Kembali menyarung kostum ikonik Puteri dalam filem Duyung: Legenda Aurora, pelakon jelita Maya Karin, tidak menafikan rasa gementar, biarpun watak itu sudah sebati dengannya.
Mengakui pernah cemas dihanyutkan air sebelum ini, Maya Karin Roelcke, 46 tahun, berkata beliau harus jujur tentang kemampuannya melakonkan babak dalam air.
“Saya ada sedikit ketakutan dan rasa gementar kerana pernah mengalami keadaan hampir lemas sebelum ini, saat penggambaran filem pertama 18 tahun lalu (2008).
“Pihak penerbitan ada meminta saya menyelam sedalam lima meter ketika latihan di kolam renang.
“Namun, selepas beberapa tahun, saya akui tidak mampu melakukannya, lebih-lebih lagi apabila memakai sut duyung.
“Saya hanya boleh menyelam sedalam tiga meter. Jadi, saya memohon maaf dan berterus terang kepada mereka untuk pergi lebih dalam adalah sangat sukar,” kata Maya dalam laman web, Harian Metro.
Walaupun berdepan cabaran itu, katanya, penggambaran tetap berjalan lancar, malah latihan hanya diadakan sekali sebelum mereka terus ke lokasi sebenar di laut.
Selain faktor trauma, Maya turut berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu di Langkawi, Malaysia.
“Saya tidak pernah ke Langkawi dengan cuaca sedingin itu. Babak dalam kolam pada waktu malam terasa sangat sejuk.
“Nasib baik saya berada dalam watak Puteri yang ketika itu dalam keadaan lemah selepas terdampar, jadi ia sedikit sebanyak membantu lakonan.
“Malah, kejadian ribut pasir juga berlaku sehingga balkoni bilik hotel saya penuh dengan pasir,” katanya.
Berkongsi mengenai perbezaan ketara berbanding filem Duyung yang diterbitkan pada 2008, Maya meluahkan rasa lega apabila kostum yang digayakan kali ini jauh lebih praktikal dan mesra pelakon.
Menurutnya, pengalaman ketika filem pertama dahulu agak menyeksakan apabila beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk bersiap dan sut itu tidak boleh dibuka seharian.
“Kali ini, aspek keselesaan diambil kira bukan sahaja untuk pelakon, bahkan juga kru.
“Kostum sekarang lebih fleksibel dan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dipakai.
“Jika berlaku kecemasan, ia boleh dibuka dengan mudah. Malah, saya juga menggunakan kerusi roda selepas memakai sut supaya kru hanya perlu menolak saya terus ke laut tanpa perlu menyusahkan mereka mengangkat saya,” ujar Maya.
Bercerita mengenai gandingan barisan pelakon, Maya menyifatkan naskhah kali ini sebagai ‘reunion’ yang menyeronokkan, biarpun ketiadaan Datuk Awie.
Maya menceritakan suasana di set penggambaran sangat santai, tiada tekanan dan masing-masing profesional tanpa sebarang sikap ‘diva’.
“Saya seronok dapat berkumpul semula dengan pelakon lama seperti Saiful Apek dan Yasmin Hani.
“Apek awal-awal lagi minta tak mahu masuk air, jadi dia banyak berehat dan melepak di tepi kolam saja.
“Bagi pelakon baru seperti Anna Jobling, dia ada suarakan rasa gementar pada mulanya.
“Tetapi, saya katakan padanya, dia bekas perenang Selangor, jadi tiada apa yang perlu dipertikaikan. Dia perenang yang bagus,” ungkap Maya.
Mengakhiri bicara, Maya berharap filem, Duyung: Legenda Aurora, mendapat sokongan dan menghiburkan penonton terutama peminat filem tempatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg