Topik diikuti
Pergi ke BHkuPementasan kerohanian alternatif beri kesan mendalam
‘Malam Terapi Hati: Warkah Buat Baginda’ gabung lakonan, qasidah serta muzik, berbanding ceramah atau tazkirah
Pementasan kerohanian alternatif beri kesan mendalam
Setiap kali apabila tibanya bulan Rabiulawal, atau ada yang panggil bulan maulid, banyak masjid dan badan Islam akan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad saw.
Meraikan kehadiran seorang insan terhebat di muka bumi dengan berbagai acara tidak lain tidak bukan adalah untuk terus menzahirkan rasa cinta dan rindu terhadap Rasulullah saw.
Ada yang meraikan dengan tazkirah, membaca kitab maulid dan berbagai lagi acara semata-mata untuk mengenang junjungan Nabi Muhammad saw.
Walaupun kisah nabi telah berulang kali diperkatakan, terdapat pelbagai cara yang menarik boleh dilakukan untuk mengenang kisah perjuangan nabi.
Wadah berbeza seperti pementasan ‘teater qasidah’ yang mengandungi nilai keislaman dan kerohanian juga boleh membangkitkan rasa rindu kepada Nabi Muhammad saw.
Pengisian alternatif berbanding dengan ceramah atau tazkirah, sebenarnya dapat memberi kesan yang lebih mendalam.
Malah, puisi dan lagu kerohanian juga dapat memberi satu impak yang kuat terhadap emosi penonton.
Secara tidak langsung, persembahan teater qasidah seperti itu dapat menarik umat Islam untuk mempelajari tentang kisah sejarah Islam luar daripada kebiasaan.
Dengan satu gabungan kerjasama oleh Nur Insan dan Unit Dakwah Masjid Sultan, acara ‘Malam Terapi Hati: Warkah Buat Baginda’ telah diadakan pada 4 September di Auditorium Masjid Sultan.
Acara atau pementasan yang menggabungkan teater, puisi, qasidah, tazkirah dan juga iringan alunan muzik, telah menghidangkan satu ‘hiburan’ kerohanian yang alternatif.
Ia menjadi satu wadah berbeza untuk menceritakan kisah sebelum Nabi Muhammad saw dilahirkan sehingga Baginda diangkat sebagai Rasul dan juga zaman kegemilangan serta kesedihan Baginda.
Pementasan yang berlangsung selama dua jam itu layak diberi kepujian yang sewajarnya.
Justeru, acara itu telah mendapat reviu yang sangat menggalakkan.
Ramai yang telah membeli tiket dan hadir untuk menyaksikan acara yang sangat istimewa itu.
Jika konsert rok mampu menarik ribuan penonton hingga memenuhi sebuah dewan besar, persembahan keagamaan berskala serupa juga mampu meraih sambutan yang sama hebat.
Teater qasidah tersebut bukan sahaja menjemput barisan asatizah atau pemuzik mapan.
Malah, gabungan dan bantuan sistem audio yang mantap, pencahayaan yang berkesan, visual yang berteraskan LED, isi dan kandungan juga turut ‘memancing’ hadirin.
Babak dan jalan cerita yang mudah difahami juga menambah nilai kepada acara sebegitu.
Sentuhan profesional bukan setakat diadakan secara lewa.
‘Malam Terapi Hati: Warkah Buat Baginda’ mengangkat detik paling genting dalam sejarah manusia, dari saat wahyu pertama turun kepada Rasulullah di Gua Hira, iaitu peristiwa yang telah menggoncang jiwa nabi akhir zaman untuk memikul satu amanah besar.
Dalam pada ketakutan dan kekeliruan, hadir sebuah cinta tidak bersyarat yang menjadi sumber kekuatan.
Itulah cinta Siti Khadijah, isteri Baginda – seorang wanita yang percaya ketika dunia masih belum memahami, dan menenangkan Baginda ketika segala-galanya masih belum terjawab.
Acara itu dibuka dengan bacaan ringkas kitab, Maulid Ad-Diba’i.
Bacaan itu diperkasakan dengan alunan kerohanian kumpulan Qasidah Ihya Unnur serta kupasan penuh hikmah oleh Ustaz Hanan Farihin dan Ustaz Shahid Sazali.
Tidak lupa juga Ustaz Nuzhan Abdul Halim, dan Ustazah Maria Mohd, yang menjadi teraju dalam teater qasidah ini.
Beberapa qasidah turut didendangkan oleh Ustaz Ismail Hashim, Ustaz Syamir Jamaluddin, dan Ustaz Asyraf Hasni, yang cukup tersohor di Singapura.
Dengan iringan muzik oleh kumpulan pemuzik, Zakhrafa Ensemble, yang terdiri daripada pemain gambus, Azrin Abdullah, Al Hafiz Jamat (papan nada/seruling), Ridwan Ramli (genderang), Kheir Yasin (qanun), Hadi Adi (gitar bes) dan Noryn Sazali (viola).
Turut memeriahkan persembahan ialah kumpulan qasidah, Ihya Unnur, yang mengiringi acara dengan paluan pelbagai alat genderang, antaranya darbuka (gendang Arab), djembe (gendang Afrika) dan rebana.
Bukan setakat audio, visual dan pencahayaan sahaja yang menyerlah, vokal para munsyideen (pelantun qasidah), iringan pemuzik dan juga genderang memberi nilai tambahan dalam keseluruhan persembahan.
Diselang-selikan dengan qasidah yang melantun indah, monolog dan dialog yang memberi kesinambungan pada jalan cerita serta tazkirah yang menyentuh hati semua yang hadir pada ketika itu.
Antara detik paling berkesan dan memberi seribu ingatan adalah sewaktu persembahan penutup, tatkala lirik lagu Suatu Masa ciptaan M. Nasir dikupas.
Lazimnya, lirik lagu seperti Suatu Masa dikaitkan dengan kisah cinta.
Namun, apabila dihayati dengan lebih mendalam, lirik tersebut turut memperlihatkan kerinduan yang begitu kuat terhadap Allah swt dan Rasullulah saw, sekali gus membuka ruang kepada tafsiran baharu dari sudut kerohanian.
Walaupun ia merupakan satu lagu yang dicipta lebih 40 tahun lalu, ia tetap memberi kesan yang hebat dalam persembahan pementasan tersebut.
Dengan tajaan daripada Anna Employment Services, Big Mouth Productions, Crew Selawat dan Effindi Ahmad yang menerajui projek ini sebagai pengarah kreatif, pementasan ini telah mencipta sebuah ‘produk’ yang boleh diadakan dengan skala yang lebih gah.
Sehubungan dengan itu, terdapat satu lagi pementasan teater Islam dengan konsep serupa, yang menampilkan Hady Mirza dan Mostafa Atef, pelantun qasidah asal Mesir, pada 11 September di Auditorium Masjid Sultan.
Pementasan itu berjudul, ‘The Chosen Light’, dan dikendalikan oleh golongan belia.
Orang ramai masih boleh menonton projek teater qasidah tersebut secara dalam talian melalui laman web Reyhu Studio Asia.
Penulis aktivis seni.
“
“Pengisian alternatif berbanding dengan ceramah atau tazkirah, sebenarnya dapat memberi kesan yang lebih mendalam. Malah, puisi dan lagu kerohanian juga dapat memberi satu impak yang kuat terhadap emosi penonton. Secara tidak langsung, persembahan teater qasidah seperti itu dapat menarik umat Islam untuk mempelajari tentang kisah sejarah Islam luar daripada kebiasaan.”