Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelawak veteran kembali cuit hati di pentas, kenangan lama kembali bersemi
REVIU
Pelawak veteran kembali cuit hati di pentas, kenangan lama kembali bersemi
Bagaimana jika para pelawak yang suatu ketika dahulu mencuit hati penonton sebenarnya tidak pernah kehilangan sentuhan lawak mereka, sebaliknya hanya semakin terpinggir daripada ingatan masyarakat?
Hakikat itu seakan-akan terungkap menerusi persembahan Temu Lawak pada 31 Oktober lalu di De Villa Ballroom, yang menghimpunkan semula barisan pelawak veteran dan penggiat seni tempatan untuk menghiburkan kira-kira 400 penonton.
Acara itu menyaksikan pelawak veteran Husin Saaban kembali bergabung dengan beberapa anggota kumpulan Geng Pecah Perut termasuk Ahmad Stokin dan BJ Kadir serta pelakon tempatan seperti Khairudin Samsudin, dan Nureeda Suhoot.
Penerima Anugerah Perdana Emas itu sebelum ini meluahkan hasrat untuk menjadikan Temu Lawak sebagai cabaran buat dirinya, selain peluang menguji sejauh mana penonton hari ini masih menghargai persembahan pelawak generasi lama.
Namun, acara itu bukan sekadar menghidupkan kembali nostalgia menerusi sketsa komedi dan celoteh bersahaja.
Ia turut menjadi ruang untuk mengenang para pelawak Singapura yang telah meninggal dunia, selain menghargai mereka yang masih meneruskan perjuangan dalam dunia seni hiburan tempatan.
Antara segmen yang paling menyentuh perasaan malam itu ialah segmen khas Mengenang Mereka Yang Telah Pergi, yang dirancang oleh penganjur acara, Usrah Eventz menerusi pengasasnya, Encik Zaini Ihim yang juga merupakan adik kepada pelawak Allahyarham Zainal Ihim.
Segmen tersebut diadakan khusus untuk mengenang para pelawak yang pernah mengharumkan nama kumpulan Rappers Tua dan Geng Pecah Perut, namun kini telah kembali ke rahmatullah.
Antara yang dikenang termasuk Allahyarham Alias Kadir dan Allahyarham Samad Ayob.
Identiti tetamu misteri yang diumumkan sebelum acara akhirnya terungkap apabila Ariff Shamsuddin, seniman yang sekian lama menyepi daripada perhatian umum, tampil dengan persembahan khas bermain biola.
Ariff mendendangkan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu nyanyian Uji Rashid dan Kemarin oleh Seventeen, sementara gambar-gambar pelawak Singapura yang telah meninggal dunia dipaparkan pada skrin di belakang pentas.
Bukan sahaja Ariff yang manahan sebak, malah beberapa penonton turut dilihat menitiskan air mata sepanjang segmen tersebut.
Namun, Temu Lawak tidak hanya dibayangi nostalgia dan kesedihan.
Ia itu turut menampilkan tiga sketsa komedi dengan tema, mesej dan kejutan tersendiri, iaitu Kelakar Seram, Pendekar Dara Lapok dan Us Start Samsung Hebat yang menggabungkan pelakon lama dan baharu.
Sketsa Kelakar Seram menyajikan kelainan apabila hantu-hantu yang sepatutnya menghisap darah manusia sebaliknya tampil sebagai pelanggan yang mahu membeli darah.
Antara babak yang mencuit hati penonton ialah apabila pakaian pocong yang dikenakan Hamzah Adon beberapa kali melurut ke bawah, sekali gus mencetuskan gelak tawa dalam kalangan penonton.
Sementara itu, Pendekar Dara Lapok mengisahkan tiga wanita yang berhasrat mempelajari seni mempertahankan diri, namun akhirnya tersasar apabila apa yang dipelajari lebih menyerupai langkah tarian berbanding gerakan silat.
Berbeza pula dengan Us Start Samsung Hebat, yang mengetengahkan kisah bakal menantu lelaki yang mahu memperbaiki pegangan agamanya, tetapi tersalah memilih rakan untuk mendapatkan panduan sehingga mencetuskan pelbagai situasi lucu.
Husin turut menghiburkan penonton dengan menyampaikan lagu Bukan Kerana Nama nyanyian Ramli Sarip, sekali gus menyelitkan elemen muzik dalam persembahan malam itu.
Selain persembahan komedi, Temu Lawak turut menyampaikan dua anugerah khas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan penggiat seni veteran dalam dunia hiburan tempatan seperti Nurijah Sahat dan Zaliha Abdul Hamid.
Bagi Encik Zailani Ihim, yang hadir bersama isteri serta abang dan kakak iparnya, Temu Lawak membawa makna tersendiri kerana mengingatkannya kepada Allahyarham abangnya, Zainal Ihim.
Encik Zailani berkata beliau berasa gembira dan sebak melihat pelakon serta pelawak veteran kembali beraksi di pentas selepas sekian lama.
“Setiap gelak tawa dan wajah yang dilihat mengingatkannya kepada kenangan bersama arwah abang.
“Lebih bermakna, pertemuan itu turut memberinya peluang untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seperjuangannya,” katanya yang berusai 56 tahun.
Walaupun abangnya sudah tiada, juruteknik itu berkata kenangan bersama insan tersayang itu tetap hidup dalam ingatannya, manakala pertemuan dengan rakan-rakan seni Allahyarham sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang tidak pernah padam.
Seorang lagi penonton, Encik Shahrom Nasir, 58 tahun, yang bertugas sebagai juruteknik avionik di SIA Engineering Company (SIAEC), turut berkongsi keterujaannya menghadiri acara tersebut bersama keluarganya.
Beliau yang membeli tujuh tiket berkata merindui persembahan pelawak tanah air dan ingin melihat sendiri sama ada lawak jenaka mereka masih berbisa seperti dahulu.
“Saya rasa teruja dan memang menantikan adegan lawak serta celoteh pelawak-pelawak kita. Sudah lama tidak melihat mereka beraksi bersama di pentas,” katanya.
Pada pandangannya, pelawak veteran Singapura masih mempunyai daya tarikan dan kemampuan untuk menghiburkan masyarakat.
Sebagai penutup acara, para pelakon turut menghiburkan penonton menerusi persembahan nyanyian dan tarian lagu Kwek Mambo yang menceriakan suasana dewan.