Selepas dua dekad mencipta fenomena dalam dunia teater muzikal serantau, pementasan muzikal, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL), bakal kembali menghidupkan keajaiban kisah cinta legenda itu di pentas Teater Esplanade.

Pementasan arahan pelakon dan penerbit tersohor Malaysia, Puan Sri Tiara Jacquelina, dan terbitan syarikat miliknya, Enfiniti, itu akan dipersembahkan sempena Pesta Raya 2027, anjuran pusat seni Esplanade.

Ia bakal berlangsung selama dua jam 45 minit antara 9 dengan 11 April 2027, dalam empat set persembahan.

Berlatarbelakangkan zaman kerajaan Majapahit dan Kesultanan Melayu Melaka, PGL mengisahkan percintaan terlarang antara puteri Jawa, Gusti Puteri Retno Dumilah, dengan pahlawan Melaka, Hang Tuah, yang diuji apabila Sultan Mahmud Shah menitahkan Hang Tuah meminang puteri itu bagi pihak baginda.

Pertembungan antara cinta dan tanggungjawab akhirnya membawa kepada tujuh syarat peminangan yang menjadi sebahagian daripada legenda Puteri Gunung Ledang.

Pementasan itu turut mengetengahkan gubahan muzik komposer Singapura, Dick Lee, serta skrip tulisan pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramli.

Menariknya, pementasan kali ini menyaksikan kemunculan semula pelakon dan penyanyi, Aqasha, atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 44 tahun, yang pernah menyertai pementasan itu pada 2006.

Ketika itu, beliau membawakan watak sebagai Bendahara Melaka dan pelakon gantian atau ‘understudy’ Hang Tuah.

Kali ini, Aqasha membawakan watak utama sebagai Hang Tuah.

Begitu juga bagi pelakon teater, Nadia Aqilah, 41 tahun, yang pernah menganggotai barisan pelakon sokongan dalam pementasan itu pada 2006.

Kini, beliau menggalas watak Bayan, pembantu dan pendamping setia Gusti Puteri Retno Dumilah.

Watak tersebut turut dibawakan secara bergilir-gilir bersama penyanyi, Mimifly, atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39 tahun, yang masih hijau dalam dunia teater muzikal.

Sementara itu, penyanyi dan penggubah lagu, Aisha Retno, 26 tahun, yang terkenal dengan gabungan muzik pop kontemporari dan unsur tradisional, peluang membawakan watak utama iaitu, Gusti Puteri Retno Dumilah.

Beliau juga akan bergilir-gilir membawakan watak tersebut bersama pelakon, Mila Mohsin, 30 tahun, yang juga anak kepada Tiara dan pelakon sekali gus penerbit, Allahyarham Hani Mohsin.

Luqman Hafidz, 35 tahun, yang sebelum ini pernah menjayakan pementasan, Ola Bola The Musical dan Puteri Hang Li Po The Musical, pula bakal membawakan watak Sultan Mahmud Shah.

Watak abang Gusti Puteri Retno Dumilah iaitu, Gusti Adipati Handaya Ningrat pula akan dijayakan Yusof Hashim, 33 tahun, yang juga penggiat seni berpengalaman dalam bidang lakonan dan tarian.

Persembahan yang menggandingkan Aisha dan Nadia dijadualkan pada 9 April (8 malam) dan 10 April (2.30 petang).

Manakala, persembahan Mila dan Mimifly pula akan berlangsung pada 10 April (8 malam) dan 11 April (2.30 petang).

Tiket bagi pementasan itu berharga antara $55 dengan $175.

Sementara itu, pakej VIP berharga $250 menawarkan tempat duduk Kategori 1, peluang bertemu dan bergambar bersama barisan pelakon selepas persembahan serta poster bertandatangan.

Tempahan awal bagi anggota Esplanade & Me bakal dibuka dari 4 hingga 10 November 2026.

Tawaran harga istimewa bagi anggota pula tersedia mulai 11 November, tertakluk pada ketersediaan.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web https://www.esplanade.com/whats-on?ref=inline-article