Para pelawak yang suatu ketika dahulu pernah menggeletek hati penonton sebenarnya tidak pernah kehilangan sentuhan komedi mereka, sebaliknya hanya kian terpinggir daripada ingatan masyarakat.

Hakikat itu seakan-akan terungkap menerusi persembahan, Temu Lawak, pada 31 Oktober lalu di De Villa Ballroom yang terletak di 320 Serangoon Road.

Acara yang menghimpunkan semula barisan pelawak veteran dan penggiat seni tempatan itu menghiburkan kira-kira 400 penonton.

Ia menyaksikan pelawak veteran, Husin Saaban, kembali bergabung dengan beberapa anggota kumpulan Geng Pecah Perut termasuk Ahmad Stokin dan BJ Kadir serta pelakon tempatan seperti Khairudin Samsudin, dan Nureeda Suhoot.

Penerima Anugerah Perdana Emas itu sebelum ini meluahkan hasrat untuk menjadikan Temu Lawak sebagai cabaran buat dirinya, selain peluang menguji sejauh manakah penonton hari ini masih menghargai persembahan pelawak generasi lama.

Namun, acara itu bukan sekadar menghidupkan kembali nostalgia menerusi sketsa komedi dan celoteh bersahaja.

Malah, ia turut menjadi ruang untuk mengenang para pelawak Singapura yang telah meninggal dunia, selain menghargai mereka yang masih meneruskan perjuangan dalam dunia seni hiburan tempatan.

Antara segmen paling menyentuh perasaan malam itu ialah segmen khas Mengenang Mereka Yang Telah Pergi, yang dirancang oleh penganjur acara, Usrah Eventz menerusi pengasasnya, Encik Zaini Ihim, yang juga merupakan adik kepada pelawak Allahyarham Zainal Ihim.

Segmen tersebut diadakan khusus untuk mengenang para pelawak yang pernah mengharumkan nama kumpulan Rappers Tua dan Geng Pecah Perut, namun kini telah kembali ke rahmatullah.

Antara yang dikenang termasuk Allahyarham Alias Kadir dan Allahyarham Samad Ayob.

Identiti tetamu misteri yang diumumkan sebelum acara akhirnya terungkap apabila Ariff Shamsuddin, seniman yang sekian lama menyepi daripada perhatian umum, tampil dengan persembahan khas bermain biola.

Ariff Shamsuddin menahan sebak sambil mendendangkan lagu, ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’, nyanyian Uji Rashid dan ‘Kemarin’ oleh Seventeen, sementara gambar-gambar pelawak Singapura yang telah meninggal dunia dipaparkan pada skrin di belakang pentas.
Ariff Shamsuddin menahan sebak sambil mendendangkan lagu, ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’, nyanyian Uji Rashid dan ‘Kemarin’ oleh Seventeen, sementara gambar-gambar pelawak Singapura yang telah meninggal dunia dipaparkan pada skrin di belakang pentas. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL 

Ariff mendendangkan lagu, Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu, nyanyian Uji Rashid dan Kemarin oleh Seventeen, sementara gambar-gambar pelawak Singapura yang telah meninggal dunia dipaparkan pada skrin di belakang pentas.

Bukan sahaja Ariff yang manahan sebak, malah beberapa penonton turut dilihat menitiskan air mata sepanjang segmen tersebut.

Namun, Temu Lawak tidak hanya dibayangi nostalgia dan kesedihan.

Turut ditampilkan ialah tiga sketsa komedi dengan tema, mesej dan kejutan tersendiri, iaitu Kelakar Seram, Pendekar Dara Lapok dan Us Start Samsung Hebat, yang menggabungkan pelakon lama dan baharu.

Sketsa Kelakar Seram menyajikan kelainan apabila hantu yang sepatutnya menghisap darah manusia sebaliknya tampil sebagai pelanggan yang mahu membeli darah.

Antara babak yang mencuit hati penonton ialah apabila pakaian pocong yang dikenakan Hamzah Adon beberapa kali melorot ke bawah, sekali gus mencetuskan gelak tawa penonton.

Antara babak yang mencuit hati penonton ialah apabila pakaian pocong yang dikenakan Hamzah Adon (kanan) beberapa kali melorot ke bawah, sehingga Suhaimi Yusoff (kiri) yang berperanan sebagai Dracula terpaksa membantu memperbetulkan pakaiannya.
Antara babak yang mencuit hati penonton ialah apabila pakaian pocong yang dikenakan Hamzah Adon (kanan) beberapa kali melorot ke bawah, sehingga Suhaimi Yusoff (kiri) yang berperanan sebagai Dracula terpaksa membantu memperbetulkan pakaiannya. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Sementara itu, Pendekar Dara Lapok mengisahkan tiga wanita yang berhasrat mempelajari seni mempertahankan diri, namun akhirnya tersasar apabila apa yang dipelajari lebih menyerupai langkah tarian berbanding gerakan silat.

Sketsa Pendekar Dara Lapok menyaksikan (dari kiri) Nureeda Suhoot, Khairudin Samsudin, Fadhilah Samsudin dan Haryani Othman di pentas ‘Temu Lawak’.
Sketsa Pendekar Dara Lapok menyaksikan (dari kiri) Nureeda Suhoot, Khairudin Samsudin, Fadhilah Samsudin dan Haryani Othman di pentas ‘Temu Lawak’. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Berbeza daripada sketsa lain, Us Start Samsung Hebat, mengetengahkan kisah bakal menantu lelaki yang mahu mendalami agama, tetapi tersalah memilih rakan sebagai pembimbing sehingga mencetuskan pelbagai situasi lucu.

Husin turut menghiburkan penonton dengan menyampaikan lagu, Bukan Kerana Nama, nyanyian Ramli Sarip, sekali gus menyelitkan unsur muzik dalam persembahan malam itu.

Selain persembahan komedi, Temu Lawak, turut menyampaikan dua anugerah khas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan penggiat seni veteran dalam dunia hiburan tempatan seperti Nurijah Sahat dan Zaliha Abdul Hamid.

‘Temu Lawak’ turut menyampaikan anugerah khas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan penggiat seni veteran, Zaliha Abdul Hamid (kiri).
‘Temu Lawak’ turut menyampaikan anugerah khas sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan penggiat seni veteran, Zaliha Abdul Hamid (kiri). - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Bagi Encik Zailani Ihim, yang hadir bersama isteri serta abang dan kakak iparnya, Temu Lawak, membawa makna tersendiri kerana mengingatkannya kepada Allahyarham abangnya, Zainal Ihim.

Menurut Encik Zailani, beliau berasa gembira dan sebak melihat pelakon serta pelawak veteran kembali beraksi di pentas selepas sekian lama.

“Setiap gelak tawa dan wajah yang dilihat mengingatkannya kepada kenangan bersama arwah abang.

“Lebih bermakna, pertemuan itu turut memberinya peluang untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seperjuangannya,” katanya yang berusia 56 tahun.

Walaupun abangnya sudah tiada, teknisyen itu berkata kenangan bersama insan tersayang tetap hidup dalam ingatannya, manakala pertemuan dengan rakan seni Allahyarham sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang tidak pernah padam.

Seorang lagi penonton, Encik Shahrom Nasir, 58 tahun, yang bertugas sebagai teknisyen avionik di SIA Engineering Company (SIAEC), turut berkongsi keterujaannya menghadiri acara tersebut bersama keluarganya.

Encik Shahrom yang membeli tujuh tiket, berkata beliau merindui persembahan pelawak tempatan dan ingin melihat sendiri sama ada lawak jenaka mereka masih berbisa seperti dahulu.

“Saya rasa teruja dan memang menantikan adegan lawak serta celoteh pelawak-pelawak kita. Sudah lama tidak melihat mereka beraksi bersama di pentas,” katanya.

Pada pandangannya, pelawak veteran Singapura masih mempunyai daya tarikan dan kemampuan untuk menghiburkan masyarakat.

Sebagai penutup acara, para pelakon turut menghiburkan penonton menerusi persembahan nyanyian dan tarian lagu, Kwek Mambo, yang menceriakan suasana dewan.