Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu royalti lagu ‘Sinaran’: Nora tiada niat ‘bantai’ Rossa, puji hemah bintang Indo

Oct 17, 2025 | 9:51 PM
Nora Ariffin, Sinaran, Rossa, Sheila Majid
Datuk Nora Ariffin menafikan tindakannya memuat naik video muzik lagu Sinaran, nyanyian semula Datuk Seri Rossa di Instagram Story (IGs), baru-baru ini sebagai serangan peribadi ke atas penyanyi itu. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Datuk Nora Ariffin menafikan tindakannya memuat naik video muzik lagu Sinaran, nyanyian semula Datuk Seri Rossa di Instagram Story (IGs), baru-baru ini sebagai serangan peribadi ke atas penyanyi itu.

Sebaliknya jelas Nora, perkongsian itu dibuat bagi meluahkan kekesalannya terhadap syarikat penerbitan tempatan yang didakwa masih gagal menyelesaikan isu pembayaran royalti bagi lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, bersama Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 53 tahun, turut mempersoalkan bagaimana lagu itu boleh sampai ke Indonesia sedangkan waris komposer belum menerima sesen pun bayaran royalti.

“Kalau ikutkan, memang mereka tak perlu minta izin. Cuma yang menjadi persoalan, bagaimana syarikat penerbitan boleh beri kebenaran kepada pihak di Indonesia menggunakan lagu itu, sedangkan isu royalti belum selesai?

“Ini isu besar. Bayangkan kalau kita guna lagu mereka tanpa izin, tentu kita pula disalahkan. Mungkin sudah ada perjanjian antara kedua-dua pihak, tetapi saya percaya ada yang cuba lepas tangan dan mengambil kesempatan,” dakwa Nora, dalam laporan Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurut penyanyi Hanya Satu itu lagi, beliau kecewa dengan sikap syarikat penerbitan terbabit yang didakwa sering berdolak-dalik setiap kali dihubungi berhubung bayaran royalti.

“Macam-macam alasan diberikan, ada yang kata tak sihatlah dan sebagainya. Mereka mendakwa lagu itu sudah dilesenkan untuk digunakan di sana.

“Saya difahamkan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) juga sudah membayar royalti kepada syarikat penerbitan, namun bahagian yang sepatutnya disalurkan kepada kami langsung tidak diterima,” kata Nora lagi.

Nora berkata beliau enggan mendedahkan nama syarikat terbabit kerana bimbang diserang semula, namun menegaskan isu itu perlu dibangkitkan demi keadilan kepada waris komposer dan penggiat seni lain.

Dalam pada itu, Nora memuji sikap profesional dan beradab Rossa yang tampil menghubunginya secara peribadi bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Saya puji sikap Rossa. Sebagai penyanyi, dia tak perlu pun ambil tahu kerana isu ini membabitkan syarikat rakaman, bukan dirinya. Tapi dia tetap hubungi saya atas rasa tanggungjawab.

“Rossa tak marah dengan tindakan saya berkongsi video muzik itu kerana dia faham apa yang saya lalui. Dia juga maklumkan isu sebegini turut berlaku di negaranya.

“Saya jelaskan saya tak berniat membantai dia dan Rossa faham. Dia menyangka soal hak cipta sudah selesai antara kedua-dua syarikat, rupanya masih tergantung. Malah, dia menyokong saya perjuangkan isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Nora dilapor menuntut agar hak royalti lebih 200 karya arwah Johan diselesaikan secara adil oleh semua pihak berkaitan.

Menurutnya, isu berkenaan mula dibangkitkan sejak 2021, namun enam syarikat penerbitan muzik serta beberapa pertubuhan masih berdiam diri.

Difahamkan, sehingga kini lagu Sinaran yang asalnya dipopularkan Datuk Sheila Majid, hanya menerima bayaran royalti sebanyak RM60 ($18.42).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg