Dalam berdepan dengan kritikan terhadap penampilannya, penyanyi, Najwa Latif, 31 tahun, tetap menghormati pandangan yang telah diutarakan.

Namun, beliau tetap menegaskan beliau tidak perlu menjelaskan sebab di sebalik perubahan fizikalnya kepada orang awam lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak.

Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif atau lebih mesra dengan panggilan ‘Wawa’ berkata, beliau menghormati pandangan semua pihak tetapi lebih memilih untuk tidak mengendahkan perkara tersebut.

“Wawa hormat semua orang punya pendapat, semua orang berhak untuk bercakap apa-apa yang mereka nak cakap.

“Wawa rasa tidak semua benda perlu beri respons, termasuk dalam hal ini,” katanya dalam laman Harian Metro.

Najwa yang pernah menyanyikan lagu hit berjudul ‘Untuk Dia’ bersama kumpulan rap Singapura, Sleeq, berkata, sokongan suami dan ibunya banyak membantunya kekal tenang apabila berdepan komen negatif.

Justeru, perkara pertama yang dilakukan apabila berdepan dengan kritikan sedemikian ialah menghubungi ibunya serta meminta maaf.

“Mak cakap, tidak apa, ini sebahagian daripada hidup kita, ada orang suka, ada yang tak suka. Perlu terima dan teruskan hidup, yang penting kita buat benda baik-baik,” katanya.

Dalam menjelaskan tentang perubahan fizikalnya, Najwa berkata, beliau tidak mahu menjadikan proses menyusukan anak sebagai alasan.

Malah, beliau menganggap pengalaman bergelar ibu itu sebagai perjalanan yang membahagiakan.

Najwa telah mendirikan rumah tangga pada 2022 dengan suaminya, Akwa Arifin dan telah dikurniakan seorang anak perempuan bernama Medina Akwa pada 2025.

Menurut Najwa, beliau kini mahu menikmati kehidupan sebagai ibu, tanpa meminggirkan aspek kesihatan dirinya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut berkongsi, beliau belum mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert sendiri dalam masa terdekat.

Namun begitu, Najwa bakal membuat penampilan khas sewaktu konsert Wali Band di Stadium Educity Sports Complex, Johor Bahru, Malaysia pada 3 Oktober.

“Konsert buat masa ini memang belum lagi.

“Wawa tidak ada perancangan pun ke arah itu sebab ada banyak komitmen sekarang, perlu fokus satu persatu.

“Kalau daripada segi lagu, Wawa masih cari ‘material’ atau bahan-bahan dalam proses pembikinan lagu.

“Kalau tak jumpa, Wawa akan buat sendiri lagu untuk tahun ini. Setiap tahun Wawa memang akan ‘release’ sekurang-kurangnya satu lagu,” tambahnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan