Jika mahu diikutkan, pelakon Malaysia, Nabila Huda, 40 tahun, enggan memberi perhatian kepada seorang pempengaruh yang baru-baru ini tular selepas berani melabelkan jurusan komunikasi massa dan teater sebagai cabang pendidikan ‘bodoh’.
Nabila yang dikenali sebagai selebriti yang suka berterus-terang dalam memberi pendapat, sedar andai ulasan diberi, pempengaruh terbabit akan mendapat perhatian dan terus diperkatakan.
Namun, menyedari kepentingan isu dibangkitkan, Nabila berpesan agar orang ramai tidak menghina atau merendahkan apa-apa bidang pengajian atau pekerjaan yang menjadi pilihan individu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Kita sebenarnya tidak boleh hina kerja orang lain sebab biar apa pun yang dibuat, masing-masing ada cara dan kesusahan sendiri.
“Bagi saya, orang yang bercakap sedemikian, hanya mahu perhatian. Sebab itulah, saya tidak komen apa-apa. Saya sudah melalui macam-macam manusia yang hanya mahukan perhatian.
“Dia (pempengaruh terbabit) sebenarnya mempergunakan kita dalam keadaan kita tak sedar.
“Jadi, apabila kita jawab, dia dapat perhatian. Jadi, bagi saya, kita jangan sesekali pandang hina setiap pekerjaan terutama kerja kami (anak seni),” katanya ditemui pada Pesta Unifi TV Lagi Best di Mutiara Damansara, Selangor, Malaysia.
Pelakon filem Telaga Suriram dan Munafik itu tidak menafikan mungkin ada individu yang menceburi dunia seni semata-mata hendak mencari populariti dan kemewahan.
Namun beliau percaya, sebahagian besar daripada penggerak industri kreatif ikhlas dalam mencari rezeki dan memiliki minat mendalam.
“Memang nampak seronok (dunia seni). Namun, mungkin antara 70 hingga 80 peratus daripada anak seni, berusaha keras menjadi pelakon baik.
“Malah, ada yang belajar dan timba ilmu untuk terjun ke dunia seni. Ada ibu bapa keluarkan duit untuk anak mereka... Semua itu adalah kerja keras. Orang yang bercakap itu (pempengaruh terbabit), belum ada anak dan keluarga sendiri,” katanya yang kini sedang mempromosikan filem bertemakan silat, Gayong.
Susulan itu, Nabila menasihatkan agar orang ramai, terutama anak muda tidak bercakap buruk mengenai individu lain.
Baru-baru ini, wadah media sosial kecoh apabila seorang pempengaruh Malaysia yang melabel jurusan komunikasi massa, teater, muzik dan tarian tradisional sebagai perkara bodoh dan tidak mempunyai manfaat.
Kenyataan individu terbabit mengundang pelbagai reaksi kurang senang terutama bagi penuntut jurusan terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg