Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas 20 tahun, cinta terhadap muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’ masih membara
Tiket habis dijual selepas dua jam, tiada kepastian pementasan tambahan
Fenomena naskhah pementasan, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), kembali mencetuskan ‘demam’ luar biasa apabila keseluruhan tiket pementasan terbaharunya ‘licin’ dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka pada 24 Ogos lalu.
Lebih mengagumkan lagi, ketika jualan ditutup pada 10 malam, lebih 22,000 peminat masih menanti dalam talian, membuktikan karya ikonik itu terus mendapat sambutan luar biasa meskipun sudah dua dekad sejak pementasan sulungnya.
Pengarah dan pencipta bersama PGLM, Puan Seri Tiara Jacquelina, 58 tahun, mengakui terharu dengan sambutan di luar jangkaan itu, malah kehilangan kata-kata sebaik mengetahui tiket habis terjual dalam tempoh begitu singkat.
“Sejujurnya, saya sendiri kehilangan kata-kata.
“Dua puluh tahun lalu (2006), kami hanya mampu berharap naskhah ini akan dikenang oleh rakyat Malaysia.
“Tetapi malam ini (24 Ogos), mereka mengingatkan kami selama ini mereka tidak pernah melupakannya,” katanya menerusi satu kenyataan media, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tiara, pada masa sama, memohon maaf kepada peminat yang menghabiskan masa menunggu dalam talian, namun gagal mendapatkan tiket.
“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket, saya benar-benar minta maaf.
“Kami amat terharu dan berterima kasih kerana anda mahu bersama kami.
“Kami nampak (usaha) anda, kami dengar anda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tiara memberi bayangan perjalanan PGLM mungkin tidak terhenti setakat musim pementasan kali ini, apabila beberapa pihak sudah mula mendekati penerbitan berkenaan.
Menurutnya, perbincangan awal sedang dilakukan mengenai kemungkinan membawa PGLM melangkaui musim ini, termasuk minat daripada beberapa negeri lain di Malaysia.
“Dan mungkin, perjalanan PGLM belum berakhir di sini kerana sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGLM melangkaui musim ini, termasuk minat daripada beberapa negeri lain di Malaysia.
“Bagaimanapun, belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan dan fokus mutlak kami sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa.
“Tetapi, selepas melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu melihat dengan serius apa lagi yang mungkin dapat dilakukan selepas ini,” ujar Tiara.
Bagaimanapun, buat masa ini, Tiara berkata belum ada sebarang pementasan tambahan yang disahkan, biarpun pihak penerbitan menyedari ramai peminat masih menanti peluang mendapatkan tiket.
Pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November, di Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC), Sunway Square, Malaysia.
“
“Kepada semua yang menghabiskan malam menekan ‘refresh’, menunggu dalam barisan dan akhirnya masih tidak berjaya mendapatkan tiket, saya benar-benar minta maaf. Kami amat terharu dan berterima kasih kerana anda mahu bersama kami. Kami nampak (usaha) anda, kami dengar anda... Dan mungkin, perjalanan PGL (Puteri Gunung Ledang The Musical) belum berakhir di sini kerana sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat daripada beberapa negeri lain di Malaysia.”