Nama Zubir Said dikenang dalam anugerah antarabangsa, rai industri muzik filem

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nama Zubir Said dikenang dalam anugerah antarabangsa, rai industri muzik filem

Penggubah lagu Hollywood, Conrad Pope dan Hans Zimmer, diiktiraf dengan Anugerah Zubir Said pada Festival Runut Bunyi Antarabangsa Singapura (SISF)
Dec 16, 2025 | 2:23 PM

Nama Zubir Said dikenang dalam anugerah antarabangsa, rai industri muzik filem

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Komposer tempatan tersohor, Allahyarham Zubir Said, merupakan antara tokoh muzik teragung dalam sejarah Singapura. Selain mencipta lagu kebangsaan Singapura, beliau turut menghasilkan pelbagai lagu klasik serta menggubah runut bunyi bagi banyak filem pada era kegemilangan perfileman Melayu.
Komposer tempatan tersohor, Allahyarham Zubir Said, merupakan antara tokoh muzik teragung dalam sejarah Singapura. Selain mencipta lagu kebangsaan Singapura, beliau turut menghasilkan pelbagai lagu klasik serta menggubah runut bunyi bagi banyak filem pada era kegemilangan perfileman Melayu. - Foto fail

Warisan seni komposer serta ikon muzik Melayu Singapura, Allahyarham Zubir Said, kini diangkat ke pentas antarabangsa. 

Bagi anaknya, Encik Sujono Zubir, 69 tahun, pengiktirafan berupa anugerah berprestij di Festival Runut Bunyi Antarabangsa Singapura (SISF) menjadi detik penuh kegembiraan dan kebanggaan.

SISF ialah festival antarabangsa berpangkalan di Singapura, yang memberi tumpuan kepada muzik dan kesan bunyi dalam seni penceritaan bergambar seperti filem, drama, animasi mahupun permainan video.

Festival yang berlangsung antara 12 dengan 14 Disember bertemakan Mencipta Keajaiban Filem itu, diwujudkan sebagai wadah yang menghimpunkan komposer, pereka bunyi, pembikin filem, penggiat industri kreatif, pelajar serta peminat runut bunyi, bagi menghargai peranan muzik dan kesan bunyi dalam membangkitkan emosi serta memperkukuh jalan cerita sesebuah karya.

Sebagai penghormatan tertinggi, SISF turut memperkenalkan Anugerah Zubir Said bagi meraikan keunggulan dan ketokohan dalam muzik serta bunyi sinematik, di samping nilai-nilai yang mencerminkan semangat kreatif, warisan dan legasi pencipta Allahyarham Zubir.

Beliau merupakan antara pelopor muzik filem Singapura, khususnya di Cathay-Keris, sekali gus pencipta lagu kebangsaan negara ini iaitu, Majulah Singapura.

Lagu Hari Kanak-kanak yang dikenali dan dicintai ramai, Semoga Bahagia juga merupakan karya Allahyarham Zubir Said.

Buat julung-julung kalinya, anugerah ini diberikan kepada dua komposer terkemuka Hollywood iaitu, Conrad Pope dan Hans Zimmer, dalam satu majlis penyampaian anugerah di BeyondX sekitar Keppel Road pada 12 Disember lalu.

“Saya amat berbesar hati dapat menyaksikan legasi ayah saya diteruskan, lebih-lebih lagi apabila Anugerah Zubir Said ini dianugerahkan kepada dua komposer terkenal Hollywood, Conrad Pope dan Hans Zimmer.

“Saya juga berasa bangga kerana pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini turut merupakan satu pencapaian penting dalam mengenang dan mengangkat jasa serta sumbangan ayah dalam industri,” kata Encik Sujono ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa majlis penganugerahan.

Pope yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Zubir Said SISF, merupakan seorang tokoh muzik yang paling berpengaruh dalam dunia perfileman moden. 

Hasil karya beliau yang cemerlang sebagai komposer, penyusun serta pemimpin orkestra telah menciptakan runut bunyi bagi beberapa filem terkenal dunia termasuk Star Wars, Harry Potter, The Hobbit, Jurassic Park, Mission: Impossible dan The Curious Case of Benjamin Button.

Manakala, Zimmer pula telah mengubah landskap muzik filem dengan menggabungkan muzik orkestra, elektronik serta elemen budaya, lantas membentuk bunyi ikonik bagi filem seperti The Lion King, Inception, Gladiator, The Dark Knight dan Dune.

Beliau diiktiraf dengan Anugerah Ikon Zubir Said SISF bagi Inovasi Sinematik, yang meraikan serta menghargai bakat kreatif beliau yang telah membawa dimensi baru dalam seni muzik layar lebar.

Menurut Pengasas dan Pengarah SISF, Encik Alex Oh, anugerah membawa nama Zubir Said kerana beliau ialah tokoh penting dalam sejarah muzik dan filem Singapura.

“Selain menciptakan lagu Majulah Singapura, beliau juga seorang perintis muzik filem Melayu yang menetapkan piawai kecemerlangan dari segi disiplin seni, tanggungjawab budaya dan kesan jangka panjang. 

“Beliau membuktikan komposer dari rantau ini mampu menghasilkan karya yang bermakna pada masyarakat.

“Dalam pada itu, Pope dan Zimmer dipilih sebagai penerima Anugerah Zubir Said SISF kerana pengaruh mereka yang besar dalam muzik filem moden.

“Bersama-sama, karya mereka membentuk cara muzik filem dihidupkan dan dihargai di seluruh dunia, selaras dengan misi SISF untuk meraikan muzik yang memperkaya penceritaan,” jelas Encik Oh.

Encik Sujono, yang telah bermastautin di Switzerland sejak 1979, mengenang ayahnya, Allahyarham Zubir, sebagai pemuzik berbakat dan bapa yang tegas serta berprinsip dalam membesarkan anak-anak.

“Apabila ayah saya ciptakan lagu, Majulah Singapura, saya hanya berusia empat tahun. Ketika itu, saya masih belum faham dan tidak tahu apa-apa.

“Bahkan sewaktu di Darjah 1, saya tidak pernah terfikir lagu yang kami nyanyikan di perhimpunan sekolah itu adalah karya ayah saya sendiri.

“Masa kecil, saya hanya ingat ramai penggiat seni Melayu, khususnya dari Cathay-Keris, yang datang ke rumah untuk menemui ayah. Antaranya ialah Allahyarham Wahid Satay.

“Semakin dewasa, barulah saya benar-benar faham tentang penglibatan ayah dan karya hebat yang dihasilkannya.

“Di sebalik semua itu, arwah ayah ialah seorang yang sangat tegas dan garang. Beliau juga yang memperkenalkan saya kepada dunia muzik.

“Namun, kerana ketegasannya, ada kalanya saya jadi tidak mahu mendalami bidang muzik.

“Bagaimanapun, tiada satu hal pun yang saya sesalkan sehingga hari ini,” kata Encik Sujono yang sebelum ini juga merupakan seorang pemuzik.

Selepas bersara dari Cathay-Keris pada 1964, Allahyarham Zubir menumpukan masanya mengajar kelas piano kepada pelajar daripada pelbagai lapisan umur.

Mengikuti jejak ayahnya, Encik Sujono, yang mempunyai seorang lagi kakak, Dr Rohana Zubir, 87 tahun, turut meluangkan usia mudanya menjadi guru piano bagi kanak-kanak.

Pada 16 November 1987, Allahyarham Zubir, yang dilahirkan di Bukittinggi, Sumatra, Indonesia, telah menyahut panggilan Ilahi pada usia 80 tahun akibat kegagalan hati.

Menyentuh harapannya agar generasi muda dapat terus menghargai dan melestarikan legasi Allahyarham Zubir, Encik Sujono, yang juga bapa kepada tiga anak perempuan berusia antara 24, 30 dengan 33 tahun, berkata:

“Melalui Anugerah Zubir Said ini, saya berharap karya dan semangat ayah saya akan terus hidup, memberi inspirasi kepada lebih ramai anak-anak muda dalam dunia seni, dan memastikan legasinya terus dikenang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg