‘Atas Nama Cinta’, Rossa gigih harungi cabaran seni lebih 25 tahun
‘Atas Nama Cinta’, Rossa gigih harungi cabaran seni lebih 25 tahun
Ratu OST filem & sinetron singkap kesyahduan jalani umrah, sambut Lebaran bersama keluarga di Sumedang, Bandung
‘Atas Nama Cinta’, Rossa gigih harungi cabaran seni lebih 25 tahun
Pengalaman menunaikan umrah bersama pasukannya pada awal 2026 disifatkan penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa, atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, sebagai satu nikmat yang memberi ruang kepada jiwanya untuk berehat seketika daripada kesibukan dan hiruk-pikuk dunia seharian.
Lebih bermakna lagi, beliau yang hampir tiga dekad dalam industri seni juga berpeluang meluangkan masa bersama rakan seperjuangan dalam arena seni, Melly Goeslaw, yang turut meraikan ulang tahun ke-52 di Tanah Suci.
“Ini merupakan kali pertama saya berangkat tunai umrah bersama pasukan saya, yang merupakan individu dalam satu pengurusan.
“Ketika itu juga, cuaca sangat dingin… rasanya begitu menenangkan sekali seperti dapat berehat daripada kesibukan urusan duniawi.
“Bahkan, tak sampai satu hari saya pulang ke Jakarta, saya sudah rasa ingin kembali ke Tanah Suci.
“Tetapi, pengalaman kali ini juga memberi makna yang mendalam kerana saya berpeluang menunaikan ibadah umrah bersama teman saya, Teh Melly (panggilan buat Melly).
“Kebetulan, kita sempat menyambut kelahirannya di sana pada 7 Januari.
“Ini menandakan 29 tahun saya mengenali beliau dan berjuang dalam industri seni bersama-sama,” kata Rossa, 47 tahun, dalam satu sesi wawancara di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Selangor, bersama Berita Minggu (BM), baru-baru ini.
Rossa merupakan penyanyi undangan yang berduet bersama bintang peringkat akhir peraduan realiti Gegar Vaganza 12 (GV12), Mark Adam.
Mereka membawakan lagu romantis, Salahkah, yang pernah Rossa rakam bersama rakan duet dari Malaysia, Hafiz Suip.
Rai Lebaran bersama keluarga di Sumedang, Bandung
Ketika diaju soalan tentang suasana sambutan Aidilfitri pula, Rossa yang dikenali kerana banyak lagu syahdunya seperti Atas Nama Cinta, Terlalu Cinta dan Ayat Ayat Cinta berkata sambutan 2026 seperti tidak lengkap kalau tidak dirai di samping keluarga tersayang di tanah kelahirannya, Sumedang, Bandung.
Malah, ia sudah pun menjadi kebiasaan bagi penyanyi yang dikenali dengan jolokan ‘Ratu OST’ atau runut bunyi rasmi filem dan sinetron Indonesia itu untuk meluangkan masa seminggu sebelum Hari Raya bersama orang tua dan adik-beradik di kampung halaman.
“Alhamdulillah, ibu dan bapa saya masih sihat. Adik-beradik saya juga masih di Sumedang. Jadi, biasanya seminggu sebelum Lebaran, saya pasti akan pulang kampung.
“Kami akan menghabiskan masa bersama-sama dengan berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih.
“Itulah antara detik yang sering saya nantikan di ambang Lebaran,” tambahnya.
Lebaran di Indonesia cuma dua hingga tiga hari
Berbeza dengan suasana di Singapura yang menyaksikan sambutan Hari Raya dirai sepanjang Syawal, Rossa akur budaya Lebaran di Indonesia biasanya hanya sekitar dua hingga tiga hari sahaja.
“Di Indonesia, sambutan biasanya hanya berlangsung dua atau tiga hari sahaja.
“Kita menyambut pada hari pertama, kemudian ziarah sanak saudara pada hari kedua dan kadang-kadang hari ketiga... itu sahaja.
“Selepas itu, perayaan berakhir dan semua orang kembali bekerja.
“Tapi seronok juga kalau sambutan boleh bertahan sampai sebulan… dari satu rumah ke rumah lain sambil menikmati semua jamuan.
“Untungnya tidak begitu di Indonesia kerana kalau tidak, mungkin berat badan saya naik lima kilo!” ujarnya sambil berseloroh.
Selain hidangan ‘wajib ada’ sewaktu Lebaran, Rossa turut menyifatkan kolak (sejenis pengat) sebagai juadah yang melengkapkan kemeriahan sambutan Hari Raya di Indonesia.
“Saya rasa hidangan Lebaran di Indonesia tak jauh beza.
“Pastinya yang wajib ada seperti ketupat, opor, sambal goreng kentang Mustofa (kentang goreng tipis disalut bumbu sambal pedas manis) dan rendang.
“Tapi kalau di Bandung, kolak (sejenis pengat) antara hidangan popular yang menjadi pelengkap hidangan Lebaran,” ujarnya.
Ketekalan perlu jika juara peraduan realiti ingin terus relevan
Menyentuh perkembangan bakat muda dan baru di persada seni Indonesia, Rossa selaku juri bagi rancangan realiti, Indonesian Idol (Musim 14), akur ketekalan menjadi kunci untuk memastikan kelangsungan bakat muda dalam industri hiburan.
“Saya lihat sekarang ramai peserta mempunyai mutu dan teknik suara yang cukup maju, dengan cara bernyanyi yang berbeza.
“Ini membuatkan saya sedar, setiap generasi mempunyai karakter vokal dan cara bernyanyi yang pelbagai.
“Mungkin salah satu sebab mengapa sesetengah juara pertandingan realiti hanya popular untuk jangka masa singkat adalah kerana kunci untuk bertahan lama dalam industri muzik Indonesia sebenarnya terletak pada usaha berterusan,” katanya.
Bagaimanapun, dengan adanya pelbagai rancangan realiti yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan di Indonesia, Rossa menyifatkan keadaan itu sebagai satu cabaran sengit bagi bakat muda yang memasuki pertandingan.
“Belum pun enam hingga lapan bulan selepas satu rancangan realiti berakhir, sudah muncul program baharu yang mencari bakat seterusnya.
“Sebab itu, apabila diberi peluang untuk menyerlah, bakat muda perlu memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Apabila nama sudah mula dikenali ramai, di situlah pentingnya untuk membuktikan kemampuan dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Selepas itu, barulah bermula perjalanan sebenar sebagai anak seni. Pada tahap itu, konsistensi menjadi kunci utama,” singkapnya, yang juga pengasas bagi jenama kosmetik, Rossa Beauty.
‘Asmara Dansa’ sanjungan buat Sheila Majid, Chrisye
Selaku penyanyi yang sudah lebih dahulu makan garam dalam bidang nyanyian dan berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai bintang yang relevan dalam industri, Rossa jelas tidak ketinggalan apabila mengeluarkan album mini berjudul, Asmara Dansa, pada 10 Oktober 2025.
Ia menampilkan karya klasik dua penyanyi mapan, Datuk Sheila Majid dan Allahyarham Chrisye, yang diberi nafas baharu oleh Rossa, dengan sentuhan yang lebih segar untuk pendengar masa kini.
Album itu menampilkan empat lagu termasuk medley, Serasa X Juwita (lagu asal Chrisye), Sinaran (Sheila Majid), dan Asmara Dansa, yang kesemuanya merupakan hasil kerjasama antara Rossa dengan ‘disc jockey’ atau DJ, sekali gus penggubah lagu Indonesia, Dipha Barus.
Meskipun sebelum ini, Rossa pernah dipersoalkan tentang hak cipta dan royalti lagu Sinaran, beliau akur perancangan bagi album itu dilakukan atas minat dan bentuk penghormatan bagi dua ikon muzik yang disanjunginya itu.
Lebih menarik lagi, lagu Sinaran turut dibawakan bersama penyanyi rap Malaysia, MK Clique, dan dipersembahkan secara langsung buat kali pertama pada pusingan akhir GV12.
“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan album ini boleh dikatakan ‘iseng’ (sesuatu yang tidak dirancang).
“Saya fikir mahu bawa lagu daripada dua penyanyi yang amat saya hormati iaitu, Datuk Sheila Majid dan Allahyarham Chrisye, tetapi dibikin lebih ke arah muzik elektronik dan pop dansa.
“Bagi saya, lagu lama seperti ini sangat indah. Tapi, ada juga Generasi Alpha yang mungkin belum tahu kewujudan lagu ini.
“Jadi, saya fikir mengapa tidak membawakan semula lagu lama tetapi dalam versi baharu agar dapat diputarkan lebih lama di udara,” kata Rossa.

