Selama beberapa dekad, Ariff Esa menghiburkan penonton dengan gaya lawaknya yang bersahaja, spontan dan tersendiri.

Namun, di sebalik gelak tawa yang dicetuskan, perjalanan beliau sebagai anak seni tidak sepenuhnya mudah.

Kini, pada usia 64 tahun, Ariff mengakui bahawa beliau sudah melalui pelbagai pengalaman sepanjang berada dalam dunia hiburan, termasuk saat popular, kehilangan rakan-rakan seperjuangan serta berdepan kritikan terhadap dirinya.

Antara perkara yang paling diingatinya adalah apabila beliau pernah dilabel sebagai ‘lembut’ oleh penonton dan netizen.

“Pernah satu ketika, semasa membuat persembahan secara langsung, ada mengata saya lembut. Saya sampai menangis waktu itu.

“Masa mula-mula saya tak boleh nak terima sebab masa itu saya masih baru lagi.

“Tapi lama-kelamaan, saya okey sebab ini rezeki kita,” katanya.

Malah, apa yang memberikannya semangat untuk terus menjadi diri sendiri datang daripada dorongan seniwati, Allahyarhamha Ponisah Bachik.

“Arwah kata, kalau orang kata saya lembut, itu sebenarnya watak dan keunikan yang ada pada saya, yang tidak semua orang boleh lakukan.

“Mungkin itulah yang Allah berikan kepada saya.

“Jadi saya fikir, saya perlu kuat. Saya tidak boleh terlalu fikirkan apa yang orang kata,” katanya.

Nasihat itu menjadi pegangan Ariff sepanjang perjalanan seninya.

Baginya, menjadi seorang penghibur bukan sekadar membuat orang ketawa, tetapi juga memerlukan ketahanan hati untuk berdepan pelbagai cabaran dan terus pandang ke hadapan.

Tidak pernah rancang jadi pelawak

Malah perjalanannya dalam dunia seni lawak tidak pernah dirancang.

Ariff mula mengenali dunia seni melalui kumpulan seni, Sriwana, pada awal 1980-an bersama beberapa rakan seperjuangan seperti Allahyarham Zainal Ihim dan Joe Jasmi.

“Sebenarnya saya minat menyanyi. Pada mulanya saya sertai drama suka-suka sahaja.

“Tetapi apabila sudah berkawan dengan rakan-rakan yang sama-sama buat persembahan, lama-lama mereka kata saya ini kelakar.

“Daripada situ, saya rasa mungkin Allah memang anugerahkan saya rezeki untuk menjadi seorang pelawak,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Menurutnya, penampilan awal mereka juga bukan terus mendapat sambutan.

“Kami berlima ketika itu buat persembahan pertama sempena pertunjukan Hari Raya.

“Kami masuk pentas dengan penuh semangat, tetapi apabila mula berlakon, penonton tidak ketawa.

“Kami tengok antara satu sama lain pun sudah rasa kelakar sebab penonton diam sahaja.

“Jadi kami pendekkan persembahan itu. Itu antara pengalaman pertama kami. Tidak menjadi pun tidak mengapa.

“Dari situ kami belajar,” katanya yang menjadikan pengalaman sebegitu sebahagian daripada proses membina diri sebagai penghibur.

Tidak lagi kejar glamor

Walaupun pernah menikmati zaman kegemilangan sebagai pelawak dan pelakon, Ariff kini tidak lagi mengejar populariti.

“Saya sudah puas lalui zaman glamor. Sekarang saya tidak kisah kalau orang tidak kenal saya.

“Malah saya selesa begitu, katanya yang pernah tampil dalam rancangan lawak, Fiesta Komedi.

“Kami sudah tua. Kami tidak mahu rasa kami ini bintang. Kalau kami rasa diri kami masih bintang, nanti kami jadi sombong,” jelasnya lagi.

Walaupun tidak lagi aktif seperti dahulu, Ariff tidak menganggap dirinya sudah meninggalkan dunia seni sepenuhnya.

Malah antara sebab Ariff semakin jarang muncul di kaca televisyen ialah disebabkan komitmen terhadap jadual kerja yang ketat sebagai pegawai awam.

“Kalau ada tawaran pada hujung minggu, saya boleh ambil.

“Tetapi kalau hari biasa, susah sedikit kerana saya bekerja. Prosedur kerja pun kita kena ikut,” kata Ariff.

Tambahnya, jika ada tawaran, beliau tidak cerewet tentang peranan yang diberi.

“Kalau orang beri watak serius, saya boleh jadi serius. Kalau komedi, saya boleh buat komedi.

“Kami tidak semestinya kelakar setiap masa,” ujarnya.

Usah ketepikan pelawak veteran

Dalam pada itu, Ariff turut menyentuh mengenai peluang untuk pelawak veteran dalam industri tempatan yang semakin berkurangan.

Beliau akui menerima tawaran, namun akhirnya orang lain yang dipilih oleh pihak penerbitan.

“Kami sudah bagi nama, sudah sebut harga, tetapi akhirnya orang lain yang diambil.

“Mungkin mereka mahu orang baharu atau selera mereka berbeza.

“Saya tidak kisah. Bagi saya, itu bukan rezeki saya,” katanya.

Baginya, pelawak veteran masih mempunyai banyak cara untuk menyumbangkan bakat dan berkongsi kepakaran, misalnya menerusi persembahan, bengkel dan program khas.

“Saya rasa perlu ada lebih banyak lagi bengkel untuk pelawak. Jangan ketepikan pelawak lama.

“Kami masih hidup. Kadang-kadang apabila seseorang sudah meninggal dunia, barulah orang kenang.

“Kenapa tidak kita berikan ruang kepada mereka ketika mereka masih ada?” ujarnya.

Ariff juga percaya pengalaman pelawak veteran boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang.

“Dulu saya pernah jadi pengadil karaoke dan pertunjukan fesyen. Kami boleh cuba macam-macam. Jangan fikir seorang pelawak hanya boleh buat satu perkara,” katanya.

Rindu rakan seperjuangan

Menurut Ariff, antara perkara yang paling dirinduinya daripada zaman kegemilangan komedi dahulu ialah cara mereka bekerja secara berkumpulan.

Pada ketika itu, para pelawak bukan sekadar menghafal skrip tapi saling memahami gerak tubuh, pandangan mata, isyarat tangan dan rentak persembahan.

Ariff turut terkenang akan rakan gandingan yang paling dekat dengannya iaitu Allahyarham Zainal Ihim.

“Kami sudah macam adik-beradik. Kami tahu taktik masing-masing.

“Kalau buat sesuatu cerita, kami boleh berbincang.

“Kalau ada bahagian yang tidak menjadi, kami tegur dan bagi idea.

“Pernah dalam satu persembahan, kami perlu bergaduh sampai tarik rambut.

“Memang kami buat betul-betul untuk menghidupkan cerita.

“Selepas itu kami minta maaf dan sambung seperti biasa.

“Itu semua kerana kami mahu cerita itu menjadi,” katanya yang menganggap hubungan seperti itulah yang membentuk kekuatan kumpulan mereka.

Ariff (dua dari kanan) bakal tampil di acara komedi, ‘Temu Lawak’ bersama pelawak (dari kiri) Sahfuddin Mahfudz, Ahmad Stokin, Fadilah Samsudin dan BJ Kadir.
Ariff (dua dari kanan) bakal tampil di acara komedi, ‘Temu Lawak’ bersama pelawak (dari kiri) Sahfuddin Mahfudz, Ahmad Stokin, Fadilah Samsudin dan BJ Kadir. - Foto BM oleh KHALID BABA

Atas semangat itulah Ariff menerima peluang untuk menyertai acara ‘Temu Lawak’ bersama pelawak veteran seangkatannya seperti Husin Saaban, Sahfuddin Mahfudz dan BJ Kadir yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini.

Bagi Ariff, acara itu bukan semata-mata tentang membuat persembahan, tetapi peluang untuk berkumpul semula dengan rakan-rakan lama.

“Rakan-rakan dan penonton. Itu yang juga saya rindukan.

“Dulu kita ramai-ramai buat persembahan, sambut Hari Raya, menari, bergembira.

“Kami bertegur antara satu sama lain,” katanya.

Namun, masa telah mengubah suasana yang pernah menjadi sebahagian besar hidupnya.

“Dulu pentas itu macam rumah kedua kita.

“Sekarang sudah tidak macam dahulu.

“Ramai kawan sudah tiada,” katanya.

Walaupun begitu, beliau tetap bersyukur dengan segala peluang dan pengalaman yang pernah diberikan sepanjang berada dalam dunia seni.

Bagi Ariff, doa rakan-rakan dan peminat juga menjadi sebahagian daripada kekuatan yang membolehkannya terus bertahan sehingga hari ini.

“Saya bersyukur dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Mungkin kerana doa kawan-kawan dan peminat.

“Sampai sekarang saya masih boleh bertahan. Jadi jangan sombong dengan orang. Kita kena ingat siapa diri kita.

“Siapa kita? Kita tetap Ariff Isa.”

“

“Pernah satu ketika, semasa membuat persembahan secara langsung, ada mengata saya lembut. Saya sampai menangis waktu itu. Masa mula-mula saya tak boleh nak terima sebab masa itu saya masih baru lagi. Tapi lama-kelamaan, saya okey sebab ini rezeki kita.”
Ariff Esa.