KUALA LUMPUR: Pelakon Norish Karman mendakwa pernah ‘berumah’ dalam kereta bersama empat anak selama hampir dua bulan selepas bercerai.

Norish mendakwa kegagalan bekas suami membayar ansuran rumah kepada ejen hartanah menyebabkan beliau dan anak-anak terpaksa tinggal dalam kereta, lapor Berita Harian Malaysia.

“Sepatutnya, bekas suami bayar, tetapi ada peringkat yang beliau gagal, jadi saya terpaksa tinggalkan rumah itu.

“Hendak cari rumah lain pula perlu wang pendahuluan, jadi, saya pilih duduk dalam kereta. Kami tumpang mandi di gimnasium dan letak kereta di hadapan restoran mamak 24 jam.

“Jadi, tidaklah bimbang dirompak dan sebagainya kerana ada lampu.

“Agak-agak tidak boleh tidur, kami lepak makan di mamak,” katanya menerusi program audio siar Legasi Podcast kendalian Adlin Aman Ramlie dan Datuk Khairul Anwar Salleh.

Sepanjang tinggal dalam kereta, Norish berkata ada kawan-kawan mempelawa beliau dan anak-anak tinggal bersama.

Namun, pelakon filem Sayang Salmah itu tidak mahu terhutang budi.

“Ada kawan yang ajak tinggal di rumah mereka tetapi tapi demi menjaga persahabatan, saya terpaksa tolak.”

“Saya tahu Allah tidak kejam, saya yakin suatu hari nanti saya akan naik semula.

“Jadi, saya takut ketika di atas, saya terlalu sibuk mengatur hidup dah banyak duit, hingga tidak sempat melayan kawan-kawan yang sudah membantu.”

“Jadi, saya tidak mahu mereka terasa hati, saya tidak mahu ada ruang itu.

“Sebab itu saya pilih tinggal dalam kereta Exora bersama anak-anak.

“Anak-anak pun tidak mahu walaupun saya suruh tinggal di rumah kawan, kerana mereka mahu teman saya,” katanya.

Bagaimanapun, Norish bersyukur dikurniakan anak-anak yang sangat baik kerana tidak pernah merungut biarpun terpaksa hidup dalam keadaan terumbang-ambing.

“Anak-anak tidak pernah sekalipun merungut, walaupun hanya ada wang tunai RM50 ($16.09) dalam tangan, biarpun terpaksa menjamah nasi berlauk telur.

“Saya selalu ingatkan mereka mungkin inilah petanda mereka akan menjadi orang hebat suatu hari nanti.

“Mereka sebenarnya boleh pilih untuk hidup mewah dan teratur, tapi mereka masih memilih saya.

“Disebabkan itu, saya amat berterima kasih kepada anak-anak kerana sudi terus bersama saya.

“Mereka adalah sayap dan kekuatan saya,” katanya.

Norish berkata anak-anak juga tidak pernah menghakimi atau mempersoal tindakannya mengambil empat anak angkat, dan tidak pernah persoalkan asal usul mereka.

“Saya tidak pernah belikan mereka barang kemas atau telefon bimbit, tetapi, mereka pandai berdikari dan cari duit sendiri membeli apa yang dimahukan,” katanya.

Norish berkata biarpun ketika itu, ibu bapanya masih ada, namun, mereka tidak tahu masalah dilalui kerana tidak mahu mereka risau.

“Ada benda yang kita boleh cerita tetapi apabila sudah dewasa, takkan sikit-sikit nak bercerita.

“Ketika saya bercerai pun mereka tidak tahu, saya hanya cerita apabila semuanya sudah selesai,” katanya.

Norish dan anak-anak mula hidup normal selepas mengusahakan khidmat katering.

“Ketika itu, saya gigih buat pengumuman dan kami dapat buat katering untuk 5,000 orang hingga 10,000 orang, cuma saya tak hebohkan,” katanya.

Norish berkahwin dengan usahawan, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir pada 1998, namun, bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Armany, Muhammad Hardy Amiru, dan Nurul Hanyz Amanda serta empat anak angkat.