Pelakon Ammar Alfian cadang bersara ‘kerana semua watak saya sudah buat’
Pelakon Ammar Alfian cadang bersara ‘kerana semua watak saya sudah buat’
Pelakon asal Johor Bahru, Ammar Alfian, 39 tahun, merancang untuk bersara daripada bidang lakonan selepas dua dekad berkecimpung dalam industri seni di Malaysia.
Ammar, atau nama sebenarnya, Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, berkata keputusan itu dibuat kerana sudah menjayakan pelbagai watak dalam bidang lakonan.
“Saya mahu bersara bukan sebab kecewa dalam bidang seni tetapi kerana semua watak saya sudah buat.
“Saya memang minat berlakon, tapi kalau setakat macam itu sahaja selama 20 tahun, nak buat macam mana kan?
“Tapi, masih belum tahu lagi bila saya akan bersara kemungkinan pada tahun depan (2027),” kata Ammar dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Ammar berkata demikian ketika ditemui BHM pada majlis pelancaran drama vertikal berjudul, Pan Mee, di Malaysia, pada 9 Februari.
Pelakon filem, Paskal itu turut meluahkan rasa syukur dengan pengalaman yang diperolehi sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.
“Cuma, pada pandangan saya, kebanyakan drama yang dihasilkan sekarang bersifat klise dan cerita yang lebih kurang sama.
“Sama juga macam watak yang ditawarkan pada saya. Kalau ada orang tawar watak ustaz, saya ambillah. Tapi... takkan ada,” ujarnya.
Ditanya perancangan pada masa depan, Ammar mahu memberi lebih tumpuan pada perniagaan yang diceburinya.
“Umur saya pun sudah nak masuk 40 tahun dan sudah sampai tahap untuk bertukar kerjaya dan haluan kehidupan.
“Saya memang sudah ada perniagaan sendiri dan mungkin saya akan lebih fokus ke arah itu (bidang perniagaan),” tambahnya.
Ammar mula berlakon sekitar 2007 selepas terpilih sebagai finalis dalam pertandingan pencarian bakat, Hero Remaja.

