Soalan yang sentiasa membara di hati pelawak dan penulis naskhah komedi, Husin Saaban, ialah mengapa pelawak Singapura tidak senasib dengan rakan penghibur mereka di Malaysia yang cukup laku di pasaran?
Peluang dibuka begitu luas bagi pelawak seberang seperti Nabil Ahmad, Johan Raja Lawak dan Jep Sepahtu untuk menjadi penyiar radio di stesen popular, Era FM, Sinar FM dan Hot FM.
Demikian pengamatan Husin dalam sembang petang bersama Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.
Menurutnya, sebilangan pelawak lain di Malaysia juga berupaya mengendalikan siaran podcast dan vodcast yang mencuit hati sehingga diikuti ratusan mahupun jutaan peminat yang setia mendengar atau menonton.
Apa yang menggalakkan ia bukan setakat podcast atau vodcast yang hanya mengikut trend semasa atau bak melepaskan batuk di tangga.
Sebaliknya, banyak isu sosial yang bermain di fikiran tentang penderaan, layanan tidak saksama di tempat kerja mengikut jantina, atau ditikam belakang oleh sahabat karib, yang dibincangkan pelawak yang mengendali podcast secara santai dan selamba.
Bagaimanapun, peluang serupa tidak dibuka pula untuk pelawak Singapura, yang jelas Husin, sebenarnya ada banyak idea, humor dan bahan untuk disumbangkan bagi ‘memancing’ lebih ramai pendengar.
“Walhal, pelawak Singapura boleh sahaja berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelawak dari mana-mana negara jiran, baik Malaysia atau Indonesia, jika ada rezeki.
“Cuma kita perlu ruang dan peluang serta keyakinan pelawak dapat menerajui amanah mengendalikan program radio atau podcast mahupun segmen dalam program radio.
“Kita bukan nak rampas rezeki deejay atau podcaster. Ada segmen untuk kita kendalikan di radio pun jadilah. Tapi kalau kita tengok perkembangan di Malaysia, memang untung jadi pelawak. Mereka paling laku di tv, radio, filem, iklan, podcast, YouTube dan media sosial.
“Jadi pelawak memang tidak mudah. Bukan senang nak bikin orang ketawa. Banyak kena perah idea dan pecah kepala. Rencah-rencah mesti cukup. Nak kena tengok siapa sasaran kita dan menggunakan platform apa untuk membuat penyesuaian sewajarnya.
“Kalau ditanya apa yang kurang dan tandus sehingga boleh menjejas prestasi dan perkembangan lawak di Singapura, saya akan katakan ekosistem lengkap yang saling mendokong dan menyokong untuk mewujudkan zaman kegemilangan arena komedi Singapura seperti dahulu,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah bertemu pihak pengurusan radio Melayu Singapura lama dahulu untuk bertanya kemungkinan wujud peluang bagi pelawak mengendalikan program atau segmen tetap dalam sesebuah program.
“Saya teringat Nabil, Johan dan Jep, yang pernah saya temui dalam program lawak sewaktu bekerja di Astro dulu.
“Macam mana hidup mereka bertukar 360 darjah kerana kerjaya lawak ini membuka pintu rezeki lebih luas untuk mereka sampai boleh beli rumah besar dan pandu kereta mewah?
“Dari jadi pengirim surat atau ‘Mat Despatch’ dan pernah jual burger di jalanan, Nabil kini antara pengacara mantap program realiti Astro.
“Jep pernah cuci mesin di syarikat percetakan sebelum beralih tugas sebagai pengangkat bagasi di lapangan terbang.
“Tapi selepas utarakan idea pada bos radio berkenaan, tak ada langkah susulan. Saya pun terfikir agaknya dia takut kalau kami masuk radio, nanti kami pula lawan tauke! Deejay susah cari makan,” seloroh Husin. - HARYANI ISMAIL
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg