Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Konsert Irama Perjuangan’ suntik semangat bagi pesakit barah

Dorong masyarakat Melayu lebih peka, ambil langkah awal jaga kesihatan diri dan keluarga
Aug 25, 2025 | 6:25 PM
 ‘Konsert Irama Perjuangan’,
‘Konsert Irama Perjuangan’ anjuran Persatuan Ain dan D’Star Management berlangsung di Teater Mediacorp, pada 23 Ogos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kalau sudah namanya penyanyi ‘otai’ (orang lama atau old-timer) dengan sajian lagu yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, tiada yang boleh menafikan kehebatannya menggegarkan pentas.

Begitulah yang saya rasakan apabila berpeluang menonton penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, beraksi di atas pentas melalui Konsert Irama Perjuangan, anjuran Persatuan Ain dan D’Star Management, pada 23 Ogos di Teater Mediacorp.

Sempena Kempen Kesedaran Barah 2025, konsert yang dihadiri sekitar 1,000 hadirin itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan ujian saringan barah dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura.

Dengan sentuhan hiburan, Konsert Irama Perjuangan, diharapkan mampu membuka minda serta mendorong masyarakat Melayu agar lebih peka dan mengambil langkah awal dalam menjaga kesihatan diri serta keluarga.

Tentunya Hetty juga tidak bersendirian.

Bersama beliau (yang mesra disapa Bunda) di pentas megah itu ialah para alumni peraduan nyanyian realiti, Gegar Vaganza, iaitu Liza Aziz, Mimifly dan Hady Mirza.

Liza dinobatkan Juara bagi Gegar Vaganza Musim Ke-11 (GV11), pada 9 Februari lalu.

Manakala, Mimifly dan Hady merupakan antara finalis Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) pada 2019, yang mana Hady diumumkan sebagai Juara bersama penyanyi berpengalaman Malaysia, Naqiu, daripada kumpulan Boboy.

Dalam pada itu, Hetty turut menampilkan anakanda, Afifah Yusuf dalam barisan penyanyi jemputan yang menggamatkan lagi suasana pada konsert tersebut.

Tepat pada 8 malam, tirai konsert dibuka dengan persembahan tarian dengan lenggok gemalai oleh kumpulan tarian tempatan, Artistari Gentari, diiringi muzik instrumental lagu Kuda Hitam.

Hetty memulakan persembahan dengan lagu sentuh jiwa, Tak Ingin Sendiri, ciptaan komposer Allahyarham Pance F. Pondaag.

Seiring dengan tema konsert yang menyentuh perjuangan dalam diam pesakit barah, lagu itu berkumandang sebagai pembuka tirai lambang segala pengorbanan serta ketabahan mereka dalam melawan penyakit barah yang dihidapi.

Ini disusuli dengan lagu yang menjadi luahan rasa kecewa dalam urusan cinta, Benci Tapi Sayang, ciptaan Allahyarham Rinto Harahap.

Lagu keroncong itu disegarkan dengan alunan band secara langsung, menjadikannya lebih beremosi dan benar-benar meresap ke dalam sanubari.

Adakalanya, penonton turut menyahut nyanyian Hetty dengan menyebut, “Sayang” – bait lirik ikonik yang begitu sinonim dengan lagu tersebut.

Dua lagu itu sudah cukup untuk membuatkan penonton berasa bahang konsert yang perlahan-lahan memuncak.

Penonton juga tidak perlu tunggu lama untuk ‘warm-up’ sebab lagu yang disajikan Hetty banyak membuat ramai mengimbau nostalgia seperti Jodoh (hasil ciptaan Dadang S. Manaf), Pedihnya Rasa (ciptaan Allahyarham Ahmad Nawab) dan Juwita Malam (ciptaan Allahyarham Ismail Marzuki).

Memang tidak dapat disangkal lagi, pengalaman lebih lima dekad dalam industri menjadi bukti keupayaan Hetty menakluki atau ‘pukul habis’ pelbagai genre muzik, daripada keroncong, dangdut, balada, pop hinggalah jaz.

Saya tabik dengan semangat Hetty, yang di usia hampir mencecah 70 tahun, tetap bertenaga menghiburkan penonton melalui rangkaian lagu malar segarnya selama 30 minit secara berterusan.

Peralihan vokalnya begitu halus, bermula daripada nada rendah, kemudian beralih kepada lontaran suara lantang (seperti digambarkan Hetty sebagai ‘tembakan’ suara), sebelum meluncur ke nada tinggi atau ‘falsetto’ (nyanyian nota tinggi) dengan mulus.

Dalam pada itu, jiwa penghibur menjadi salah satu kelebihan penyanyi era dulu.

Hetty sendiri memiliki jiwa penghibur yang begitu kuat kerana mampu berjenaka secara spontan di atas pentas dan tanpa ragu menghentikan iringan band muzik, andai ada yang dirasakannya kurang menepati kemahuan beliau.

Syukurlah, barisan pemuzik yang mengiringi Hetty cukup tangkas memenuhi kehendaknya, peka menangkap isyarat lalu segera menghidupkan kembali suasana.

Antara persembahan yang saya gemari termasuk duet Hetty bersama Liza, ketika menyanyikan lagu Kasih dalam versi keroncong, nyanyian asal Ermy Kullit dan diciptakan oleh Richard Kyoto.

Gabungan vokal Hetty dan Liza begitu serasi, dengan Liza bijak mengimbangi kekuatan suara Hetty. 

Walaupun kedua-duanya mempunyai ‘tembakan’ suara yang lantang, duet itu tetap harmoni dan tidak terasa saling menenggelamkan.

Begitu juga bagi duet Hetty bersama Mimifly menerusi lagu, Koq Jadi Gini, yang penuh kelucuan dan menghiburkan.

Apatah lagi dengan aksi pentas Mimifly yang mencuit hati, seakan menampilkan adegan ‘ibu dan anak’ yang saling bergurau senda di atas pentas.

Lebih daripada itu, duet antara pasangan ibu dan anak sebenar, Hetty dan Afifah, tidak kalah memaparkan detik menyentuh hati, menonjolkan penyatuan dua generasi. 

Hetty turut memberi peluang kepada Afifah untuk menyanyikan dua lagu secara solo iaitu Pelangi Cinta, yang dipopularkan Hetty pada 1982, dan Berharap Tak Berpisah, dendangan asal Reza Artamevia.

Afifah membawa nafas baru pada lagu Pelangi Cinta, menjadikannya lebih rancak dengan sentuhan disko hasil kolaborasinya bersama kumpulan Indonesia, Diskoria, yang dianggotai Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat.

Sementara itu, Mimifly dan Hady turut menyanyikan Romeo Bercinta, lagu dangdut klasik nyanyian asal Hetty dan Jamal Mirdad, dengan persembahan yang segar dan mengasyikkan.

Mimifly menyanyikan lagu tersebut dengan gaya yang manja, manakala Hady tampil tenang dan bersahaja.

Bagi Mimifly, kemampuan menyanyikan lagu dangdut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau pernah menyertai pertandingan realiti nyanyian Indonesia, D’Academy Asia (Musim Pertama), pada 2015.

Mungkin, sudah tiba masanya beliau merakam lagu dangdut sendiri!

Persembahan Hetty bersama Hady dalam Damai Tapi Gersang, turut mencuri tumpuan penonton.

Lebih menarik lagi, lagu itu pernah dipersembahkan oleh Hetty dan Ajie Bandy di Festival Lagu Popular Indonesia pada 1976, sekali gus meraih tempat kedua sebelum menjuarai Festival Lagu Popular Sedunia di Dewan Budokan, Tokyo, Jepun.

Sayang sekali, hasrat saya untuk menyaksikan semua alumni Gegar Vaganza beraksi bersama di atas pentas tidak tercapai, kecuali pada penghujung konsert apabila Hetty, Afifah, Mimifly, Liza, dan Hady menyanyikan lagu ‘wajib’ dinyanyikan, Berdiri Bulu Romaku.

Bagaimanapun, saya ingin meluahkan setinggi penghargaan kepada penganjur atas konsert yang menghiburkan sambil tetap menyampaikan mesej penting melalui hiburan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg