Dalam meniti perjalanan seni yang merentas dua dekad, akhirnya penyanyi Malaysia, Misha Omar, 43 tahun, menghamparkan impian yang sekian lama dipendam dalam lipatan rasa, iaitu konsert solo berskala besar.
Baginya, konsert itu bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya, menjadi nadi kepada detik bersejarah dalam kehidupan sebagai anak seni.
Bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November depan, Konsert DIA Misha Omar, bukan sahaja merangkum pencapaian kerjaya, malah, menjadi pentas menyulam kasih antara suara dan jiwa yang sekian lama bernaung bersama peminat setia.
Misha, atau nama sebenarnya, Samihah Aisah Omar, meluahkan rasa terharunya apabila tiket tiga kategori habis dalam masa hanya 15 minit selepas jualan dibuka pada 25 Julai.
“Macam ikan piranha peminat serbu, sampai ada yang marah-marah kenapa cepat sangat habis,” ujarnya berseloroh, namun sarat rasa syukur.
Dalam nada tenang Misha menyifatkan sambutan hangat itu sebagai isyarat jelas bahawa kehadirannya masih bererti dan impian peminat untuk melihatnya menguasai pentas bukan sekadar pujian manis demi mengambil hati.
“Apa yang tinggal kini hanya beberapa kategori tiket.
“Itu pun sudah sipi-sipi. Saya takut juga sebenarnya kerana akhir tahun ini (2025) ada banyak konsert besar.
“Tetapi peminat membuktikan cinta mereka bukan ilusi dan mereka benar-benar memaksudkannya.
“Saya sangat menghargainya,” kata Misha ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis pelancaran single terbarunya, Break, di sebuah hotel di Malaysia.
Ditanya sama ada konsert itu akan ditambah ke malam kedua, andai semua tiket terjual lebih awal, Misha berkata perkara itu perlu ditimbang secara rasional kerana membabitkan banyak pihak.
“Ramai yang minta tambah satu malam lagi.
“Tapi ini bukan konsert suka-suka. Ada pemuzik, ada pasukan penerbitan dan semua ini perlukan bayaran.
“Saya bukan ‘scammer’ (penipu) yang ambil duit tiket, lepas itu menghilang.
“Saya percaya kalau peminat sanggup beli tiket konsert artis luar, tiada sebab mereka tak boleh beri peluang pada artis tempatan seperti saya.
“Tapi untuk sekarang, satu malam dulu. Kalau tiket betul-betul habis sebelum waktunya, kita pertimbangkan,” jelasnya.
Misha menambah, konsert bukan sekadar pertemuan penyanyi dan penonton.
Ia satu ibadah seni yang menuntut tubuh cergas dan suara yang ampuh.
“Persiapan intensif biasanya bermula 60 hari sebelum konsert.
“Saya kawal pemakanan seperti kurangkan gula, elakkan makanan berminyak.
“Tidak boleh minum banyak air berais. Saya bersenam, angkat berat serta berlari-lari anak.
“Saya buat ini bukan semata-mata mahu kelihatan langsing, tapi untuk bertenaga di pentas,” katanya.
Misha turut meneruskan sesi latihan vokal bersama guru yang amat dihormatinya, Datuk Syafinaz Selamat.
Ini bagi memastikan suaranya tidak hanya merdu, tetapi kekal tajam dan bernyawa untuk menjulang emosi setiap lagu.
Menyelusuri kembali perjalanan seni selama 23 tahun, Misha berkata kekuatan untuk kekal relevan bukan datang hanya dari bakat dan kerja keras, malah kerana sokongan media yang tidak pernah putus.
Bahkan, Misha mengakui hubungan dengan media sangat istimewa.
“Saya percaya Tuhan temukan kita dengan orang yang betul pada waktu yang betul.
“Wartawan bukan sekadar menulis kisah saya, tapi mereka bantu saya berdiri saat saya rebah, membina keyakinan ketika suara saya hilang, dan menyimpan kisah ketika jiwa saya luka.
“Saya percaya mereka dan begitu juga sebaliknya. Ini bukan sekadar kerjaya, ini adalah keluarga dalam dunia seni saya,” katanya.
Pemilik suara yang membuai rasa itu turut berkongsi cerita di sebalik pembikinan Break, single terbaru ciptaan Melly Goeslaw, iaitu figura tersohor dari seberang yang sudah lama diimpikannya untuk berkolaborasi.
“Melly faham karakter suara saya.
“Dia tahu saya ini ‘storyteller’ dan saya suka sampaikan cerita dalam lagu.
“Liriknya mungkin ringkas, tapi bila dihayati, ia bagaikan puisi cinta yang meresap dalam relung hati.
“Kisah cinta yang dipaparkannya dalam lagu ini sangat unik,” ungkap Misha.
Meskipun lagu itu tidak layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana tidak memenuhi syarat penciptaan apabila dihasilkan komposer asing, bagi Misha, penghargaan sebenar adalah apabila lagu itu didengar berulang-ulang oleh khalayak.
“Kalau lagu empat minit itu mampu mengikat hati seseorang, membuat dia mahu ulang dengar berkali-kali, itu sudah lebih dari cukup untuk saya.
“Kalau rezeki lagu itu ke anugerah, itu bonus.
“Tetapi, kalau lagu ini menggetarkan hati pendengar, itu anugerah sebenar.
“Meskipun peminat kata lagu Break sedikit ‘aneh’, tetapi yang ‘aneh’ itulah yang kita mahukan,” ujar Misha.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg