Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Drama jenayah ‘Operandi Gerhana’, Norman Ishak menang besar di Pesta Perdana 2025

Syarikat penerbitan Poetry In Motion juga cemerlang dengan tiga kejayaan telefilem Aidiladha
May 26, 2025 | 5:30 AM
Pesta Perdana 2025,  pelakon Norman Ishak, menang
Pada Pesta Perdana 2025, pelakon Norman Ishak, yang sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak kecil lagi, menang besar dengan tiga anugerah iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Personaliti Lelaki Paling Popular. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Siri drama jenayah, Operandi Gerhana, yang berlatarbelakangkan keadaan kelam dan berbahaya pada 1955 dan bertemakan sejarah Singapura, menang besar dengan tiga anugerah pada acara gilang-gemilang yang menghargai bakat televisyen di saluran Melayu Mediacorp Suria, Pesta Perdana 2025.

Dengan menghimpunkan bakat serantau dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, serta Australia, drama yang mula disiarkan pada 25 September 2023 di aplikasi mewatch dan platform penstriman Netflix itu membuka selingkar kisah kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk perjudian, penjualan dadah dan pelacuran.

Karya seni terbitan Infinite Studios dan arahan pengarah Mike Wiluan itu, berhasil memenangi Anugerah Siri Drama Terbaik pada acara yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei.

Pelakon Malaysia, Carmen Soo, 47 tahun, yang memainkan watak mencabar sebagai mama-san (penjaga wanita yang bekerja di bar) bernama Lily dalam Operandi Gerhana, pula memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Drama Bersiri pula disandang pelakon asal Indonesia dan mantan ikon MTV Asia, Jamie Aditya, 55 tahun.

Ketika ditanya Berita Harian (BH) mengenai kemenangannya, Soo berkata:

“Saya rasa sangat gembira dan terharu. Saya juga masih dalam keadaan terkejut dan sedang mencuba untuk mencerna semua perasaan ini.

“Saya melihat anugerah ini sebagai satu dorongan untuk terus gagahi cabaran (dalam lakonan), tidak kira tempat, era mahupun bahasa.

“Saya juga berterima kasih kepada Mediacorp Suria atas peluang ini. Jika diberi peluang, sudah tentu saya terbuka untuk berlakon dalam penerbitan Singapura di masa akan datang.”

Jamie, yang memainkan watak Aksad, pembunuh penuh misteri yang dibutakan dek dendam dan tidak berhati perut dalam drama Operandi Gerhana, pula menambah:

“Saya tidak sangka bahawa saya akan menang kerana terdapat ramai pelakon yang handal dalam kategori tersebut, seperti rakan pelakon, Fir Rahman, yang turut terlibat dalam drama Operandi Gerhana.

“Menurut saya, cara beliau melakonkan watak Omar dalam Operandi Gerhana sangat baik sekali. Anggaplah anugerah ini untuk Fir juga,” kata Jamie.

Mantan ikon MTV Asia dan pelakon, Jamie Aditya, buat julung-julung kalinya dianugerahkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik  – Drama Bersiri bagi drama ‘Operandi Gerhana’ di Pesta Perdana 2025.
Mantan ikon MTV Asia dan pelakon, Jamie Aditya, buat julung-julung kalinya dianugerahkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik  – Drama Bersiri bagi drama ‘Operandi Gerhana’ di Pesta Perdana 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Turut sebak dengan kejayaan membolot tiga anugerah (kesemua pencalonan yang diterima) adalah pelakon serba boleh, Norman Ishak, 37 tahun, yang mengulangi kejayaan meraih Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama – Siri Drama pada Pesta Perdana 2023.

Beliau memenangi kategori tersebut bagi drama komedi, Cerita Dia Macam Ni, dan turut disanjung dengan Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Telefilem/Antologi untuk drama Bingit Siri Kelima; dan anugerah yang ditentukan undian penonton, Personaliti Lelaki Paling Popular.

Dalam kategori Personaliti Lelaki Paling Popular, beliau berhasil menandingi Fadhlur Rahman, Hafidz Rahman, Hazim Saini dan Zhin Sadali, tetapi menyebut satu-persatu kelebihan rakan seninya ketika menerima anugerah.

Norman, anak pelawak dan pengacara, Allahyarham Ishak Ahmat, meluahkan rasa syukur dan sebak tatkala mengenang kali pertama beliau hadir ke Pesta Perdana sebagai ‘flower boy’ atau anak kecil yang memberikan bunga kepada pemenang anugerah pada Pesta Perdana edisi pertama (1997).

Sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang lakonan, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah dek didikan yang diterima ibu bapanya dan bakat seni mapan agar tidak cepat berpuas hati dan meletakkan harapan ketika dicalonkan dalam sebarang majlis penyampaian anugerah.

“Orang-orang yang saya kagumi dalam seni hiburan menasihati saya agar tidak utamakan sangat pada penganugerahan. Mereka turut memberitahu saya untuk terus bekerja keras dan tingkatkan diri,” katanya dengan mata bergenangan.

Anugerah Personaliti Wanita Paling Popular pula dimenangi pelakon berpengalaman, Wahyu Rahman, yang menewaskan Daya AJ, Izyan Mellyna, Lydia Asyiqin dan Sofia Dendroff.

Penerbit dan pelakon, Wahyu Rahman, memenangi anugerah Personaliti Wanita Paling Popular, menandingi calon-calon lain seperti Daya AJ, Izyan Mellyna, Lydia Asyiqin dan Sofia Dendroff.
Penerbit dan pelakon, Wahyu Rahman, memenangi anugerah Personaliti Wanita Paling Popular, menandingi calon-calon lain seperti Daya AJ, Izyan Mellyna, Lydia Asyiqin dan Sofia Dendroff. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pesta Perdana turut mengiktiraf usaha syarikat penerbitan cemerlang iaitu Poetry In Motion, yang berjaya mencuri tumpuan dengan pencalonan dalam lapan kategori, baik dalam bidang lakonan mahupun penerbitan sekali gus memenangi tiga daripadanya – Telefilem/Antologi Terbaik; Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Drama Bersiri (Atyy Malek dalam Mencari Marina); dan Pelakon Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi (Nurul Nabila dalam Bisikan Syahdu).

Penerbit eksekutif dan pengasas bersama Poetry In Motion, Nusaibah Abdul Rahim, menjelaskan penceritaan paling mustahak bagi pihaknya. Demi menjayakan telefilem sempena Hari Raya Haji 2024, Bisikan Syahdu, sebanyak 60 peratus penggambaran telefilem ini dibuat di Singapura manakala 40 peratus pula dirakam di Jeddah, Arab Saudi.

Bonusnya, pasukan kecil Poetry In Motion dan barisan pelakon telefilem ini berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama.

“Dari segi pasukan pelakon, memang semuanya hebat seperti Husin Saaban, Hashimah Hamidon, Nurul Nabila dan Ahmad Syarif. Telefilem penuh impak ini turut menandakan kemunculan Syarif semula dalam arena lakonan,” kata pengarah Bisikan Syahdu, Muhammad Safiyuddin Mohd Razif, yang juga pengasas bersama Poetry In Motion.

Pelakon dan pelawak veteran, Husin, bintang telefilem Aidiladha itu, turut disampaikan dengan Anugerah Perdana Emas atas pencapaian sepanjang hayatnya.

Husin, 72 tahun, yang dianggap ‘pemikir’ kandungan lawak menerima pengiktirafan itu daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam, bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

SENARAI PEMENANG LAIN:

– Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Drama Bersiri: Atyy Malek (bagi drama, Mencari Marina)

– Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Telefilem/Antologi: Sharon Ismail (bagi telefilem, Mencari Hajar)

– Pelakon Wanita Terbaik - Telefilem/Antologi: Nurul Nabila (bagi telefilem, Bisikan Syahdu)

– Pelakon Terbaik dalam Watak Komedi: Najib Soiman (bagi drama, Cerita Dia Macam Ni)

– Artis Harapan Terbaik: Zhin Sadali (bagi drama, Bingit Musim Kelima)

– Pengacara Terbaik - Hiburan: Hafidz Rahman (bagi rancangan, Berani Nyanyi? Musim Kedua)

– Pengacara Terbaik - Informasi: Huda Ali (bagi rancangan, Cantik Detektif Musim Kelima)

– Bintang Cilik Terbaik: Mishall Kiara (bagi drama, StigMa Lea)

– Rancangan Informasi Terbaik: Kembara Kasih Musim Kelima (terbitan Filmat36 (S))

– Rancangan Hiburan Terbaik: Berani Nyanyi? Musim Kedua (terbitan Oonik)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg