Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon mapan tingkat kesedaran kesihatan mental dalam lakonan 

Suzannah Abu Bakar hargai peluang berlakon, harap bakat tempatan terus bersinar
May 24, 2025 | 5:30 AM
Pelakon mapan, Suzannah Abu Bakar berharap lakonannya dalam drama antologi ‘Bingit’ dapat memberi kesedaran terhadap isu kesihatan mental kepada masyarakat.
Pelakon mapan, Suzannah Abu Bakar berharap lakonannya dalam drama antologi ‘Bingit’ dapat memberi kesedaran terhadap isu kesihatan mental kepada masyarakat. - Foto MEDIACORP

Apabila mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama antologi Bingit (Musim Kelima), pelakon mapan Singapura, Suzannah Abu Bakar tidak mahu melepaskan ‘tanggungjawab besar’ untuk menyampaikan pesanan mengenai kesihatan mental kepada para penonton. 

Drama Bingit merupakan siri antologi oleh pihak penerbitan Mediacorp Eaglevision yang mengetengahkan isu kesihatan mental dengan musim pertama mula ditayangkan pada 2012.

Ia bertujuan untuk mendidik penonton tentang pelbagai jenis gangguan, punca, gejala dan rawatan bagi setiap isu mental. 

“Saya pernah membintangi musim pertama bagi drama ini bersama pelakon, Nurul Aini.

“Ketika itu, isu yang diketengahkan ialah gangguan identiti disebabkan trauma. Dari situ, saya mula faham mengenai konsep Bingit dan stigma yang ada dalam membincangkan tentang masalah mental. 

“Kali ini, saya membawa watak Farah, seorang ibu yang menyebabkan anaknya mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD). 

“Saya berasa bertanggungjawab untuk memberi lakonan yang berkesan supaya penonton lebih memahami apa sebenarnya PTSD dan bagaimana ia boleh terjadi,” kongsi Suzannah, 58 tahun, kepada Berita Harian (BH) dalam satu sesi wawancara melalui Zoom. 

Selain memahami kehendak penulis skrip dan pengarah, Suzannah turut menggunakan ilmu yang dipelajarinya daripada menghadiri kursus pendek mengenai kesihatan mental.  

Beliau yang pernah dicalonkan beberapa kali di Pesta Perdana yang lepas berasa bersyukur dengan pencalonan yang diterima bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi dalam Pesta Perdana 2025 bagi drama Bingit. 

Mengakui watak tersebut agak mencabar, Suzannah turut membuat kajian untuk memahami emosi dan pemikiran Farah yang sanggup menutup aib anak saudaranya demi maruah keluarga, namun telah mengakibatkan trauma kepada anak perempuannya sendiri. 

“Selepas berbincang dengan pihak penerbitan semasa di set penggambaran, mereka setuju bahawa Farah turut melalui trauma daripada peristiwa buruk itu.

“Dalam babak terakhir apabila suaminya menelefon polis, Farah dilihat dalam keadaan tidak tenang dengan tangannya menggigil dan mula menitiskan air mata.

“Saya bersyukur dapat menghidupkan watak itu,” ceritanya yang melangkah ke dalam bidang lakonan selepas memasuki peraduan adu bakat, Bintang ‘89.

Mengulas mengenai gandingan bersama Lydia Asyiqin dalam drama tersebut, Suzannah berkata dirinya gembira dapat berlakon dengan pelakon muda yang berbakat. 

“Alhamdulilah, beliau boleh pergi jauh dalam industri ini. Mungkin pihak penerbitan melihat keserasian kami jadi kami sering digandingkan bersama,” jelasnya yang turut berlakon sebagai watak ibu kepada Lydia dalam Mencari Marina dan sebagai ibu mertua dalam Kahwin Satu Keluarga.

Suzannah gembira melihat bakat baru yang ingin menceburi bidang seni Melayu dan mereka terbuka untuk menimba ilmu daripada pelakon mapan.

“Melihat orang muda yang mempunyai ijazah dalam bidang media dan seni seperti Zhin Sadali dan Fandy Ahmed ingin menceburi bidang televisyen Melayu, membuat saya rasa bangga kerana mereka ada ilmu dan bakat.

“Untuk bertahan dalam industri seni Melayu tempatan, seseorang itu harus serba boleh. 

“Sejujurnya, pasaran tempatan ini agak kecil jadi kalau boleh seseorang itu harus serba boleh – berlakon, mengacara dan menyanyi,” ujarnya yang turut dikenali dengan lagu Raya, Cempaka Biru bersama penyanyi Zukiman Rasam. 

Suzannah turut aktif pada zaman 80-an dan 90-an dalam pementasan teater dan bangsawan yang menggabungkan elemen tarian, muzikal dan lakonan bersama abangnya, penggiat teater, Azman Abu Bakar, di bawah kumpulan teater kelolaan keluarganya, Andika Mawar. 

Beliau yang pernah berehat daripada dunia lakonan apabila jatuh sakit dan hilang ingatan akibat koma selepas melahirkan anak yang keenam pada 2008, bersyukur masih diberi peluang sehingga kini untuk berlakon.

Ditanya BH apakah nasihatnya untuk bakat muda, Suzannah berkata beliau berpegang pada nilai kesopanan, menghormati orang lain dan disiplin dalam melakukan sesuatu tugas. 

Melangkah ke hadapan, beliau berharap industri seni tempatan dapat terus maju dengan menghasilkan lebih banyak karya yang menarik dan bermutu.

Pesta Perdana Glam akan disiarkan di saluran Suria, aplikasi mewatch, saluran YouTube, Mediacorp Entertainment, dan TikTok Mediacorp Untukmu, antara 7 malam dengan 8 malam. Ini disusuli dengan program utama, Pesta Perdana 2025, antara 8.30 malam dengan 11 malam.

“Kali ini, saya membawa watak Farah, seorang ibu yang menyebabkan anaknya mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD). Saya berasa bertanggungjawab untuk memberi lakonan yang berkesan supaya penonton lebih memahami apa sebenarnya PTSD dan bagaimana ia boleh terjadi.”
Suzannah Abu Bakar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg