Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon China, Fan Bingbing terima gelaran Datuk di Melaka

Aug 26, 2025 | 3:43 PM
Fan Bingbing, Melaka, Datuk
Pelakon asal Yantai, China, Fan Bingbing, dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) pada 24 Ogos lalu, di Seri Negeri, Ayer Keroh, sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. - Foto INSTAGRAM FAN BING BING

Pelakon asal Yantai, China, Fan Bingbing, 43 tahun, yang dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) pada 24 Ogos, berikrar akan terus mempromosikan bandar bersejarah itu kepada pelancong antarabangsa.

“Saya akan berada di Melaka bulan depan untuk mempromosikan pelancongan dan akan kerap berkunjung ke sini,” kata beliau, selepas menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu.

Istiadat penganugerahan itu diadakan pada 24 Ogos di Seri Negeri, Ayer Keroh, sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Fan turut berkata beliau amat menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri Melaka.

Beliau kini sebaris dengan bintang antarabangsa lain yang turut menerima penghormatan daripada Malaysia atas sumbangan mereka dalam sektor pelancongan, termasuk pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan, dan bintang filem Hong Kong, Jackie Chan.

Fan terkenal di peringkat antarabangsa menerusi lakonannya dalam filem adiwira Amerika iaitu, X-Men: Days Of Future Past (2014), arahan Bryan Singer.

Selain itu, beliau turut dikenali melalui filem China, I Am Not Madame Bovary (2016), arahan Feng Xiaogang yang berdasarkan sebuah novel, I Did Not Kill My Husband, tulisan Liu Zhenyun.

Bagaimanapun, selepas terpalit kontroversi pengelakan cukai pada 2018, beliau tidak lagi terbabit dalam karya penerbitan di China, sebaliknya lebih aktif berkarya di luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam laporan di laman web The Star pada 21 Ogos lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menjelaskan bahawa penganugerahan DPSM kepada Fan merupakan pengiktirafan terhadap pengaruhnya dalam membawa masuk pelancong ke Melaka.

Ia sekali gus mengangkat nama negeri itu di pentas antarabangsa.

“Beliau telah berjaya melonjakkan bandar bersejarah ini ke persada pelancongan dunia, dan kami amat menghargai usahanya,” kata beliau.

Terdahulu, Fan dilantik sebagai Duta Persahabatan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Sejak itu, penglibatannya telah meraih keterlibatan digital yang besar dengan Melaka mencatat lebih 1.5 juta jumlah klik di platform WeChat di China dan dianggap antara pencapaian digital pelancongan terbesar negara.

Di samping itu, jumlah kedatangan pelancong China ke Melaka meningkat mendadak daripada 204,818 orang pada 2023 kepada 664,687 orang pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg