Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeringati Rasulullah, suri teladan sepanjang zaman
Rabiulawal dikenali dalam kalangan masyarakat Muslim di Nusantara sebagai bulan Maulud, sempena keputeraan Nabi Muhammad saw pada 12 Rabiulawal.
Sepanjang bulan Maulud ini, pertubuhan Islam mengadakan pelbagai acara keagamaan di masjid, surau, madrasah dan tempat-tempat lain.
Acara ini menjadi wadah untuk menghimpunkan umat Islam bagi memperingati Rasulullah saw serta menghayati dan menghidupkan kembali ajaran Baginda.
Seperti tahun-tahun lalu, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan mengadakan acara tahunannya – Zikra Rasul saw – bagi memperingati Rasulullah saw pada bulan ini.
Ia akan berlangsung pada 29 Ogos di madrasah tersebut di Sims Avenue, dari 10 pagi hingga 3.30 petang.
Sambutan akan dimulakan pada pagi dengan Musabaqah Tahfiz Al-Quran (Muqnan), yang terbuka kepada pelajar madrasah sepenuh masa serta institusi tahfiz Al-Quran seluruh Singapura.
Musabaqah, atau pertandingan, ini akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Hadirin akan dijamu dengan hidangan nasi beriani yang disediakan oleh sukarelawan Masjid Khalid, dari 10 pagi.
Pada tengah hari, akan dijalankan perasmian bangunan tambahan baru madrasah itu (Annex Building), yang siap dibina baru-baru ini. Majlis perasmian ini akan disempurnakan oleh Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Pada 2 petang, akan diadakan forum agama bertemakan Keluarga Al-Quran – Ilusi atau Realiti?
Forum ini akan menampilkan barisan alumni Madrasah Wak Tanjong, termasuk Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani dan Ustazah Nurul Huda Khamsani, yang telah lama berkecimpung dalam musabaqah tilawah, atau pembacaan dengan kuat, Al-Quran daripada peringkat sekolah hingga kebangsaan, serta Ustazah Tan Nurul Hafidzah, penyusun kurikulum Al-Quran di Majidah Training Centre.
Moderator bagi forum ini ialah Ustazah Zahratur Rofiqah daripada Pergas. Antara perkara yang bakal dikupas ialah cara memupuk kecintaan pada Al-Quran dalam diri anak-anak sejak usia muda; cara menerapkan ajaran Al-Quran, khususnya dalam membentuk adab dan akhlak yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad saw, sebagai amalan dalam kehidupan harian keluarga.
Perkongsian dan pengalaman asatizah ini diharap bermanfaat dan memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan teras kehidupan dalam membina keluarga yang dekat dengan Kitab Allah itu.
Selain itu, gerai aneka makanan ringan, pakaian dan buku serta bahan bacaan Islam lain turut disediakan pada sambutan itu.
Kehadiran dan sokongan semua pihak diharap menyemarakkan majlis penuh keberkatan itu dan menjadi wadah untuk menghayati dan meneladani ajaran Rasulullah saw.
Penulis ialah mudirah, atau pengetua, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
SOKONG MADRASAH WAK TANJONG AL-ISLAMIAH
1. Anda boleh menderma dengan menggunakan PayNow ke UEN: S55MM0002D atau hantarkan cek atas nama ‘Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah’.
2. Hubungi talian 6741-0131 atau e-mel kepada mwti@mwti.edu.sg untuk maklumat lanjut.
3. Kunjungi Facebook@MWTI Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bagi mengikuti perkembangan terbaru madrasah.
4. Pergi ke pejabat Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah di 589 Sims Avenue, Singapura 387600.

