambil yang jernih dan saling memaafkan kerana kita tidak akan tahu bila ajal menjemput.

Kisah yang sarat dengan pengajaran seperti ini, mengajak penonton merenung kembali makna sebenar Ramadan dan Aidilfitri, menjadikannya waktu untuk memperbaiki hubungan dengan anggota keluarga, melebihi sekadar perayaan bagi umat Melayu/Islam.

Bagaimanapun, tidaklah semua drama bertemakan Ramadan atau Syawal perlu dipenuhi babak ‘potong bawang’ atau membuat penonton berlinangan air mata. 

Ada juga drama berunsur jenaka, misalnya, telefilem sempena Aidilfitri berjudul, Serunding, yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria pada 2016.

Dibintangi bakat tanah air seperti Haryani Othman, Era Farida, Khairudin Samsudin, Anwar Hadi Ramli, Diana Amran dan Izzat Yusoff, telefilem ini mengimbau kembali kenangan kanak-kanak yang melalui kehidupan di flat kejiranan pada zaman 1990-an.

Yang mencuit hati adalah melihat gelagat pelakon dewasa membawakan watak kanak-kanak dan melalui hal yang lazim seperti puasa setengah hari, menggigil berdepan dengani guru ngaji yang garang sambil memegang rotan, ‘moreh’ (makan lewat malam) selepas tarawih serta membantu orang tua berjualan semasa bulan puasa.

Selain itu, drama kesayangan warga Singapura yang disiarkan di saluran Mediacorp Suria, Bubur Masjid Air Katira, juga pernah menghiasi layar televisyen dan menyemarakkan lagi suasana Ramadan dan Aidilfitri selama empat musim.

Lakonan pelawak veteran seperti, Ahmad Stokin dan Allahyarham Alias Kadir, sentiasa bikin saya pecah perut dan tidak kering gusi.

Sayangnya, sejauh ini, saya rasa belum ada tayangan drama yang boleh menandingi senarai di atas.

Dalam era teknologi yang semakin canggih, masyarakat kini cenderung memilih kandungan yang ringkas tetapi penuh dengan mesej bermakna.  

Di media sosial, kita dapat menyaksikan pelbagai drama yang disisipkan dalam iklan yang dihasilkan untuk memberi sekilas renungan dan secebis hiburan menjelang Aidilfitri.  

Menukil contoh, drama iklan jenama baju Melayu, Elrah, berjudul Tak Pernah Suka Mak, mencuri perhatian netizen di laman web, TikTok dan YouTube pada 2024.

Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti, Fatimah Abu Bakar, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, MK Clique, Amir Ahnaf, dan Fadhli Masoot.  

Meskipun sederhana, iklan ini menyampaikan pengajaran mendalam tentang pentingnya kasih sayang dalam keluarga serta penyesalan tatkala Aidilfitri diraikan tanpa kehadiran insan tersayang.

Saya menyedari bahawa pendekatan ini lebih berkesan dan mudah menarik perhatian orang ramai, terutamanya dengan semakin ramai yang kini memperolehi hiburan melalui media sosial.

Namun, ia mungkin tidak mampu memberikan kesan mendalam dan bertahan lama dalam ingatan seperti drama berepisod atau bersiri.

Bagaimanapun, saya percaya bahawa melalui drama penuh pengertian, ia dapat membantu membentuk kesedaran mengenai budaya, amalan sewaktu Ramadan dan Syawal, serta mengangkat tema kemanusiaan, persaudaraan dan keinsafan yang seiringan dengan semangat dua bulan penuh keberkatan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg