Pelakon serba boleh Malaysia, Nabila Huda, kini menyerlah di layar perak melalui filem biopik epik, Gayong, arahan pengarah kelahiran Singapura, Faisal Ishak.
Nabila, atau nama penuhnya, Nabila Huda Suhaimi, 40 tahun, membawa watak Che Som, isteri kepada pengasas seni bela diri silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, yang dilakonkan oleh pelakon terkenal, Beto Kusyairy.
Selain mempamerkan kehebatan lakonan, Nabila turut menunjukkan kemahiran silatnya dalam filem ini.
“Filem Gayong sangat istimewa bagi saya kerana pengarahnya, Faisal Ishak, merupakan individu yang saya kenali sejak lama lagi.
“Peluang berlakon bersama Beto dan juga Syafie Naswip, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna.
“Lagi pula, saya gemar filem epik dan inilah filem epik saya yang pertama, yang mana saya juga berpeluang mempelajari gerakan silat.
“Melalui filem ini, saya dapat mengenali sejarah Datuk Meor Abdul Rahman dan menyampaikan cerita yang dekat dengan hati rakyat Malaysia dan Singapura, terutama kerana ia berlatarbelakangkan era peperangan pada 1940-an, di Singapura,” kata Nabila ketika ditemui Berita Minggu (BM) pada sidang media Malam Seram: Teater dan Muzik, di Malayan Council, Fullerton Road, 2 Mei lalu.
Selain itu, Nabila, atau lebih mesra dengan panggilan Abil, turut berkongsi keterujaannya ketika dijemput Muse+ untuk berganding semula dengan Beto dalam pementasan teater bergenre seram iaitu, Malam Seram: Teater dan Muzik.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam pementasan teater bergenre seram.
“Saya tertarik untuk menyertainya kerana konsepnya unik. Bekerja di bawah arahan Rafaat Hamzah, seorang pengarah yang saya kagumi, juga adalah peluang yang tidak ingin saya lepaskan.
“Saya terima tawaran ini juga kerana adanya Beto Kusyairy dan Mimifly,” katanya lagi.
Selain Rafaat, Beto dan Mimifly, Abil akan bekerjasama dengan pencipta program Malam Seram, KC Champion, serta bakat tempatan lain seperti Dalifah Shahril dan Rizal Aiman dalam pementasan ini.
Pementasan seram yang akan dipentaskan buat kali pertama pada 24 Mei, di The Star Theatre, menandakan kemunculan semula Abil ke pentas teater Singapura.
Sebelum ini, Abil terlibat dalam pementasan, Bawang Putih Bawang Merah, yang dibawakan Teater Ekamatra, sempena Pesta Raya 2024, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Ketika itu, Abil memainkan watak sebagai Bawang Merah.
Ketika ditanya BM mengenai perbezaan antara penglibatan Abil dalam pementasan teater di Malaysia dan Singapura, beliau menyatakan tidak banyak perbezaan yang ketara.
“Sistem kerja di kedua-dua negara hampir serupa.
“Perbezaannya mungkin terletak pada rakan-rakan yang terlibat dalam pementasan.
“Di Malaysia, saya sudah biasa bekerja dengan mereka yang saya kenal.
“Tetapi di Singapura, saya berpeluang berkenalan dan berteman dengan bakat Singapura seperti Siti K, Fir Rahman, Munah Bagharib dan ramai lagi,” ujar Abil.
Berhubungan watak yang dibawanya dalam pementasan Malam Seram: Teater dan Muzik, Abil menggambarkannya sebagai peranan yang sederhana.
“Sejauh ini, watak yang Abil akan lakonkan sangat ‘simple’ sahaja. Ia sebenarnya lebih kepada isi naskhah.
“Tentunya kita perlu jalani latihan dulu.
“Proses latihan sangat penting untuk membantu menyatukan watak-watak yang dibawakan.
“Dari situ, kita dapat melihat bagaimana semua elemen cerita menyatu,” kata Abil.
Menyentuh harapannya, Abil berharap penonton yang hadir dapat menikmati elemen seram yang bakal disajikan dalam pementasan Malam Seram: Teater dan Muzik ini.
Untuk pengetahuan semua, tiket bagi pementasan Malam Seram: Teater dan Muzik, berharga antara $95 hingga $195, sudah laris dijual. – AININ ALIFIYANI JAILANI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg