Topik diikuti
Pergi ke BHkuMula temui rentak, persaingan ‘Anugerah 2026’ kian sengit
Dua peserta tersingkir dalam pusingan kedua pertandingan nyanyian Anugerah
Sedikit demi sedikit, ‘bisa’ 14 peserta Anugerah 2026, anjuran Mediacorp Suria, semakin terasa apabila masing-masing mula menunjukkan peningkatan dan kekuatan tersendiri.
Bertemakan Y2K, pusingan kedua yang berlangsung pada 1 September, mencabar setiap peserta memberi sentuhan segar kepada lagu terkenal era 2000-an dalam usaha memikat juri tetap, Najip Ali dan Sezairi, serta Ann Hussein yang tampil sebagai juri undangan.
Selain teknik vokal, peserta turut dinilai berdasarkan penghayatan dan penyampaian lagu, serta faktor ‘X’ yang menyerlahkan keunikan persembahan masing-masing.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah ibu dua anak dan suri rumah, Nada Fitri, 25 tahun, menerusi lagu Kesetiaan, yang dipopularkan Allahyarhamha Siti Sarah.
Nada, yang mempunyai pengalaman menyertai program realiti Indonesia, Dangdut Academy (D’Academy) pada 2017, tampil meyakinkan dengan persembahan yang berjaya menyerlahkan kekuatan vokalnya.
Usahanya membuahkan hasil apabila beliau mengungguli kedudukan dengan markah tertinggi.
Menyusul di tempat kedua ialah penyanyi kelab malam, Izzan Adlan, 24 tahun, yang mempertaruhkan lagu Noktah Cinta, dendangan asal Hafiz Suip.
Selepas mencuri perhatian menerusi lagu Kamelia pada minggu pembukaan (26 Ogos), Izzan sekali lagi mempamerkan ketekalan menerusi Noktah Cinta, dengan kekuatan vokal bernada tinggi serta penghayatan yang baik.
Turut menyerlah ialah pekerja sektor makanan dan minuman (F&B), Farras Qushayyi, 28 tahun, yang mendapat pujian juri tetap, Najip, 59 tahun, menerusi pemilihan lagu Seribu Tahun, dendangan asal Imran Ajmain, yang dianggap tepat dengan kekuatan vokalnya.
Usahanya bermain dengan dinamik vokal dalam menyampaikan lagu tersebut turut mendapat perhatian juri.
Jika pada minggu pembukaan kesemua 14 peserta diberi peluang meneruskan saingan tanpa penyingkiran, keadaan berbeza kali ini apabila dua peserta terpaksa akur dengan keputusan pertandingan.
Nasib, bagaimanapun, tidak menyebelahi penuntut Diploma Muzik di Maktab Seni Lasalle, Tahniah Shahar, 24 tahun, dan peserta termuda musim ini, Darwish Sofyan, 17 tahun, apabila mereka menjadi dua peserta pertama yang tersingkir.
Darwish merupakan penuntut tahun pertama dalam bidang Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.
Sementara itu, peningkatan yang ditunjukkan peserta mendapat perhatian Sezairi, 39 tahun, yang mengakui kagum melihat perkembangan mereka dalam tempoh singkat.
“Secara keseluruhan, ada dua atau tiga peserta yang bagi saya sudah menunjukkan perkembangan yang sangat ketara.
“Malah, mereka yang sebelum ini berada di kedudukan bawah juga sudah mula menunjukkan peningkatan.
“Jadi, persaingan semakin sukar.
“Saya sangat bangga melihat usaha yang mereka curahkan,” katanya kepada Berita Harian (BH), ketika ditemui di Mediacorp Campus selepas berakhirnya persembahan minggu kedua pada 1 September.
Sebagai seorang penyanyi, Sezairi turut memahami keberanian yang diperlukan untuk berdiri dan menyanyi secara langsung di atas pentas.
“Bagi saya, menyanyi di atas pentas adalah antara perkara yang paling menakutkan.
“Melihat mereka berani menggunakan suara dan menyanyi secara langsung di atas pentas adalah sesuatu yang cukup mengagumkan.
“Saya juga gembira diberi peluang menjadi juri dan berkongsi pandangan serta pengalaman saya dengan mereka,” tambahnya lagi.
Bagi Najip pula, peningkatan yang ditunjukkan peserta membuktikan mereka semakin memahami Anugerah 2026 bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya turut menuntut seni persembahan yang menyeluruh.
“Saya suka apabila mereka tahu pertandingan ini bukan pertandingan nyanyian sahaja. Seni itulah yang saya mahu lihat.
“Untuk menjadi penyanyi yang baik, bukan populariti yang kita cari, tetapi seni, termasuk penceritaan, penggunaan vokal, penguasaan pentas dan cara menyampaikan pesanan kepada penonton,” katanya.
Tambah Najip, dengan tempoh persembahan sekitar seminit, peserta juga perlu bijak memilih lagu dan mencorakkan persembahan agar mampu meninggalkan kesan.
“Persembahan hebat bukan datang begitu sahaja.
“Ia memerlukan usaha dan kebijaksanaan untuk mengenal pasti apa yang paling sesuai dengan kekuatan diri sendiri.
“Apabila peserta mula memahami perkara itu, bagi saya, apa yang ingin kami terapkan menerusi Anugerah 2026 tercapai,” kata Najip.
Saingan diteruskan dengan baki 12 peserta yang bakal mengimbau nostalgia menerusi lagu terkenal era 1990-an, menerusi tema 90s Mixtapes.
Juara Anugerah 2026 akan memenangi hadiah wang tunai $25,000.
‘Anugerah 2026’ boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria, setiap Selasa, bermula 8.30 malam. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.
