Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muzik rentas generasi segar di ingatan

Fenomena, inspirasi KRU sampai ke hati remaja Generasi Alpha dan Z, hasil pengaruh ibu bapa
Jul 10, 2025 | 5:30 AM
Cik Sabiyah Ibrahim, Cik Izzati Ismail, konsert GenKRU
Cik Sabiyah Ibrahim, (kiri) dan anaknya, Cik Izzati Ismail, begitu terhibur dengan Konsert GenKRU yang berlangsung pada 28 Jun lalu di The Star Theatre. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Muzik terkenal 1990-an kian berkumandang rancak kembali di pentas konsert seberang Tambak apabila kumpulan seperti KRU, Elite, 4U2C dan Res’2 bersemangat menghiburkan peminat mereka.

Pujian wajar diberi kepada tiga beradik KRU, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry, yang mengorak langkah pertama bagi mempersembahkan konsert nostalgia yang menjadi fenomena di Axiata Arena, Kuala Lumpur, selama empat hari.

Mereka yang turut singgah ke Singapura bagi satu konsert skala besar di The Star Theatre pada 28 Jun lalu benar-benar meletakkan satu tahap tinggi bagi konsert nostalgia menyusur jalan kenangan lebih 30 tahun dalam dunia hiburan.

Elite bakal mengadakan konsert di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 20 September, manakala 4U2C pula akan tampil dalam konsert di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September.

Konsert 4U2C yang diasak dengan isu kontroversi tentang hak cipta itu turut menampilkan Res’2 sebagai kumpulan jemputan.

Berita Harian (BH) menemui beberapa peminat muzik 1990-an yang hadir di The Star Theatre bagi menyokong KRU baru-baru ini.

Cukup bersemangat mereka yang sebilangan besarnya hadir dengan pakaian hip-hop (kemeja-t dan seluar labuh), manakala beberapa warga emas pula ‘sporting’ hadir meskipun ada yang berkerusi roda dan menggunakan tongkat.

Cik Sabiyah Ibrahim, 70 tahun, datang bersama anaknya, Cik Izzati Ismail, 40 tahun.

Cik Sabiyah, nenek dua cucu dan ibu empat anak berusia antara 35 dengan 42 tahun, berkata beliau mula mengenali kumpulan KRU melalui anaknya, Cik Izzati.

Lagu yang sering diputarkan di radio menarik perhatiannya, terutamanya lagu Ooh La La.

Beliau membelanjakan sekitar $200 untuk menonton konsert ini.

Bagi suri rumah ini, keistimewaan KRU terletak pada unsur rap dalam lagu-lagu mereka yang dianggap unik dan membakar semangat positif.

“Selain berkebolehan menyanyi lagu pantas dan balada, saya juga mengagumi keupayaan KRU dalam mencipta dan menggubah lagu, menghasilkan filem, membuka perniagaan dan mengambil artis di bawah naungan mereka,” kata Cik Sabiyah, akur bahawa Norman, Yusry dan Edry merupakan inspirasi buat anak muda di luar sana.

Cik Izzati, seorang pendidik bebas pula telah lama meminati KRU sejak awal 1990-an lagi.

Ibu dua anak berusia sembilan dan lapan tahun itu terpikat dan meminati seni kata dan muzik progresif KRU.

Lagu seperti Negatif, Awas, Mengerti, Apa Saja dan Untukmu adalah antara lagu kegemaran beliau.

“Saya anggap KRU sebagai penggiat seni yang berani mencuba perkara baru termasuk menggabungkan dua lagu berbeza seperti lagu Perpisahan dendangan Revolvers dan lagu Datuk Sudirman, Terasing.

“Konsert GenKRU Live di Singapura ini mengimbau kembali kenangan zaman remaja saya.

“Segmen duet bersama kumpulan Elite amat menyentuh hati. Dah 30 tahun mereka tak nyanyi lagu Di Pintu Syurga bersama,” jelas Cik Izzati.

Dalam pada itu, ada juga pelajar yang sanggup menyeberangi Koswe untuk menonton KRU.

Irfan Junid, 16 tahun, pelajar Kolej Vokasional Perdagangan mengenali KRU melalui ibunya, Cik Haslindda Sainan, 54 tahun.

Dalam tiga tahun kebelakangan ini, Irfan semakin menggemari lagu seperti Jangan Lafazkan dan Di Dalam Dilema.

Menurut Irfan, setiap ahli KRU mempunyai karakter dan kelebihan tersendiri, iaitu Edry dengan muzik yang rancak, Norman dengan gaya rap, dan Yusry pula dengan nyanyian yang santai.

“KRU memberikan kelainan dengan lagu rancak yang menyeronokkan. Selain KRU, saya juga meminati kumpulan Barat seperti Backstreet Boys dan NSYNC.

“Kumpulan ini turut diperkenalkan kepada saya oleh ibu saya. Segmen yang paling menghiburkan bagi saya ialah persembahan KRU bersama Elite dalam lagu Di Pintu Syurga,” tambahnya.

Encik Muhamad Nabil Harith, 20 tahun, pelajar Politeknik Ngee Ann, pula diperkenalkan kepada kumpulan KRU melalui kakaknya.

Lagu pertama yang mencuri perhatiannya adalah Tiga Kata, yang menggunakan bahasa unik.

Dari situ, beliau mula meneroka pelbagai karya KRU dan akhirnya menjadi peminat setia.

“Pengalaman menonton KRU secara langsung amat saya hargai. Kreativiti KRU dalam mencipta lagu dan menghasilkan filem menjadikan kumpulan ini unik dan serba boleh.

“Lirik lagu mereka juga mudah diingati dan menusuk jiwa,” jelas pelajar jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Kemudahan Riadah.

Beliau teruja menyaksikan lagu Terhangat di Pasaran dan Fanatik sebagai melodi penutup konsert.

Segmen bernyanyi beramai-ramai pula dianggap sebagai mencuri hati dan amat menghiburkan.

Dalam perbandingan era muzik, Encik Nabil melihat lagu-lagu lama lebih puitis, berbanding lagu masa kini yang lebih berorientasikan seni Barat.

Bagi pegawai bank, Cik Ramlah Mohammed Deros, 57 tahun, dan suami, Encik Sadli Maswan, 67 tahun, kumpulan KRU merupakan salah satu kumpulan yang terbaik di rantau ini dan mampu mempertahankan karya-karya mereka hingga ke saat ini.

Lagu-lagu mereka mudah dinyanyikan bersama dan senang untuk dibawa berdansa.

Kumpulan ini juga mampu menarik peminat dari semua peringkat umur, dari muda remaja hingga yang berusia.

“Saya dan suami amat berpuas hati menonton konsert ini. Lagu-lagu mereka juga mudah untuk dinyanyikan bersama dan untuk sesiapa yang suka berdansa.

“Mereka bertiga juga telah menunjukkan pada usia sebegini, (di akhir usia 40-an dan awal 50-an tahun), mereka masih tetap bertenaga dan mampu menari dengan ligat seperti dalam lagu Awas dan Fanatik.

“Saya juga teruja melihat mereka melontar lirik rap dengan begitu baik sekali. Secara peribadi, konsert GenKRU ini memang puas hati.

“Saya juga telah membeli beberapa cendarahati, seperti baju hoodie berharga $50 sehelai, daripada jenama KRU sendiri,” jelas Cik Ramlah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg