PETALING JAYA: Penyanyi popular, Ernie Zakri mengakui rekaan gaun digayakan ketika menjayakan Konsert Aura: Ernie Zakri - Live In Concert Singapore Sabtu lalu, sedikit sebanyak mengundang tanggapan ramai bahawa dirinya sedang hamil.
Ernie, 33 tahun, bagaimanapun menerima apa diperkatakan peminat dengan hati terbuka, malah menganggap perkara itu sebagai doa baik buat dirinya.
“Saya tidak pernah menolak jika ada rezeki hamil anak kedua, insya-Allah, doakan.
“Mungkin sebab baju yang distrukturkan sebegitu. Ia memang sedikit kembung di depan, jadi biasalah peminat gembira dengan apa sahaja berita yang mereka nampak daripada saya.
“Tapi, awal sangat mereka raikan, saya masih belum maklumkan apa-apa lagi.
“Apapun, saya tidak menolak atau menafikan, jika ada rezeki anak kedua saya okey sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media lagu duet terbarunya bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito berjudul Kisah Penuh Kecewa di Pejabat Urusan Universal Music Malaysia, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, ketika membuat persembahan di Konsert Aura: Ernie Zakri - Live In Concert Singapore, penyanyi itu dikatakan sedang hamil anak kedua berikutan ‘baby bump’ yang kelihatan ketika mengenakan gaun rona biru rekaan seorang pereka fesyen tempatan.
Dalam pada itu, Ernie berkata beliau terbuka sekiranya ada peminat yang sering beranggapan dirinya sedang hamil.
Penyanyi yang popular dengan lagu Masing Masing itu juga menyifatkan wanita berhijab sememangnya mempunyai batasan dalam berfesyen.
“Awal-awal dahulu, saya ada sedikit rimas, tapi memahami juga.
“Saya faham peminat suka meraikan apa yang membahagiakan untuk kehidupan saya.
“Saya bersyukur dan perlu melihat daripada perspektif lain. Saya tak boleh lagi rasa orang cakap saya gemuk dan sebagainya.
“Saya rasa kurus sahaja, tapi mungkin sebab baju.
“Kadang-kadang bila berhijab ini ada satu kesukaran sedikit untuk berfesyen,” katanya.
Bagaimanapun, Ernie mengakui gaun digayakan ketika membuat persembahan di Singapura itu sangat baik.
“Niat pereka fesyen untuk memberikan yang terbaik. Saya tetap rasa selesa dengan gaun ini, tapi kalau peminat menyangka saya mengandung, saya terima sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, Ernie berkata beliau dan suami, yang juga penyanyi Syamel, masih lagi merancang untuk menimang cahaya mata kedua.
“Saya dan suami masih merancang disebabkan kerjaya dan membesarkan Khawla yang akan masuk sekolah minggu depan.
“Jadi, kami harus tengok betul-betul,” katanya.
Enie yang juga juara Bintang RTM 2009 mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 26 Mac 2021.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha, 3 tahun.
Dalam perkembangan lain, Ernie muncul dengan lagu duet terbaru bersama Anggi berjudul Kisah Penuh Kecewa yang kini mendapat sambutan positif daripada pendengar.
Lagu yang kini menduduki tangga ke-13 dalam carta ‘trending for music’ di YouTube itu boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg