Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon Squid Game kongsi pengalaman hidupkan watak

Drama paling banyak ditonton di Netflix kini sampai kemuncak dengan musim ketiga
Jul 1, 2025 | 3:26 PM
squid game, musim ketiga, lee jung jae
Lee Jung-jae yang memainkan watak utama sebagai Seong Gi-hun atau Pemain 456, bersaing menerusi permainan kanak-kanak yang berbahaya, direka untuk hiburan semata-mata bagi golongan kaya. - Foto NETFLIX

Detik kemuncak siri drama permainan ekstrem penuh ketegangan, Squid Game, dirungkai dalam musim ketiga di Netflix pada 27 Jun, merangkum penghujung ikon budaya pop tersebut.

Siri yang menjadi rancangan Netflix paling banyak ditonton sepanjang masa itu, pernah meraih enam anugerah Emmy pada 2022.

Antara lain, ia mencatat kemenangan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Siri Drama (dimenangi Lee Jung-jae) dan Pengarahan Terbaik Siri Drama.

Drama bersiri, Squid Game, memulakan tayangan perdana pada 21 September 2021, di Netflix.

Dalam satu acara, ‘ATAS Netflix’s Squid Game’, di The Egyptian Theatre Hollywood, Los Angeles pada 30 Mei, barisan pelakon dalam drama bersiri Korea Selatan itu berkongsi pengalaman berharga sepanjang penggambaran selain mengupas mesej yang disampaikan melalui watak yang dimainkan.

Apakah yang membuat setiap watak dalam drama bersiri, Squid Game, menyerlah?

Menurut pelakon utama, Lee Jung-jae, 52 tahun, watak Seong Gi-hun, yang dimainkannya unik dan mempunyai perlakuan aneh.

Gi-hun, atau dikenali sebagai Pemain 456, antara peserta yang terperangkap untuk bersaing menerusi permainan kanak-kanak yang berbahaya, direka untuk hiburan semata-mata bagi golongan kaya raya.

Beliau berkata: “Beliau (Gi-hun) penuh dengan kejutan dan mungkin watak yang tidak pernah penonton lihat di layar sebelum ini.

“Mereka (penonton) seperti sedang mencuba hidangan baru.

“Saya rasa sambutan baik yang diterima watak ini adalah disebabkan keasliannya dan kesegaran yang disuntik drama bersiri ini.”

Di samping itu, Lee mengakui kagum dengan watak, Gi-hun, dan jalan ceritanya ketika pertama kali membaca skrip. 

“Saya benar-benar terpesona dengan keupayaan pengarah, Hwang Dong-hyuk, dalam mencipta watak tiga dimensi seperti itu. 

“Sebagai pelakon, saya fikir, ‘bagaimana saya boleh menambah keunikan kepada watak ini?’,” kata Lee, lapor The Straits Times.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur apabila hasil kerjanya mendapat sambutan hangat penonton, sehingga menjadi bahan ‘meme’ atau kandungan jenaka dan hiburan yang tular di laman media sosial.

Menurut Lee, watak Gi-hun menjadi watak paling mengasyikkan yang pernah beliau lakonkan sepanjang kerjayanya yang bermula pada 1990-an.

Sebelum ini, beliau pernah membintangi filem Korea Selatan termasuk, City Of The Rising Sun (1999) dan The Face Reader (2013).

“Ketika saya kembali ke set (bagi musim kedua), rasanya seperti saya betul-betul berada dalam permainan itu. 

“Walaupun sudah lama jadi pelakon, saya dibayangi perasaan yang rumit dan sukar digambarkan.

“Saya mula tertanya-tanya ke manakah perjalanan ini akan membawa Gi-hun.

“Sekarang segalanya telah selesai, saya sangat teruja dan gembira,” akui Lee.

Sementara itu, Lee Byung-hun, 54 tahun, memainkan watak antagonis sebagai Front Man.

Front Man dianggap sebagai dalang yang merancang strategi dan permainan, Squid Game, dan tahap kesukaran meningkat apabila pemain kian menghampiri garis penamat.

Dalam siri kedua, Front Man menyamar sebagai Hwang In-ho, atau Pemain 001, yang berpura-pura menjadi sekutu Gi-hun.

“Saya akhirnya dapat membuka topeng saya dan melakonkan watak baru.

“Watak yang saya mainkan terdiri daripada tiga bahagian iaitu sebagai Front Man itu sendiri, In-ho yang menjalani kehidupan selaku detektif polis sangat terdesak dan individu yang menyertai permainan tersebut,” kata Lee.

Terdahulu, beliau turut membintangi filem aksi Hollywood seperti francais, G.I. Joe (antara 2009 dengan 2013) dan The Magnificent Seven (2016).

Bagi Lee, cabaran memainkan watak Front Man agak berat, namun, menyeronokkan.

Demi menjayakan watak itu, Lee memastikan untuk sentiasa berbincang dengan pengarah, Hwang, sebelum melakonkan setiap babak.

“Dalam setiap babak, saya pastikan dapat menyampaikan elemen penting dalam watak itu, yang merangkumi pesona, kedalaman emosi dan nadanya. 

“Saya sentiasa berbincang dengan Hwang untuk setiap babak. Kini, melihat kembali (siri itu), ia menjadi memori indah bagi saya.”

Penyanyi ‘rap’ Choi Seung-hyun, atau lebih dikenali sebagai T.O.P semasa bersama kumpulan K-Pop, BigBang, turut memikat penonton melalui wataknya sebagai Pemain 230 atau Choi Su-bong, khususnya dalam musim ketiga drama itu.

Choi Su-bong yang menggunakan nama samaran, Thanos, ialah seorang ‘rapper’ yang gagal dalam bidang hiburan, lantas mencari kepuasan baru dalam permainan, Squid Game.

Menurut Choi, 37 tahun, cabaran utamanya adalah bagaimana beliau mengimbangi tahap ketidakstabilan watak antagonis yang sombong itu.

“Saya dan Hwang banyak berbincang dan kami bersetuju untuk mencipta watak yang belum pernah dilihat dalam drama bersiri, Squid Game, sebelum ini (dalam musim pertama mahupun kedua).

“Arahan beliau ialah sama ada saya menjadi lebih gila atau kurang gila,” kata Choi, yang pernah membintangi filem perang, 71: Into The Fire, pada 2010.

Choi menambah bahawa melalui watak Thanos, beliau menyedari batas kemampuannya dalam meneroka sisi ‘kegilaan’ dirinya sebagai seorang pelakon.

Sambil memetik dialog ikonik wataknya, beliau berkata: “Aku sangat marah, kawan!”

Drama bersiri Squid Game kini boleh ditonton di wadah penstriman Netflix.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg