Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia ingin jadi hab penggambaran penerbitan antarabangsa

Filem ‘Thunderbolts’ dan siri BBC ‘Lord of the Flies’ antara projek luar negara terbaru adakan penggambaran di M’sia
Jun 10, 2025 | 5:53 PM
Florence Pugh, Hollywood, Merdeka 118
Pelakon Hollywood, Florence Pugh melakonan babak melompat dari bangunan Merdeka 118 di Kuala Lumpur, Malaysia bagi filem ‘Thunderbolts’. - Foto INSTAGRAM MCU_WORLDS_

Keindahan panorama dan memiliki mercu tanda terkenal seperti menara kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 yang dipaparkan dalam filem terbitan Marvel Studios, Thunderbolts membuktikan Malaysia mampu menarik perhatian penerbitan antarabangsa.

Bukan sahaja dari sudut pelancongan, tarikan lain yang mendorong penerbitan antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan pemberian Insentif Filem Malaysia (FIMI) iaitu rebat tunai sebanyak 30 peratus kepada penerbitan yang layak.

Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yakin hasrat melihat Malaysia sebagai lokasi penggambaran popular dapat dipertingkatkan.

Ini dengan kaedah promosi secara berterusan, selain mempertaruhkan bakat besar penggiat industri dan menyediakan petugas balik tabir bertaraf dunia.

“Kami menerima banyak maklum balas positif mengenai potensi Malaysia sebagai lokasi penggambaran melalui filem Thunderbolts yang ditayangkan, baru-baru ini.

“Baru-baru ini, satu lagi drama bersiri terbitan BBC memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran. Drama berjudul Lord Of The Flies berskala besar dan perbelanjaan tinggi.

“Aliran ini berlaku disebabkan promosi berterusan Finas untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran menerusi insentif rebat.

“Saya juga pasti perkara ini disebabkan kualiti pelakon dan kru balik tabir yang boleh diterima penerbitan antarabangsa.

“Dalam filem Thunderbolts, penerbitan itu banyak menggunakan khidmat pelakon dan kru tempatan,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam pada itu, Datuk Azmir mendakwa promosi wajar dipergiatkan kerana ia masih belum menyeluruh dan tidak banyak penerbitan antarabangsa menyedari mengenai kewujudan kempen itu.

“Contohnya, filem Crazy Rich Asians. Walaupun 80 peratus lokasi penggambaran filem dijalankan di Malaysia dan antara penerima rebat FIMI, tapi disebabkan kurang promosi ramai yang tidak menyedarinya.

“Bagi saya, sekarang adalah masa sesuai untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab penggambaran berdasarkan kualiti yang ada kepada filem Blood Brothers: Bara Naga dan Sherif: Narko Intergriti,” ujarnya.

Datuk Azmir menambah, kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk negara luar dilihat mampu memperkukuhkan lagi jenama Malaysia sebagai destinasi penggambaran.

“Baru-baru ini, Finas menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan China.

“Hasil perbincangan, China dan Hong Kong menunjukkan minat menjalani penggambaran di Malaysia.

“Mereka meninjau stadium yang ada di Malaysia kerana mahu terbitkan filem berkaitan bola.

“Selain itu, kami juga akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia melalui perjanjian persefahaman yang bakal ditandatangani pada pertengahan 2025.

“Kedua-dua pihak akan membantu mempromosikan filem tempatan atau antarabangsa yang kandungannya ada memaparkan aspek pelancongan di Malaysia.

“Finas akan mengadakan Minggu Filem Beijing pada Ogos depan. Menerusi idea dicetuskan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, kami akan membawa beberapa filem terpilih untuk ditayangkan termasuk memasuki ke pawagam di sana.

“Buat masa ini, kami masih belum mengenal pasti filem apa yang akan dibawa dan masih dalam peringkat perbincangan,” jelasnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg